Salam kasih Kerana Allah
Thursday, April 7, 2011
Perasaan ; Usah dipermainkan.
Assalamualaikum wbt
Dengan iringan doa semoga yang sering menjengah ruangan Raz ini diberikan kehidupan yang terbaik oleh Ilahi dari dunia hingga akhirat sebagai tanda kasih Raz. Beruntunglah kita yang sering diberikan doa-doa yang mulia dan berbahagialah bagi kita yang sering mendoakan yang lain. Jika tauhid dan istiqamah bahawa apa saja yang baik yang kita berikan akan dikembalikan kepada kita jua. Maka itulah yang akan berlaku. Amin... InsyaAllah.
Sudah dua tiga hari Raz tidak menjengah di sini. Rindu untuk dendangkan sedikit luahan. Namun, tidak pula terbit buah fikiran. Adeh! Mungkin Raz amat keletihan.
Hemm... Raz teringatkan seseorang. Tidak terlalu dekat, tidak terlalu jauh. Terasa simpati dan terasa ingin berpesan. Janganlah kita mudah mempermainkan perasaan orang lain. Tidak elok dan tidak baik. Sebelum kita terus leka, seronok dan tidak sedar bahawa tindakkan-tindakkan kita akan membuatkan perasaan yang lain terluka, lebih baik kita cuba kaji terlebih dahulu apakah wajar kita mulakan langkah di dalam sesuatu. Saksikan sedalam akibatnya dari awal agar tidak kita sesal kemudian hari.
Jangan lakukan sesuatu perkara yang melibatkan perasaaan insan lain hanya kerana suka-suka atau luangkan masa. Lebih-lebih lagi jika niat untuk berdendam. Dari suka berakhir duka. Itu adalah salah satu cabang kezaliman dan penganiayaan.
Jika ingin bersahabat, bersahabatlah dengan kejujuran dan keikhlasan. Perjelaskan apa yang terlebih dahulu perlu diperjelaskan. Terangkan mana-mana yang diperlukan supaya tidak timbul salah faham. Usah sekali kita berpura-pura dengan menjadi orang lain. Sebuah drama akan ada penamatnya. Sikap kita yang sebenar, akan tetap terbit perlahan-lahan. Kita tidak akan mampu bertahan lama di dalam selimut hipokrit. Percayalah.
Begitu juga jika bercinta. Kekuatan cinta bermula dari pangkal yang baik. Telus dengan kejujuran, saling mempercayai dan peribadi yang original. Jika sudah berkahwin, mengaku sajalah sudah. Jika sudah berteman, katakan. Apakah perlu kita menutup kebenaran hanya kerana mahu terus berada di dalam keseronokkan yang hanya bayang-bayang? Usah persiakan kenaifan orang lain dan mengambil kesempatan atas kelemahan. Kita memang bebas membuat pilihan untuk kehidupan kita, tetapi ingat! Setiap pilihan tetap mempunyai batasan. Kita ini manusia, bukannya binatang. Bertindaklah seperti manusia yang sebenar. BerAgama. Berakhlak. Sesungguhnya binatang tidak mempunyai agama dan tidak peduli tentang akhlak.
Setiap perlakuan yang melibatkan perasaan akan berpatah balik kepada kita. Jika kita bertindak baik dan bijak, maka itulah yang akan kembali kepada kita. Sebaliknya, jika kita bertindak buruk dan bodoh, maka ia akan memakan diri sendiri.
Perkara yang baik dan molek tidak perlu pulihkan kerana ia sudahpun baik. Tetapi perkara yang buruk akan perlu diperbaiki kerana semakin lama dibiarkan, ia akan semakin menjadi perkara yang membawa kepada penderitaan. Memulihkannya kadang-kadang memakan masa yang amat panjang dan memerlukan banyak pengorbanan.
Mungkin hari ini kita tidak menerima pembalasan atas sebab penganiayaan yang kita telah lakukan. Namun, pasti suatu hari nanti, kita akan mengalami penderitaan yang akan tertanya-tanya dari mana datangnya. Ketika itu, kita tidak lagi berupaya berpatah balik dan membersihkan segalanya.
Perasaan perlu dipenuhi dengan sifat-sifat yang diajarkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bukan dipenuhi dengan jolokkan syaitan.
Salam kasih penuh doa agar perasaan dijaga keindahannya oleh Yang Maha Esa. Amin.
MMuahks!
Selamat malam, selamat beradu.
Bersikap pra-perihatinlah di atas segala sesuatu yang melibatkan perasaan yang lain.