Salam kasih Kerana Allah
Friday, August 19, 2011
Bila Mercun Berdentum
Tiap tahun, menjelang hari raya kes yang sering muncul sudah tentu MERCUN. Raz tidak gemar mengutuk atau mencela. Namun, tidak adil rasanya kita terus membiarkan perkara ini dipandang biasa.
Bingit betul telinga Raz mendengar letupan mercun yang dibunyikan oleh anak-anak jiran. Muzik yang keluar dari letupan mercun bukanlah nada yang sedap didengari. Ia amat menganggu hati dan akal Raz. Apalah yang menjadi penyebab mereka 'gila' untuk bermain mercun dan mengganggu ketenteraman ibadah orang lain di bulan Ramadhan yang mulia ini? Sedih sungguh bila melihatkan anak-anak Islam ini terjejas akhlaknya.
Hairan sungguh, bila ibu bapa mengizinkan anak-anak membahayakan diri anak-anak mereka dengan dentuman-dentuman mercun tersebut. Sepertinya mereka ini mahu membunuh anak-anak mereka. Budaya apa yang mereka ambil? Bukankah menganggu ketenteraman orang lain itu, budaya syaitan?
Aduhai sekelian yang suka pada mercun..
Belajarlah menghormati bulan Allah. Belajarlah menikmati ibadah. Belajarlah menghormati mereka yang di sekeliling kita kerana suatu hari nanti mereka inilah yang akan membantu mengusung jenazah kita ke pusara. Usahlah pentingkan apa yang kita mahu bila berada di dalam masyarakat. Kita memerlukan masyarakat, jadi hindarkanlah dari menjadi penyebab masyarakat membenci dan menghindari kita.
Lihatlah dengan hati, fikirlah dengan jiwa dan akal yang tidak dirundung kejahilan.
Lakukan sesuatu yang meringankan orang lain, bukan menambahkan bebanan kepada orang lain dengan menambahkan kesakitan perasaan.
Kita tidak tahu masalah yang dialami orang lain. Jangan sekali menganggap kehidupan orang lain itu tidak sepenting kehidupan kita, padahal suatu hari nanti kita akan tahu bahawa orang lain juga akan memberikan peranan yang perlu di dalam hidup kita.
Telah diajarkan Allah tentang kasih sayang sesama manusia. Didiklah seluruh dan seisi keluarga, kampung atau daerah kita bagi mengenali kasih sayang Allah itu.
Kenapa kita perlu meniru haluan dan tradisi sumbang oleh golongan-golongan yang cuba mempengaruhi kita agar berpecah-belah sesama kita?
Ayuh! Belajarlah menghormati kehidupan yang lain, jika kita inginkan kehidupan kita turut dihormati.
Salam geram tapi sabar.
Raz.R
19.08.2011