Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, August 23, 2011

Dialog Luka wanita : Tidak Lagi Berpaling



Kata Su hari ini, dia sudah tidak kisah lagi. Dia sudah tidak ingin apa-apa lagi. Dia sudah tidak mahu menanti. Malah, dia juga tidak mahu meletakkan rasa cintanya kepada sesiapa lagi. Dia sudah benar-benar putus asa. Dia sudah tidak lagi yakin dan percaya. Dia sudah takut untuk memahat batu bersurat untuk membina sejarah dan memori baru. Dia mula benci pada setia. Dia sudah letih mendengar, mengikut dan menerima. Dia mula memagarkan dirinya, membedil jauh panggilan-panggilan asyik yang mengorak hidupnya ke arah kecewa. Dia tidak lagi membuka hatinya. Telah dibuang jauh kunci hati ke dasar lautan hitam kehidupan. Tidak betah lagi untuk dia berpaling memperbetulkan genting yang bocor. Biarlah lubang itu tidak tertampung. Katanya, biar diri di mamah usang namun kembali mewarnakan kasih, mungkin telah sampai ke hujungnya. Dia bukan lagi Su yang dahulu.

Raz percaya, semua kata-kata Su itu bersungguh dan sungguh wanita itu telah bertekad. Walaubagaimanapun, ia adalah sebuah letusan rasa yang sementara. Apabila terluka, naluri akan memberontak memperjuangkan apa yang dirasa dengan campuran sakit dan merana. Hingga hilang sembuh lukanya, dan dengan kuasa Allah Taala Raz pasti dia akan kembali seperti biasa. Ujian Allah, begitulah rupa. Setiap penyakit ada ubatnya dan masa seringkali menyembuhkan banyak agenda.

Baguslah jika Su tidak ingin berpaling lagi pada masa silamnya. Di dalam hati Raz tetap berdoa agar tidaklah Su terlalu tebal menutup dunia cintanya. Raz pasti suatu hari nanti, apabila Su telah berjaya menangani luka dan rasa sakitnya, Su akan berdiri hebat sebagai seorang wanita yang luar biasa jiwanya. Moga Su tetap terus bertahan mengharungi alun, ombak dan badai kehidupan dengan ketenangan dan keharmonian cinta Tuhan.

Salam kasih untuk Su
Salam sayang untuk Raz
Salam cinta untuk semua.. Lillahita'ala.
Moga bahagia.. moga gembira.

Raz.R
23.08.2011