Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, April 9, 2011

Setia




Sejak Raz mempraktikkan kesetiaan dalam hidup Raz, banyak pelajaran dan pengajaran yang Raz perolehi melaluinya. Kesetiaan mengajar Raz erti kesabaran, tulus, ikhlas dan jujur di dalam mana-mana perhubungan yang kita jalinkan. Raz sudahkan kesetiaan Raz dengan memasrahkan diri kepada kebijaksanaan Ilahi dan doa yang tidak pernah putus. Selebihnya, tawakkal menjadi pengubat kebangkitan jiwa kepada apa sahaja kemungkinan yang bakal dilalui. InsyaAllah. Amin Ya Robbal Alamin..

Tapi.. sebenarnya sahabat-sahabat Raz yang dikasihi, kesetiaan tidak akan menjadi jaminan untuk apa-apa keputusan hidup. Samada kita terus berbakti dengan setianya pada kawan, teman rapat, pasangan, kerjaya, keluarga dan sebagainya... ia masih tidak menjanjikan apa-apa kemenangan kepada kita.

Contohnya, andaikata kita telah setia pada kasih.. itu belum menjamin kita memiliki apa yang kita kasihi. Andai kita setia bersahabat, ia juga belum memberi jaminan bahawa sahabat kita tidak akan menjadi musuh kepada kita.

Seringkali, kita mengharapkan agar kesetiaan kita menjadi bukti akan sesuatu perhubungan yang kita miliki. Malah kita mengagak bahawa apabila kita setia, keadaan akan menjadi seindah kesetiaan yang kita berikan.

Tidak!

Kita boleh setia jika kita mahu atau jika orang lain inginkan kita begitu, tetapi kesetiaan bukanlah sebuah janji yang terpatri. Ia tetap dirangkupi oleh untung nasib dan takdir Ilahi. Ia adalah sebuah kemungkinan semata. Jika sesuatu tragedi akan berlaku dalam hidup kita lalu mengubah kesetiaan kita menjadi detik kehancuran.. sesungguhnya ia tetap akan berlaku. Walau kita meraung-raung menegakkan kesetiaan kita pada seluruh alam pun, jika sesuatu perkara itu tidak tertulis dan termaktub untuk kita, masih tetap akan terjadi perkara-perkara yang mungkin kita cuba cegahi.

Segalanya bertitik tolak daripada peribadi individu itu sendiri. Andai kita mahu terus setia sekujur nyawa, silakanlah! Namun mengharapkan yang lain turut mengorbankan kehidupan yang mereka miliki kerana kesetiaan yang kita tabur adalah mustahil.
Sesungguhnya untaian kehidupan seharian kita adalah daripada apa yang kita pilih sendiri. Jika silap, maka silaplah. Jika benar, maka benarlah ia.

Kata seorang sahabat Raz, "Setia itu bagus. Namun terlalu setia itu, kurang bagus." Benar. Dalam kesetiaan kadang-kadang, banyak masa yang kita bazirkan. Mungkin di dalam masa kita mengagong-agongkan kesetiaan yang kita miliki, banyak perkara tentang hidup sudah kita lepaskan begitu sahaja tanpa kita cuba melalui atau mencapainya. Akhirnya, peluang yang sewajarnya kita miliki mengalir tanpa dikaut. Kemungkinan kita berada dalam kerugian. Sepertimana surah "Demi Masa" yang disampaikan oleh Allah SWT.

Apa saja di dalam kehidupan kita ini hanya satu kemungkinan. Kita boleh meramal, namun tidak boleh menetapkan sesuatu perkara itu akan terjadi mengikut kehendak kita. Kita boleh berusaha bermatian, namun taksub terhadap usaha itu akan membuahkan kejayaan yang PASTI adalah tidak pasti.

Setia itu juga hanya sebuah usaha.
dan takdir Ilahi tetap penentu segalanya.
Bagi yang berjaya membalikkan kesetiaannya menjadi satu kejayaan, syabas dan bersyukurlah. Moga kesetiaan itu memberi rahmat yang banyak.
Wallahu'alam.

Salam sayang di malam yang dingin. Sebuah senyuman terpalit dibibir Raz untuk semua dengan doa moga tidur diulit cita-cita yang baik untuk hari esoknya. Semoga di kasihi Allah sentiasa hingga akhir nyawa.

MMuahhks..