Salam kasih Kerana Allah
Sunday, September 18, 2011
Dialog Luka Wanita : Dilema Rindu Dahulu
"Bayu rindu yang dahulu
walau datang bertalu-talu
bagai kompang dipalu
menjentik kalbu
merisik kembali kenangan dulu
hembuslah jauh.. tidak ku mahu.."
Begitulah rasa hati Su ketika ini. Ketika dia sedang berperang dengan takdir yang tidak pernah diketahuinya. Ketika dia sedang cuba mendaki hidupnya untuk ke puncak semula. Ketika dia meraut-raut kekuatan diri agar tajam dan bisa menembusi hidup yang baru. Terharu naluri insan yang ada pada diri Raz melihatkan Su yang bersusah-payah mengawal diri untuk bangun dari rebahnya.
Kami bertemu lagi dengan cerita baru. Nampaknya Su perlu menggagahi diri berdepan dengan jati dirinya lagi. Su memberitahu Raz bahawa 'kenangannya' kembali menuntut rindu dan kasih setelah sekian lama membiarkan Su perih dan tersisih. Su dihantui dilema.
"Dia mahu Su kembali padanya, Kak Raz!"
"Habis tu? Su mahu kah?"
Su membisu kelu. Jauh dibawa matanya ke arah pohon kekabu di hadapan rumah Raz yang berbuah putik. Su melurut-lurut lengan kerusi yang didudukinya. Raz menyambung kata, "Setelah apa yang Su lalui selama ini? Setelah Su melalui siksa yang lama?"
Baru seketika, dia melangkah meninggalkan masa silamnya. Tiba-tiba dia digoda dengan kedatangan lagenda yang mengusik lukanya semula.
"Su.. hidup kita ini singkat. Takkanlah Su nak patah balik ditempat yang lama yang Su telah tahu apa kesannya nanti?"
Raz tidak berniat untuk mengapi-apikan rasanya. Naluri Raz membaca wajah Su yang memimikkan dilema. Raz dapat rasakan yang Su masih terubang-ambing dalam menimbang perasaannya waktu itu. Wanita dan perasaannya. Jikalau boleh, biarlah Su tidak tersilap langkah lagi. Andai benar lelaki itu menyayangi Su, kenapa tidak dari dulu dia menjadi berani dengan keputusan "lelakinya?". Raz tertanya-tanya apakah niat yang terlindung di sebalik 'mahu' kembalinya dia. Benarkah dia datang lagi untuk berhenti menyakiti Su atau kembali kerana sesuatu yang diingininya dari Su?
Su adalah adalah seorang wanita yang mudah bersimpati, berkorban dan mudah menyayangi. Hati Raz mula sangsi melayani benak yang berkocak. Raz sayangkan Su. Ya Allah! Engkau berikanlah hidayah-Mu pada hati Su dengan jalan yang terbaik dari-Mu, Ya Robb.
Su nampak runsing dan pusing. Raz jadi gundah. Raz tahu Su sedang menggelabah resah.
Situasi ini sebenarnya tidaklah susah jika dengan azam yang tidak goyah dan tidak mengalah. Kata orang "Azam, mampu meremukkan besi waja." Namun, kadang-kadang cinta juga mampu meleburkan rasa sakit walaupun lama deritanya. Raz jadi makin bimbang.
"Su..., kak Raz rasa Su kena balik kepada Allah dalam hal ni. Kak Raz dah tidak tahu apa yang perlu kak Raz kata pada Su lagi. Apakata kalau Su solat istikhorah dan mohon pertolongan dari Allah. Tapi, sebelum tu.. buatlah solat taubat dulu. Mohonlah keampunan Allah. Mungkin ada perkara yang Allah mahu Su mengerti. Bersihkan hati Su dengan mohon ampun dari-Nya. Kemudian mintalah petunjuk-Nya dengan istikhorah. InsyaAllah, dengan izin-Nya Su akan ditemukan cara bagaimana untuk melalui ini semua."
Su mengangguk perlahan. Berat mulutnya tidak terluah apa jua kata-kata. Seberat dilema yang dirasakannya. Hati Raz ini rasa terkilan sekali dengan sikap pihak yang suka bermain 'tarik tali' dengan perasaan wanita. Masalah memang akan melanda sesiapa sahaja dan ragam masalah akan muncul di dalam pelbagai perkara, namun tidak bermakna kita perlu memperkotak-katikkan kesetiaan mereka yang menyayangi kita sewenang-wenangnya. Andai bijak berjanji, bijaklah menepati. Untuk apa kita perlu bersikap "sekejab pergi, sekejab mari?". Pelik sungguh ragam manusia ya?
Walaubagaimanapun, itulah resamnya manusia. Jika dia tidak mampu memimpin hatinya, tidak kuat untuk tetap pada keputusan yang baik pada nafas jiwanya dan menyimpan nawaitu yang palsu dan berdusta, maka jelas sekali hidupnya akan sia-sia. Dia tidak akan dapat menyelami nikmat kasih-sayang yang diberi Allah SWT sebenar-benarnya.
Raz mendoakan Su teguh pada kehidupan yang telah dipilihkan Allah untuknya. Untuk Su..
"Wahai hati yang direnggut kesedihan, melangkahlah dengan perlahan. Di ufuk sana telahpun tersedia jalan keluar dan ada sunnah baku dan benar yang akan memberi keringanan. Wahai mata yang selalu digenangi air mata, hentikanlah limpahan air mata itu dan berilah ketenangan pada kedua bola matamu. Tenanglah, kerana kamu berhak mendapat perlindungan dari Yang Maha Pemelihara dan dari kebijaksanaan-Nya. Qada sudah selesai, Allah Maha Mengetahui apa yang telah dirancangkan-Nya bagi kita yang menetapkan usaha. Tenanglah, kerana akhir perjalanan hidup yang dibaluti dengan zat Allah itu adalah kebaikan, hasilnya kesenangan dan penutupnya kemuliaan.. InsyaAllah.." Wallhua'lam.
Bersemangatlah!
Salam kasih, salam sayang.
Dari Allah kita datang, kepada Allah kita tetapkan hati dan kepada Allah jualah kita berserah diri. Aamiin.
MMuahks!
Raz.R
18.09.2011