Salam kasih Kerana Allah
Sunday, August 7, 2011
Dialog Luka wanita : Serahkan Kepada-Nya
"Awat hang menangis pulak dah, Su? Cuba habag kat kak apa masalahnya?"
Esak tangis dicorong telefon bimbit semakin menjadi-jadi. Pilu bergelodak di jiwanya. Seolah dia menyimpan tekanan yang amat pahit. Terpaksalah Raz mendiamkan diri sebentar untuk memberikan laluan kepada Su menangis sepuas-puas hatinya. Raz diulit rasa serba salah dan gundah dengan pelbagai soalan yang berlegar di dalam akal. Ada suara sakit pada gema tangisannya. Sedihnya rasa hati Raz mendengar tangisan.
"Su telefon dia, kak! Su tak tahan.." Dia memberitahu Raz dengan nada yang tersekat-sekat. Raz mengeluh kecil. Hal itu lagi rupanya. Hati Raz faham.
"Bertenang Su. Tak apalah, nak buat lagu mana, dah teringat,kan? Habeh tu, apa katanya?"
"Semuanya tawar saja, kak. Seolah Su ini tak pernah wujud dalam hidupnya sebelum ini. Acuh tak acuh saja cara dia bercakap dengan Su. Geram hati Su ni, kak. Su, cuma mahu tahu macam mana keadaan hidupnya sekarang. Su risaukan dia,kak."
Raz mencari idea untuk tenangkan kepiluan Su. Lembut benar hati wanita apabila menyayangi seseorang dalam hidup mereka. Kasih sayang wanita bila telah bertakhta di dalam hati, begitulah jadinya. Walaupun hati ada rasa benci, namun bencinya tidak seberapa. Simpati akan tetap menyapa akhirnya.
"Nak risaukan apa lagi tentang dia Su. Tahulah dia menjaga hidupnya. Dia kan lelaki? Kalau Su bimbangkan keadaannya pun, apa yang Su dapat sekarang? Rasa geram ja kan? Jangan lemah sangat Su.. Kuatkan hati. Yang sudah lepas tu, lepaskanlah.. jangan dipaksa diri melalui keadaan sakit yang sama berulang kali. Sudahlah Su, biarkan dia dengan hidupnya. Kalau Su risaukan dia pun, untuk apa? Sedangkan dia tidak sedikitpun bimbangkan keadaan Su yang macam ni selalu. Sudahlah Su, jangan biar dia menindas perasaan Su. Jangan biar dia jadi hebat kerana Su jadi lemah di tangannya. Bersabarlah Su..Tetapkan keimanan."
"Akak tak faham jiwa Su..!" Dia menangis lagi. Aduhai, entah apa yang perlu Raz kata lagi padanya kali ini. Buntu benar rasanya.
"Kak Raz faham, sayang.. Faham sangat. Cuma Kak Raz nak Su fikirkan saja. Okay,Su dah "call" kan? Su nampak dan rasa apa reaksinya dekat Su, kan? Imbangkanlah akal dan hati Su. Cari makna disebalik sifat yang dia tunjuk pada Su. Jangan biarkan diri kita jadi tidak berharga, Su."
Su terdiam. Senyap seketika. Mungkin sedang membuat andaian terhadap kata-kata Raz sebantar tadi. Sedang Raz membuat andaian sendiri tentang lelaki yang dikasihi Su. Kalau mampu, Raz ingin menyelidik dan tahu kenapa tindakkannya begitu zalim terhadap wanita yang pernah membuat banyak pengorbanan di dalam hidupnya. Mungkin Su terlalu memaksa. Mungkin lelaki itu juga terpaksa tetap dengan keputusannya kerana cerita hidup yang ada disebalik kehidupan yang sebenarnya. Mungkin Su juga masih belum mengenali lelaki itu sepenuhnya. Mungkin lelaki itu juga tidak berdaya. Atau mungkin dia juga pengecut. Nauzubillah.. Banyaknya "mungkin" yang berturap difikiran Raz.
"Kalau Su tahu begini, Su tak akan hubunginya lagi. Pergi mampus dia dengan hidupnya!!" Tiba-tiba Su mendengus marah.
"Tak apalah Su, pengajaran agaknya tuhh.. Bagus jugak Su buat begitu, sekurang-kurangnya Su dah tahu kan bagaimana layanan yang akan Su terima jika Su terus menerus mengharapkan dia?? Tak gitu?.. Tapi Su, Kak Raz rasa, Su maafkanlah.. Memaafkan lebih memberikan kita kelapangan hati. Anggap saja tiada jodoh diantara Su dengan dia. Sesakit manapun kehidupan kita, itu pemberiaan Allah. Dia menguji. Dia mahu kita belajar. Dia mahu kita kembali pada hidayah-Nya dan tetap lurus di situ. Allah itu Maha Adil, Su. Suatu hari nanti, pembalasan-Nya akan datang juga."
"Dia terlalu angkuh dengan dirinya kak."
"Jangan cakap begitu, Su. Tak baik.. Biarlah dia nak angkuh setinggi mana pun. Allah lebih angkuh dan bila Allah menebarkan angkuh-Nya di dunia ini, manusia tidak akan dapat lari dari siksa-Nya yang berat, Su. Serahkan semua tu pada Allah ya.. Dia lebih faham apa yang kita tidak pernah faham."
Serahkan segala yang sulit kepada-Nya. Sesungguhnya hanya Dia Yang Mampu Menyelesaikan Segalanya!
Raz.R
Moga dirahmati Allah, semua! :-)