Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, March 10, 2012

Tekanan Dan Kesusahan



Kadang-kadang hidup amat terbeban dengan keadaan yang sesak, sukar dan payah. Kita ini insan biasa. Setenang dan sebijak mana pun kita cuba menjauhi atau menghadapi masalah dan tekanan hidup, pasti akan ada suatu hari yang kita gagal membendung kekuatan agar tetap utuh dan kita terpaksa membasuh segala keresahan itu dengan air mata. Tidak mengapa. Menangislah jika perlu. Tangisan itu mengingatkan kita bahawa, kita hanya hamba yang tidak memiliki daya kekuatan melainkan dengan kekuatan Allah semata-mata.

Bila saat sukar itu datang, menghadaplah ke arah qiblat. Perbanyakkanlah istighfar kepada-Nya dan katakanlah pada hati kita sendiri bahawa apa yang terjadi hari ini adalah kehendak Allah dan telah diaturkan-Nya sedemikian rupa. Maka berlapanglah dada dan kembali bersangka baik. Sesungguhnya Allah Maha Tahu dan Maha Mengerti.

Setiap ujian memiliki dua jalan penyelesaian.

Pertama, yang baik jika kita berlapang dada, jalan kita akan disuluhi oleh kebaikan dari bimbingan dan tuntunan Allah Taa'la.

Kedua, jalan yang mungkin membawa kita terlanjur dengan kehinaan hasil dari bersangka buruk yang membenarkan bisikkan syaitan mengajak kita menjadi temannya.

Lalu sorotilah, jalan mana sebenarnya yang harus kita pilih. Jalan kebaikan memang memerlukan air mata dan rasa sakit di dalam dada tetapi itulah yang membawa kita ke syurga, InsyaAllah dan begitulah sebaliknya.

Bermujahadah itu adalah payah, namun Allah telah menjanjikan kita nikmat keimanan daripadanya.

Semoga kita semua tetap berpegang kepada satu jalan.. tidak lain hanya menuju kepada Allah Yang Maha Esa.

Jika susah hati.. jangan beratkan ia dengan rintihan dan keluhan ya? Bersabarlah dan tetapkan iktibar pada diri dengan doa yang bersungguh. Allah akan datang memberikan pelukkan-Nya. InsyaAllah.. Ameen.


Raz tersenyum lagi. Tulisan malam ini adalah inspirasi dari seorang sahabat. Semoga kita dicintai Allah. Ameen. Selamat malam. Assalamualaikum. Salam kasih dari Raz kerana Allah.