Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, September 5, 2011

Keajaiban Rasa




Bismillahirrahmanirrahmanirrahim..
Ya Allah! Sesekali rasa ini cukup indah.. terbawa hingga ke malam bagai titisan zam-zam yang membasahi tekak dengan segala kemujarabannya. Allahuakhbar!

Pada mulanya, Raz tidak ingin menulis tentang pengalaman yang Raz lalui hari ini. Raz ingin simpan sendiri. Biar ia menjadi kenangan peribadi dan disimpan untuk muhasabah diri. Namun, entah mengapa Raz bagai dijengah suruhan hati untuk memahatnya di sini sebagai sehelai lembaran sejarah hari ini yang mungkin boleh di baca oleh anak cucu Raz nanti sebagai 'mutiara jiwa' yang tidak seberapa tapi tersirat makna kecil terhadap hidup Raz. Sehari selembar kata, tidak mustahil suatu hari yang diizinkan nanti sebuku sejarah. Jikapun Raz mungkin tidak berpeluang memiliki anak cucu, tetapi InsyaAllah, sesungguhnya kuasa Allah akan membentur jalan yang berliku menjadi benar. Allah berkuasa atas segala-galanya.

Ketika Raz menaip barisan ayat ini, ketahuilah yang nafas Raz sedang setenang bayu laut yang nipis bersahaja bersama segaris senyuman beralas aman. MasyaAllah! Air mata yang tadi telah berhenti, kembali lagi. Air mata asyik! Air mata syukur.

Awal petang tadi, seperti biasa Raz melakukan tugasan luar pejabat. Melalui hari ini sebagaimana hari-hari bekerja yang biasa. Bertemu kalangan mereka yang biasa berhubung dengan tugas Raz.

Raz terpandang sebuah senyuman dari seseorang yang tidaklah seerat mana Raz kenali. Raz suka padanya. Raz selalu perhatikan kecantikan Allah yang ada pada dirinya. Raz singgah pada si pemilik senyuman itu dan memberikan dia senyuman Raz seperti biasa. Dia membalasnya. Raz renung senyumannya kali ini, sambil mengucapkan salam Aidilfitri dan kemaafan. Pelik! Senyumannya tidak seperti senyuman yang selalunya dilemparkan kepada Raz. Raz tergetus membaca senyumannya. Hati Raz berkata sendiri, " Senyum itu, senyum yang penuh keliru!"
Namun Raz diamkan saja. Melepasi Si pemilik senyuman tawar tadi dengan membuang wasangka. " Biarlah!" dan Raz pun berlalu meninggalkannya.

Malang sekali, langkah Raz terasa berat. Secara spontan Raz menulis secebis doa di sistem pesanan ringkas telefon bimbit dan terus menghantar pada si pemilik senyuman tadi. Secara sendirinya ia terjadi. Tapi Raz tahu, Allah bersama Raz. Dialah yang menggerakkannya.

Selang beberapa minit, satu deringan telefon dari si pemilik senyuman tadi menghubungi Raz dan katanya sambil menangis, "Macam mana Kak Raz tahu? Boleh saya jumpa dan peluk kak Raz sekarang?"

Dengan hati yang lapang dan penuh kesediaan Raz menerima pelawaannya. Sebenarnya Raz agak terkejut apabila dia berkata begitu. Namun, ada nikmat yang tidak dapat Raz bayangkan dengan kata-kata di situ. SILATURAHIM. Raz segera temui dia kembali dan kami berpelukkan tanpa silu walaupun agak ramai orang yang memandang.

Dia mula bercerita dan Raz menyediakan telinga dan hati mendengar keluh kesahnya. Walaupun sebelum ini kami tidaklah begitu mengenali antara satu sama lain. Saat Raz mendengar keluhannya, tercipta satu rasa indah. Mungkin itulah rasa yang muncul dari keajaiban rasa untuk membahagiakan orang lain tanpa meminta apa-apa. Subhanallah!

Diakhir perbualan kami, satu kata termaktub untuk silaturahim yang terjalin.. "Semua ini kerana Allah, kan kak Raz?" dan kata Raz.. "Ya, semua ni kerana Allah."

Alhamdulillah.. dari keajaiban rasa senyuman, sekalipun senyuman itu senyuman kekeliruan ia tetap menjalinkan sesuatu yang baik dan indah. Hati Raz mendoakan kelapangannya. Moga Allah memberinya lebih kekuatan menghadapi segala keresahan yang dilalui kini dengan pasrah dan tawakkal yang mendalam disamping berusaha memperbaiki apa yang harus dia perbaiki. Dia wanita solehah kerana itu Allah SWT menduganya begitu. Amin..

InsyaAllah, moga silaturahim kami makin tebal selepas ini. Amin.

Jangan lupa senyum ya? Dalam senyuman ada keajaiban!!!!


Salam kasih, salam sayang.
Raz.R
05.09.2011
MMuahks!