Salam kasih Kerana Allah
Wednesday, September 28, 2011
Batas Rasa
Sudah lama Raz tidak mencoretkan luahan Raz di sini. Sebenarnya Raz bimbang, jika kata-kata yang Raz tulis di sini akan menimbulkan penafsiran yang mengganggu dan mengecewakan sesetengah pihak terutama sahabat-sahabat Raz yang setia membaca pendapat Raz (Terima kasih). Sedangkan di hati Raz ini hanya berusaha berkongsi sekecil ilham, sekelumit ilmu dan setitik pengalaman. Justeru, Raz ingin mendahulukan ampun dan maaf seandainya tulisan Raz ini mengundang pelbagai ketidakselesaaan. Moga Allah menjauhkan kita dari keburukan dan sentiasa mendorongi kita ke arah pedoman yang tulus terus kepada-Nya semata. Amin.
Tidak ada seorang insan pun yang mengharapkan dirinya dirembes pengalaman pahit dalam hidupnya.Tidak ada seorang pun dari kita yang berminat untuk memilih duka melebihi gembira. Itu sudah pasti. Kalau boleh, kita mahukan Allah menjadikan dunia ini seindah Firdaus-Nya tanpa ada apa-apa hal-hal yang menyusahkan langsung. Sudah tentu mustahil, kerana Allah telah memberitahu kita bahawa sememangnya kita dihidupkan di dalam dunia ini adalah untuk menerima ujian-Nya samada dalam bentuk buruk atau baik. Jadi, tugas kita sebagai hamba-Nya adalah akur dengan penuh kesetiaan.
Kadang-kadang kita dibisik oleh usikkan seolah kehidupan sedang mentertawakan kita. Apa sahaja yang kita perbuat menjadi serba tidak kena. Kita terhukum dengan bayangan rasa aib yang melintas. Kita mula terjunam dalam rasa dungu dan bodoh. Kita dihujani dengan perbandingan antara kehidupan kita yang kita lalui dan dengan kehidupan yang dimiliki orang lain. Mulalah kita berkata, "Siapalah aku berbanding mereka." Lalu kita dipengaruhi rasa rendah dan membatukan diri.
Sebenarnya, apa yang dirasakan orang lain belum tentu benar seperti apa yang telah kita rasai dan apa yang kita dirasai tentang orang lain juga belum tentu benar seperti anggapan kita. Rencah hidup ini adalah "teka-teki" dan jawapannya disimpan oleh Allah Ta'ala hingga terbuka. Tiada pakar yang benar-benar pakar melainkan Allah.
Biar apa jua yang kita rasa dan lalui di dalam hidup kita, jangan kita sulam dengan kezaliman atau penganiayaan. Baik terhadap diri sendiri atau orang lain. Samada ia berbentuk fizikal mahupun mental. Berbuat baiklah pada diri sendiri dan terhadap orang lain juga sebagaimana yang telah dipesan oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Qasas ayat 28:77 yang berbunyi :-
"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (kenikmatan)duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan." Amin...
Apabila kita persoalkan tentang bencana hidup masa lalu, masa sekarang atau masa hadapan,sebaiknya, janganlah kita terlalu bermain dengan rasa. Apabila kita terlalu mengikut rasa, banyak perkara dalam hidup kita akan dibawa binasa. Kadang-kadang, rasa itu hanya sekadar rasa yang penghujungnya tidak memberi apa-apa pun imbuhan.
Kita perlu berhati-hati. Ya! Itu benar!.Berhati-hati adalah keperluan hidup. Dengan berhati-hati, kita mungkin berdaya mengubah sesuatu yang kusut menjadi tenang. Pun begitu, terlalu teliti berhati-hati hingga membuatkan perasaan menjadi mati untuk mencuba sesuatu nikmat Allah adalah amat salah. Ia seolah-olah menunjukkan kita menafikan kebesaran Allah. Sepertinya kuasa rasa kita itu lebih tepat daripada kuasa Allah. Padahal Allah telah berjanji bahawa tiap perubahan yang mengganjakkan kita ke suatu tapak yang lain dikepilkan bersama perubahan itu kebaikan dan hikmah. Cubalah tanyakan pada diri kita, besar sangatkah kuasa kita sehingga kita mahu menolak kuasa Allah? Alahai..Janganlah begitu.
Sesungguhnya masa depan hidup kita ini tidak ditentukan oleh tempat dan waktu, tetapi oleh keimanan, kualiti ketaatan sebagai orang yang benar-benar beragama dan faktor hati yang membenihkan akhlak diri sejati. Hati juga adalah tempat untuk melihat Tuhan. Apabila hati telah tertanam satu keyakinan yang padu terhadap Tuhan, maka ia akan menggerakkan roh merasai ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan jiwa walau apa pun kenyataan hidup yang kita terima pada waktu itu. Cubalah pula tanyakan pada diri kita, bagaimana keadaan hati kita sekarang? Kukuhkah keyakinan hati kita terhadap Tuhan? Percayalah, bahawa apabila roh kita menemui kesejatian tersebut, ia akan meluap singgah pada roh-roh yang lain yang berada berdekatan kita. Mereka juga akan turut mencontohi dan mahu mengenali apa yang kita miliki. InsyaAllah. Jadi, yang mengubah sekeliling kehidupan kita adalah dari pimpinan hati yang kita terbitkan dari dalam diri kita sendiri. Jarang ia berlaku dari luar diri kita.
Sama-samalah kita memperbaiki rasa dalaman kita ke arah yang tidak merosakkan cara hidup kita yang sebenar. Janganlah kita membiarkan rasa kita melampaui batas-batasnya. Kemudilah dan kendalikanlah rasa kita daripada digoda sakit pra-sangka. Bila jangkitan pra-sangka melanda maka kita akan melunturkan rasa percaya kita terhadap apa yang diberi oleh Allah Ta'ala dan hati kita dihembus rasa tidak bersedia dan tidak redha. Kita akan dibuai gelora rasa yang tidak indah belaka.
Wallahua'lam..
Salam seindah rasa.
Moga Allah memberikan kesejahteraan sentiasa.
Raz.R
29.09.2011