Salam kasih Kerana Allah
Sunday, September 11, 2011
Dialog Luka Wanita : Allah Mahu Kita Tabah
"Kak, cuba tengok ni.. cantik tak?"
Su menunjukkan Raz sebuah kotak kecil berbentuk hati berwarna biru. Di dalamnya ada sebentuk cincin permata yang comel. Raz kehairanan.
"Eh.. cincin?! Cantik! Hai, Su.. takkanlah hang bertunang tak bagi tau akak kut?"
Su ketawa. Dia membiarkan Raz berteka-teki. Raz cuba menyarungkan cincin itu ke jari manis Raz. Agak longgar.
"Cincin yang Su simpan bertahun lamanya, Kak. Tidak pernah Su pakai. Cincin impian Su. Pemberian dia, tanda ikatan kami dulu."
Raz mengerutkan dahi. Dalam hati kecil Raz berkerut sekali. Rupanya ada sisa yang berbaki yang mengingatkan Su kepada kenangannya. Raz mendengus perlahan. Raz lihat wajah Su kelihatan biasa dan tenang. Dia merenung cincin tersebut bagai membaca cerita lalu di situ.
"Kenapa Su masih simpan? Kenapa tidak bagi balik saja? Su masih mengharap apa-apa lagi ka?"
Su tersenyum dan menggelengkan kepalanya perlahan. Senyumnya suram bagai awan berarak mendung.
"Memang Su pernah cuba memulangkannya, kak. Tapi, katanya, itu hak Su. Dia tidak mahu. Su pernah cuba untuk membuangnya ke laut, tetapi tak mampu, kak. Su cuba menjualnya, tapi tak jadi. Jadi, Su simpan tanpa pernah memakainya. Kadang-kadang Su genggam dan bawa bersama Su ke mana saja atas harapan Su boleh membuangnya di mana-mana. Su sudah tidak mengharapkan apa-apa lagi kak. Cuma, Su tak tahu apa nak buat dengan cincin ni."
"Hemm.." Raz mengeluh. Akal berlegar-legar namun bertemu kebuntuan dan tidak temui jalan untuk membantu Su kali ini.
"Macam nilah Su.. Anggap saja cincin tu cincin biasa yang tidak ada apa-apa makna. Su pakailah kalau Su teringin nak pakai atau simpan ja buat hiasan lama. Jangan diingat lagi cerita Su tentang cincin ni. Kalau Su mampu menghadapi kewujudan cincin ini sudah tidak memberi makna pada Su, InsyaAllah.. Su sudah berjaya melawan ujian! Yang sudah tu, sudahkanlah Su.. Cuba fikir tentang kehidupan baru."
Su tersenyum lagi.
"Kehidupan baru, ya kak? Hemm.. baru-baru ini Su ada cuba terima seseorang, kak tau?"
Raz terpesona. Terkejut pun ada.
"Iya ka? Habeh tu? Apa cerita? Menjadi ka? Ce-citer, Ce-citer."
Desak Raz tidak sabar. Berita gembira yang mahu Raz dengar dari Su yang cuba melerai dan melepaskan kisah silamnya yang berdebu duka.
"Entahlah kak Raz. Terasa macam takut dikecewakan lagi. Nak terima, takut. Kalau tidak terima, sampai bila pula nak terus begini. Seram la kak Raz. Susah betul Su nak letak rasa percaya Su pada cinta lagi. Asyik rasa was-was sahaja. Macamana Su nak teruskan hubungan dengan perasaan yang sekejab mahu dan sekejab pula tak mahu nih?"
Raz mengangguk faham. Ya! Raz benar-benar faham. Bukan mudah bagi sebuah hati yang pernah kecewa dan terluka disia-siakan itu untuk melalui hidup barunya tanpa rasa pra-sangka. Raz sendiri pernah di tapak yang sama. Pengalaman mengajar kita belajar berhati-hati. Namun, dalam kita berhati-hati, kita takut dikejutkan dengan perasaan hancur yang berulang. Jadi, kita akan takut pada cubaan-cubaan yang kita cuba untuk memulihkan kehidupan kita. Natijah dari perasaan cinta sesama manusia yang banyak kekurangan. Jika berjaya, kebahagiaan dan nikmatnya amat selesa. Alhamdulillah. Apakala gagal penderitaannya berbekas untuk masa yang agak lama. Hati akan dibawa ngilu dan singkil dan bukan mudah untuk bertahan.
Raz mahu Su tidak takut untuk mencuba. Di dalam masa yang sama juga Raz tidak mahu Su gagal di dalam cubaannya. Jika Su gagal lagi, bermakna akan hitamlah seluruh kepercayaannya pada kehidupan. Jika Su gagal lagi, pegangannya terhadap diri sendiri akan mudah lumpuh. Tidak mudah bagi seorang wanita 'biasa' yang pernah menderita memulihkan kekuatannya dengan masa yang singkat melainkan dia benar-benar memiliki iman yang kuat. Untuk mendapatkan iman yang kuat juga memerlukan persediaan diri menangkis ujian yang juga kuat. Teringat Raz pada seorang kawan lama berbangsa asing yang membunuh dirinya kerana gagal dalam bercinta. Alahai, meremang bulu roma Raz ini. Bangkit rasa syukur di hati Raz mengenangkan Raz dan Su adalah muslimah. Sekurang-kurangnya agama menjadi pemangkin hati kami. Walau iman ini senipis kulit bawang, namun kembali pada Allah Subhanahuwata'ala masih tetap menjadi pilihan.
"Macam ni lah Su.. Kak Raz nak bercakap tentang hal ni lebih-lebih pun, siapalah Kak Raz ini untuk meramal masa hadapan sesiapa. Sedang kehidupan Kak Raz ini pun belum tentu baiknya. Apakata jika kita tawakkal saja pada Allah SWT? Memanglah kita takut untuk terima luka lagi lagi, tapi cuba Su fikir la kan.. kegagalan, kekecewaan, kesakitan dan penderitaan itu telah buat kita bertahan sampai sekarang. Mungkin, Allah sedang melatih kita, Su. Kak Raz lihat kawan-kawan Kak Raz yang telah mendirikan rumah-tangga pun lebih hebat dugaan mereka. Kita dilatih menerima semua rasa sulit dan susah ini, mungkin untuk menghadapi masa hadapan yang mungkin lebih sulit, Su. Kita perlu cuba. Kita perlu terus bertahan. Kita perlu terus tabah. Demi untuk mengubah diri kita yang banyak kelemahan ini. Anggap sahaja semua yang telah kita lalui adalah ilmu hidup yang cuba menjadikan kita insan yang diinginkan Tuhan. InsyaAllah. Mencuba untuk berubah, lebih baik dari diam, takut untuk berubah. Akhirnya hidup makin musnah dan Allah pun marah."
Su mengeluh dan Raz juga mengeluh. Astaghfirullahalazim..
"Macamana kalau kita tak kuat dan terpedaya lagi dengan semua ini, Kak Raz?"
Raz merenung mata Su, dalam dan tajam memberi sedikit harapan.
"Su, sayang.. Allah tidak zalim untuk terus membiarkan diri kita dizalami berkali-kali. Lebih-lebih lagi kalau kita serahkan kesungguhan hati kita pada-Nya. Kita terus baik pada-Nya. DIA akan LEBIH baik kepada kita. Dia beri, kita terima dengan redha. InsyaAllah, Su.. InsyaAllah."
Raz memberinya senyuman berbalut keyakinan walau di dalam hati Raz ada sedikit gangguan kegoyahan. Namun, Raz cuba kuatkan perkataan yang bermain di dalam hati agar terus teguh. "Untuk memberi kekuatan kepada orang lain, kita sendiri terlebih dahulu perlu kuat! Ya Allah! Kuatkan aku demi secebis kekuatan-Mu.. Amin.."
Raz.R
12.09.2011
Salam kasih, Salam kuat kerana Allah.
Sesungguhnya Allah Mahu Hamba-Nya tabah menghadapi musibah. Ingat, jika kita mengeratkan persahabatan kita dengan Allah, siapakah musuh kita yang berani cuba untuk mendekat? .. Senyum ya.. MMuahks.. !