Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, August 29, 2011

Dialog Luka Wanita : Kemaafan Selalunya Menggembirakan.




"Su, InsyaAllah.. esok kita raya. Kak Raz nak minta maaf, minta ampun di atas semua kesilapan kak Raz pada Su, ya?"

Su tersenyum. Warna cerah kristal keikhlasan jelas terpampang di wajahnya.

"Yalah kak Raz, Su pun sama. Jika selama ini Su selalu menyusahkan kak Raz, tolong maafkan ya? Ampunkan Su dari hujung rambut ke hujung kaki."

Kami bersalaman. Lalu disambung dengan berpelukkan erat, kemas, mesra dan kejab. Biarlah rasa kemaafan itu meresap terus ke dalam hati tanpa ada apa-apa penghalang lagi. Moga Allah mendengar perasaan itu dan segaligus memadamkan catatan kesilapan yang tertulis. Ya Allah! Ampunilah kami.

"Kak Raz, apa tema raya kak Raz kali ini? Berapa pasang baju kak Raz tempah?"
Su menyambung kata dan Raz tersenyum diselikan ketawa kecil bersahaja.

"Tema apa pulaknya hang nih?.. Ada-ada ja lah! Kak Raz tak sediakan apa-apa pun untuk diri kak Raz kali ini tau. Hujan-hujan macam ni mana dan (sempat) nak bertema-tema dah haih. Buat kuyup dek hujan ja lah!"

"Alah, kak Raz ni selalu macam ni tau! Tahun lepas pun kak Raz cakap gini."

Raz ketawa. Su pula mengerling manja dan comel.

"Betul Su.. Kak Raz tak buat apa-apa untuk diri sendiri pun. Cuma untuk keluarga ja serba sikit. Sederhana ja. Yang penting depa 'happy'. Selebihnya tu, apa yang menggembirakan keluarga kak Raz, itulah juga yang akan menggembirakan akak."

Su tunduk. Melihat jauh ke dalam tanah. Rasa hati Raz, bukan cacing atau mikrob tanah yang dilihatnya tetapi sesuatu yang jauh diusik kenangan. Tiba-tiba dia mengulangi sedikit kata-kata Raz.

"Hem..yang menggembirakan.."

Raz mula mengerti. Apa yang lebih menggembirakan hati kecil wanita itu melainkan nostalgia lamanya.

"Raya kali ni, Su tak rasa gembira, kak. Kalau dulu Su akan gembira bila Su dapat berkongsi rasa gembira Su bercerita tentang perancangan raya dengannya. Kami saling memohon maaf. Saling bertanya itu dan ini. Sekarang.. tiada lagi,kak. Sepinya rasa hati. Dulu, dia selalu hantarkan Su daun palas yang dicarinya sendiri untuk dibuat ketupat. Sekarang.. tanya khabar Su pun tidak ada lagi.."

Aduhai, sayunya rasa hati Raz mendengar kata hati Su. Terkelu lidah Raz untuk menyambung kata. Raz biarkan Su melayani rasa hatinya dengan tepukkan lembut di bahunya. Begitulah jika seorang wanita menyayangi seseorang sepenuh hatinya. Walau sedikit pemberian yang diterima oleh orang yang disayangi mereka, berbekas sebagai penghargaan dalam ingatan jiwa selamanya.

"Tapi tak apalah, kak.. Biarlah semua tu!" Katanya tiba-tiba memeranjatkan Raz. Raz membulatkan mata Raz dan mengangkat kening sebagai isyarat kepastian.

"Dia ada dalam doa Su sentiasa, kak. Jika perpisahan ini membahagiakan dia, Su redha. Moga Tuhan menggembirakan dia walau di mana dan walau apa yang dilaluinya sekarang. Moga Allah tetapkan hidupnya di dalam hidayah yang lurus. Moga dia gembira, kak! Moga dia gembira! Itu saja yang Su mahukan.."

"Aaamiin.."

Itu sahaja yang Raz mampu jawab ketika sebak melihat mimik wajah Su yang mendoakan insan yang pernah melukakan hatinya dahulu dengan begitu robek sekali. Ternyata Su telah memaafkan kesakitan silam yang dilaluinya. Walau dalam susah, walau rasa payah.. kemenangan apakah yang mampu mengubah hidup seseorang insan itu melainkan kemaafan yang ikhlas?

Hujan semakin lebat mencurah. Tanah basah dan menakung air yang banyak. Sepertimana kelopak mata Su yang bergelinang dengan air yang berkaca. Air mata redha. Air mata rela. Subhanallah! Moga Su terus tabah Ya, Allah! Engkau Maha Kuat, tolonglah Engkau kuatkan hamba-Mu itu!

Selamat hari raya, Su.
Selamat hari raya untuk Raz, dan...
selamat hari raya untuk semua yang sudi membaca pengalaman hati yang tidak seberapa.
Semoga Aidilfitri kali ini bertakbirkan takdir yang baik dari Allah SWT kepada kita semua. Mohon maaf, zahir dan batin. Maafkanlah.. Apakah yang lebih menggembirakan hati, segembira apabila memaafkan yang lain?..
Moga gembira, senyum seindahnya! Amin..


Salam kasih,
Raz.R
Sehari sebelum Aidilfitri.
29.08.2011