Salam kasih Kerana Allah
Monday, April 4, 2011
Privasi Dan Rahsia
Assalamulaikum wbt.
Selamat petang. Raz baru balik kerja. Keletihan. Alhamdulillah, malam nanti boleh jerapkan mata serapatnya. Lena di dalam keletihan selalunya membuahkan tidur yang nyenyak. InsyaAllah.
Peliknya, fikiran Raz masih belum letih. Berputar ligat. Ada sahaja perkara yang timbul. Agaknya Raz terlalu sangat mengkaji dan membuat penilaian tidak bertauliah tentang apa yang Raz perhatikan seharian di dalam pengalaman hidup Raz. Firasat yang belum tentu benar. Namun, kita disuruh mengenali dan membuat cetusan ilmu dari semua pancaindera yang kita miliki dan kita gunakan.
Kali ini tergerak jiwa untuk berbicara tentang privasi dan rahsia. Jarang ada manusia yang tidak memiliki rahsia dalam hidupnya. Jarang juga kita kenal manusia yang suka privasi dirinya digugat. Dua perkara ini memerlukan penjagaan. Ia adalah harta sebuah hati yang tersimpan untuk diri sendiri. Kadangkala ia boleh dikongsi oleh segelintir kecil namun, pada siapa perkongsian itu diberi perlu diteliti dan diambil kira. Jika tidak, nilai diri akan dikotori dengan ragam-ragam yang meletakkan perkongsian itu sebagai bahan cerita yang bermotifkan banyak perkara yang membahayakan diri dan situasi.
Sesalnya, tidak ramai yang mengerti betapa rahsia dan privasi itu adalah amanah yang besar. Terutama jika kita menjadi 'individu ketiga' dalam soal menjaga privasi dan rahsia sesiapa. Tanggujawab itu amat berat. Tidak wajar diambil mudah. Dan untuk menjaganya memerlukan keyakinan dan kepercayaan yang AMAT tebal. Rahsia dan privasi tetap mempunyai pertalian dengan janji. Janji adalah kewajiban.
Namun, kefahaman tentang memegang rahsia dan privasi kadangkala menjadi mainan lidah kita. Kita seringkali terleka dan terlupa. Kita selalu menghadapankan prasangka dan dengki. Menghukum mereka yang menyimpan rahsia itu sebagai manusia pelik,sombong dan penting diri . Walhal, mereka sedang memegang tanggungjawab yang 'bergolak' dengan pelbagai kemungkinan negatif untuk hidup seseorang. Sebagai contoh keselamatan atau maruah seseorang.
Bagi sesetengah kita pula, bercakap mengenai rahsia seolah satu permainan. Kononnya untuk membuktikan atau memikat kepercayaan yang lain. Sedangkan kepercayaan itu terbubar apabila sebuah rahsia itu dibocorkan. Apabila rahsia telah tersebar ke lebih dari sepuluh pasang telinga, rahsia itu mungkin bukan lagi rahsia.
Rahsia dan privasi diri adalah tangga kehormatan peribadi. Bersyukurlah, jika kita diberi kepercayaan menyimpan sesuatu rahsia dan hargailah juga mereka yang sudi menyimpan rahsia kita. Hormati juga mereka yang memelihara rahsia yang lain dengan sedayanya. Mereka sedang membebani jiwa mereka dengan amanah dan tanggungjawab yang nampak remeh tetapi amat membebankan. Jangan sekali kita memaksa sipenyimpan rahsia membuka rahsianya kerana kita tidak akan pernah tahu apa keaiban dan kelukaan yang terkandung disebalik rahsia itu. Biarkan rahsia tetap pergi bersama misteri rahsianya. Jika sedang menyimpan rahsia, simpanlah ia sehingga kita lupa bahawa kita sedang memegang sebuah rahsia.
Sebaliknya, teruslah luaskan ruang rahsia Allah SWT yang diizinkan kita untuk memilikinya. Pun begitu, masih ada rahsia Allah yang tidak akan mampu kita capai dengan akal yang kasar. Ia tetap berakhir dengan soalan yang tidak berjawapan dihujung keputusan. Allah itu Maha Ghaib. Dan kita adalah hamba-Nya yang tidak berupaya sedikitpun melainkan hanya dengan kuasa-Nya.
Salam sayang dengan senyum yang penuh rahsia kemanisan.