Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, September 14, 2011

Panca-Rasa : Penjana Kasih Sayang




"Hati berisi cinta
Hati rela terluka
Hati bekorban saja
Hati terus bersedia
Hati terima apa sahaja
Hati yang kuat dan redha"


Salam kasih wahai semua. Raz dukungkan bingkisan Raz dengan permulaan pujian kepada-Nya yang telah memberikan kita nafas dan kehidupan ini dan kepada Rasul-Nya yang telah memperjuangkan agama-Nya dengan hebat sekali. Al-Fatihah kepada junjungan kita, Muhammad Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda yang tercinta. Selawat serta salam bersama-samalah kita hadirkan. Amin..

Assalamulaikum w.b.t..

"Harga sebuah kasih-sayang, tidak terletak pada ringgit dan harta."

Inilah pendapat yang Raz pegang dari kecil hingga dewasa. Raz juga selalu memupuk kata-kata Raz ini di kalangan mereka yang Raz sayangi. Kasih-sayang adalah pelaris ketenangan yang terbaik di dalam kehidupan kita. Tanpanya, hidup kita akan dibendung gelisah, gundah malah kadang-kadang hidup kita mungkin akan menjadi parah.

Ramai yang menyangka, jika kita kaya.. kasih-sayang datang kepada kita dengan mudahnya. Mungkin juga pendapat mereka itu benar, tetapi apakah itu yang kita mahukan?
Kasih ketika kaya dan sayang ketika berada?
Berapa lamakah pula ia akan bertahan?

Kasih-sayang adalah lembah rasa yang sangat luas. Airnya cukup jernih dan boleh digunakan untuk apa sahaja. Ia adalah air yang mempunyai keajaiban untuk apa sahaja. APA SAHAJA tentang naluri hati dan jiwa. Ia adalah sebahagian dari rasa yang mencukupkan rasa cinta. Cinta pula adalah gabungan dari kasih-sayang yang AMAT-AMAT terperinci dalamnya. Anugerah Allah SWT dari kuasa-Nya yang tidak terjangkau oleh akal kita manusia biasa.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya Allah memiliki seratus rahmat, Dia menurunkan satu rahmat daripada-Nya untuk manusia, jin, serangga dan binatang. Dengan satu rahmat itu mereka saling berkasih sayang. Dengan satu rahmat itu binatang buas mengasihi anaknya. Dia menangguhkan lagi kurniaan sembilan puluh sembilan rahmat, dengan itu Dia akan merahmati hamba-Nya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

"Kasih-sayang"
Ia bukan kata-kata.
Ia adalah panca-rasa.
Ia adalah rahmat Allah.
tapi ia perlu sentiasa diberikan cahaya.

Jika kita sekadar berkata, "Aku sayang padamu", itu belum menjadikan kata-kata itu kasih-sayang. Itu hanyalah sekadar tajuk dari sebuah cerita. Untuk memiliki kasih-sayang itu, kita perlu mempunyai karangan hidup yang mengandungi pelbagai isi yang memadatkan banyak tindakkan kasih-sayang itu dengan sebenar-benarnya.

Di dalam "air" kasih-sayang ada penjana yang memberikan kasih-sayang itu 'cas' yang luar biasa.

Biar Raz sebut serba sedikit penjana-penjananya.
Yang pertama adalah "Keimanan". Punca kasih-sayang adalah dari Allah SWT. Tiada siapa yang dapat menafikan hal ini. Kita perlu mencari cahaya keimanan. Kita perlu bersungguh-sungguh mempercayai-Nya. Kita perlu akur dan patuh kepada-Nya. Kita perlu letakkan Allah SWT itu sebagai YANG PERTAMA dalam setiap perkara yang ingin kita mula. Kita perlu sujud kepada-Nya. Kita perlu yakin dan mengakui bahawa kita ini milik-Nya.

Yang kedua adalah "Keikhlasan." Maksudnya, memberi dan menerima tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan. Tanpa keikhlasan, keimanan yang kita cuba cari juga tidak akan dapat diasah dan diberikan cahaya yang sempurna. Keikhlasan itu sinonim dengan ketulusan dan keluhuran. Bila kita memberi, berilah kerana-Nya dan bila kita menerima sesuatu, terimalah kerana-Nya. Tiada rasa ragu atau pra-sangka terhadap apa yang telah ditakdirkan Allah untuk kita.

Yang ketiga pula adalah "Keperihatinan.". Ini adalah sumber keselamatan nurani dan naluri. Ia mencangkupi rasa simpati, ambil berat dan kasihan. Kita perlu jaga apa yang kita miliki. Mustahil rasa kasih-sayang kita akan sempurna tanpa keperihatinan. Tanpa keperihatinan, kita seperti membina kezaliman rohani. Bolehlah ia digambarkan seperti memberi harapan terhadap orang yang sakit, tetapi tidak memberinya ubat bagi menyembuhkan penyakit.

Raz letakkan "Kesediaan" sebagai perkara keempat. Pasang surut kehidupan sentiasa ada. Sesekali, kita akan dipukul ombak dan kita mungkin akan berada di putaran bawah yang membuatkan kita dipijak dugaan. Dunia ini penuh dengan fitnah dan pancaroba. Kesediaan diri kita secara mental dan fizikal amat diperlukan. Menghadapankan keberanian menerima segalanya dengan penuh kesediaan. Bila jatuh, kita berupaya bangun dan bila kita di puncak bahagia, kita mampu seimbangkannya. Kesediaan kita menerima kekurangan dan kelebihan kehidupan dan diri dengan bijaksana adalah penting. Dalam kata lain, kita perlu bersiap-siaga membiasakan diri dengan apa sahaja dugaan dalam kasih-sayang.

Yang kelima adalah "Kepercayaan dan keyakinan." Bila jalan yang kita lalui dalam hidup ini, sudah kita rasakan berada di landasan yang benar dan diredhai Ilahi, bulatkanlah keyakinan kita di situ. Tebalkanlah kepercayaan kita kepada apa yang telah ditetapkan Allah dan percayalah pada diri kita sendiri. Cubalah untuk perkasa dengan keyakinan kita. Percaya pada doa kita. Yakin terus pada Kuasa Yang Maha Esa.

Puncak segala penjana untuk kasih-sayang yang indah adalah yang keenam ini, iaitu "Kesabaran." Kesabaran sukar digenggam dan dilaksanakan oleh kita jika kita tidak tekad dan bersungguh. Sebab itu Allah berikan pahala yang amat besar bagi kita yang mampu melaksanakan kesabaran. Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana tentang kelemahan hamba-Nya yang bernama manusia. Sehingga pahala sabar itu, hanya Dialah yang Maha Berhak memutuskan sebanyak mana yang mahu diberi-Nya kepada kita yang bersabar. Untuk mencantikkan dan memperkukuhkan semua penjana kasih-sayang tersebut, melatih-tubi kesabaran adalah akar tunjang yang dapat menghakimi kejayaan kita di dalam segala tujuan. Bersabarlah kita dengan sepejalnya agar kita berjaya memperolehi kasih-sayang yang sejati malah beroleh kemuliaan yang disertakan kasih-sayang Allah SWT jua.

Ketujuh ialah "Kegembiraan." Carilah kegembiraan yang mampu mencetuskan kasih-sayang yang ceria. Ada tawa, senda dan ada ceria. Inilah bonus kasih-sayang yang indah. Jika tidak kasih-sayang yang cuba kita bina menjadi pucat dan pudar seri. Berikanlah sulaman yang bertalikan kegembiraan. Perindahkannya tanpa ada rasa pura-pura.

Kita perlu cari dan kaji kekurangan-kekurangan kita setiap masa mengikut kemampuan kita. Lalu kita tampungkan diruang-ruang kosong yang terbiar agar kasih-sayang kita dilebihkan dengan cahaya yang menyuluh seluruh kehidupan kita dan kehidupan mereka yang kita kasihi.

Sekadar pendapat dari sekecil pengalaman Raz. Wallua'lam.



Salam kasih, salam sayang dengan senyuman yang manis.



Raz.R
25.09.2011
“Dan di antara manusia ada yang mengambil tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintai tandingan-tandingan Allah itu seperti mereka mencintai Allah, sedangkan orang yang beriman amat sangat kuat cintanya kepada Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 165)