Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, September 30, 2011

Jumaat Yang Tersimpul Indah




Assalamualaikum wbt.
Jumaat kembali lagi. Panjatkan sebanyak-banyak doa untuk diri, untuk Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, orang tua kita dan untuk sesiapa yang kita mahu doakan. Sesungguhnya Jumaat adalah hari yang bermakna.

Raz sayangkan hari Jumaat. Ia seperti hari bagi Raz memulakan sesuatu perkara dengan penuh rasa bahagia. Penghulu hari yang memberikan Raz secebis harapan dan keyakinan bahawa setiap impian dan doa akan dimakbulkan. InsyaAllah.

Terdapat enam perkara yang menjadikan Jumaat itu indah dan tersendiri.

1. Berlakunya hari kiamat.

Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam satu hadis riwayat Muslim, Nabi SAW ada menyebut bahawa, “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”

2. Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari syurga.

Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam diciptakan, dan hari ini jugalah beliau diturunkan daripada syurga.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.”

3. Penghulu segala hari.

Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain.

Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

4. Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.

Menurut Nabi SAW, “Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah daripada fitnah kubur.”

Jadi, sama-samalah kita berdoa moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah ini.

5. Kebaikan dengan memotong kuku.

Peliharalah kebersihan kita. Kalau boleh, lebihkan keutamaan tersebut pada hari Jumaat. Cantikkan diri. Wangi-wangikan diri kita. Tetapi, janganlah sampai menyumbat lubang hidung pula ya? Carilah wangian yang lembut yang selesa pada diri dan sekeliling. Mana yang dah lama tak potong rambut, maka potonglah. Kemaskan diri kita. Jika kita nampak kuku kita sudah agak panjang, eloklah kita potongkan ia.

Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

Cantik sungguh. Jika kita mahu mengurangkan penyakit pada diri. Marilah kita sama-sama amalkan perkara yang baik ini.


Gambar di atas adalah cara memotong kuku mengikut sunnah. Jangan simpan kuku panjang ya? Disebalik kuku panjang yang disangka cantik itu, ada perkara yang tidak cantik tau.

6. Makbulnya doa di antara dua khutbah.

Yang ini pun kita dah selalu dengar. Daripada zaman sekolah lagi mungkin ramai yang telah diberitahu akan perkara ini. Baca doa ketika imam sedang duduk antara dua khutbah selalunya makbul doanya.

Banyak ulamak yang berpendapat bahawa makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.

Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud, “Pada hari Jumaat ada satu saat yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang sembahyang, di mana tatkala ia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.” Dan rasulullah menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja waktu itu.

Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.

Bertuah sungguh para lelaki Muslim yang mampu menunaikan solat Jumaat. Kepada sahabat-sahabat lelaki yang ke masjid hari ini, Raz ingin mengucapkan syabas dan tahniah bersama sekuntum senyuman dari Raz sebagai hadiah. Tolong doakan Raz juga ya?

Usah kita bazirkan Jumaat yang kita miliki hari ini dengan perkara-perkara yang menyumbangkan kemudaratan. Sama-samalah kita isikan ia dengan kebersihan hati, kecantikan akhlak dan perbanyakkan senyum manis yang ikhlas hari ini ya?

Raz mendoakan agar Allah SWT memakbulkan segala impian kita dan merahmati kita semua di dalam keberkatan dan kerahmatan-Nya sentiasa. Amin.


Sembah kasih, salam kudus, tulus dan mulus.
dari Raz.R
30.09.2011