Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, September 7, 2011

Lidah Yang Tergigit .. Keruh Yang Terbuang



Bissmillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum.

"Sedangkan Lidah Lagi Tergigit."
Pepatah dari Allahyarham Seniman Agong P.Ramlee. Raz percaya ramai yang menyukai bidalan manis kata beliau. Benar, di dalam filemnya beliau mengkhususkan kisah rumah tangga. Namun ayat yang dibuahkan yang tidak lapok dek zaman itu berguna di dalam apa sahaja perhubungan. Beliau cuba memberitahu bahawa kita ini insan, yakni manusia biasa. Diceruk mana pun kita berada, kita tetap manusia yang bermisterikan kelemahan dan kekurangan. Penuh dengan kesilapan dan kealpaan.

"Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih."
Sebaris lagi pepatah beliau yang sering berkumandang. Ianya indah mengingatkan kita betapa perlunya kejernihan hati di dalam sesuatu jalinan kemanusiaan. Jalinan silaturahim. Atas sebab kelemahan dan kekurangan itulah maka kita perlu belajar mengenali erti kemaafaan. Boleh jadi hari ini, kita tidak bersalah. Adakah kita pasti yang kita akan terus tidak bersalah? Entah esok, entah lusa kita mungkin akan menjadi pesalah yang sebesarnya, kan? Kita tidak akan dapat meramal itu semua. Kita tidak akan pernah tahu ujian apa yang akan menimpa kita di masa akan datang. Justeru kita perlu bersedia untuk menerima kekeruhan dengan kemaafan dan mengembalikan kejernihan dengan segera bermaafan. Cantik sekali.

Petang tadi, Raz berbual dengan seorang sahabat Raz yang sangat baik, sangat Raz kasihi. Sedikit ilmu telah Raz perolehi daripadanya. Alhamdulillah, dia mengizinkan Raz kongsikan ilmunya diruangan kecil ini. Niat yang baik akan tetap menjadi baik. Mudah-mudahan apa yang disampaikan ini akan terus sampai ke hati kita semua sebagai halwa jiwa dalam membangunkan SILATURAHIM sesama kita. Amin. Moga Allah merahmati sahabat Raz itu dengan kebaikan yang banyak. Amin.

Katanya....

Terkadang..sebagai insan biasa, kita tak lepas dari salah dan silap,baik sengaja atau pun tidak,ada juga yang terluka dan ada yang gembira dan ada yang suka memendam rasa.

"Memaafkan adalah cara yang amat efektif bagi memelihara SIRATULRAHIM"

Kemaafan adalah tanda awal kasih kepada diri sendiri lalu berpautan terhadap individu,keluarga seterusnya masyarakat sekeliling.

Seorang Pak tua pernah berkata,

"Kita ini mesti berani memaafkan seseorang, sekalipun jika dalam masa yang sama dia masih mengulangi kesalahan yang sama, kita harus tetap memaafkannya."

"Hek-Eleh! Habis tu berapa kali kita nak kena memaafkan ni? Bukankah biasanya orang akan memaafkan sampai tiga kali saja? Jika dah lebih dari tiga kali buat salah?...alamat tiada maaf bagimu lah...!"kihkihkih (Alahai kesiannya)

Sebenarnya jika difikir- fikirkan kembali, apa yang Pak Tua katakan tadi ada benarnya! Untuk mampu kasih mengasihi, kita perlu mempunyai kemampuan untuk memaafkan yang lain. Tanyalah diri sendiri, adakah kita memiliki kemampuan tersebut?

Rasa kasih adalah "tindakan keputusan" dan memaafkan juga merupakan keputusan yang secara sedar dan bebas, ia perlu terus diamalkan supaya ikatan SIRATULRAHIM terus tumbuh. Jadi, sebaiknya latihlah diri kita untuk berani dan ikhlaskanlah hati!! Kita harus berani meMAAFkan. Rasa benci jangan sekali disimpan!!!

Jikalau mahu membuktikan keberanian kita, mulakanlah dengan cuba berani memaafkan.

Cubalah berusaha, berkorban dan berdoalah demi sebuah keMAAFan sekalipun kita mungkin memerlukan waktu,tenaga,kesabaran dan pengorbanan yang tidak sedikit. Sesungguhnya saat kita memutuskan untuk memaafkan seseorang, kita juga bebas dari emosi negatif. Ia juga adalah saat yang paling indah penuh kemuliaan.

Daripada kita tinggal berdendam dan menyalahkan orang lain demi untuk membela diri sendiri, ia hanya akan mengundang jalan pintas yang menyesatkan diri kita dengan orang yang disekeliling.

Majoritinya, sikap kita adalah susah atau sukar untuk meminta maaf. Ini adalah salah satu lambang kegoan diri.

Keegoan membuatkan kita cenderung untuk membela diri dan mempertahankan "harga diri" oleh itu tindakan minta maaf sering diiimejkan sama dengan merendahkan diri, memalukan atau mengakui kelemahan diri sendiri. Padahal,meminta maaf itu sangat penting dan sangat mulia. Apabila kita sudah melukakan orang lain, dengan kemaafan segera, luka yang sakit itu akan cepat sembuh. Jadi, kita yang melukai, kita jugalah yang perlu menyembuhkan.

Kebanyakan kita cuma menyesali perbuatan salahnya di dalam hati. Kesal di dalam hati mungkin baik, InsyaAllah.. tetapi, kata maaf yang diluahkan dari lidah yang ikhlas akan lebih Hebat andai kita berani mengucapkan ayat keramat "MAAFKAN SAYA". Pasti setidak- tidaknya kata maaf itu akan menyentuh naluri orang pernah kita sakiti. Jikapun ada sedikit kemarahan, tidak mustahil ada sedikit juga kelembutan hati untuk memaafkan.

Jadi, beranilah kita untuk memberanikan diri memohon maaf dan memberi kemaafan.

"Mai kita cuba..try..test?" Bermula dari sekarang belajar untuk memaafkan orang lain. Dengan cara itu, bekas luka batin dalam diri sendiri kita juga akan tertutup dan emosi kita pun akan mudah terkendali. Memaafkan orang lain, bererti kita juga memaafkan diri sendiri.

Tersenyum dan damailah buat kita yang berjaya setulus hati berkata, "Aku memaafkanmu... Sekalipun lidah tergigit, bersabarlah dan maafkanlah. Andai terasa yang keruh masih pekat, heningkanlah dan jernihkanlah ia dengan "MAAF" demi kebaikan silaturrahim sesama kita. WAllahu A’lamu bissowab

Janganlah sombong, janganlah ego kerana yang layak memiliki sombong dan ego itu hanya Allah SWT yang menciptakan dan memiliki apa yang kita rasa kita sedang memilikinya sekarang. Malulah pada Allah dan bersatulah kerana Allah.

Firman Allah SWT :
"Sesungguhnya kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya dan kepada kamilah mereka akan dikembalikan" [Surah Maryam ayat: 40]
Kita ini hanya hamba.. jadilah hamba yang sedar dirinya hamba.


Salam kasih, salam maaf, salam silaturrahim,

Raz.R
07.09.2011
Terima kasih sahabat.
Maafkanlah Raz andai
kehadiran Raz mengundang kesakitan.