Salam kasih Kerana Allah
Monday, March 26, 2012
Kagum
Alhamdulillahirobbil'alamien..
Petang 26 Mac yang indah. Walau cuaca panas terik menggigit kulit hampir seharian, Allah singgahkan hujan yang lebat senja ini sebagai pemujuk kepada hamba-hamba-Nya yang akur mensyukuri panas tadi sebagai anugerah-Nya. Senyum.
Keletihan menjalar dari hujung rambut ke hujung kaki. Namun Raz tahu letih Raz tidaklah seletih peladang dan petani yang membanting tulang hingga lewat senja. Tidak juga seletih si pelaut yang mencuba nasib di lautan yang tidak dapat dijangka ragamnya. Kekadang tenang, kekadang pula dipukul badai yang kejam. Keselamatan dan nyawa menjadi taruhan demi secupak beras. Alhamdulillah. Letih Raz adalah letih biasa dari manusia yang biasa yang diuji dengan sekelumit dugaan biasa cuma.
Raz kagum. Kagum dengan mereka yang Raz lihat lebih hebat dan kuat. Kaum sejenis Raz yang bergelar ibu. Sedari subuh yang belum singgah sehingga berlabuh malam melenakan manusia, mereka tidak jemu mengorbankan masa dan tenaga tanpa berkira-kira. Kalutnya hidup dengan tanggungjawab. Kalutnya mereka dengan kerenah anak-anak. Kalutnya mereka dengan alam kerja. Kalutnya mereka dengan kehendak rakan. Kalutnya mereka dengan ketaatan kepada suami. Kalutnya mereka dengan sanak-saudara. Kalutnya mereka dengan keluarga.
Tersenyum Raz apabila memerhatikan mereka. Kuatnya mereka memikul banyak perkara dengan dua tangan dan dua kaki. Hebatnya hati mereka dibalutkan ketebalan cekal, sabar dan tabah. Betapa ranumnya naluri yang mereka miliki. Sarat dengan kasih sejati. Murni. Semurni mentari yang tidak lelah memberi walau kadang-kadang dicaci maki oleh yang tidak tahu mensyukuri.
Padanlah.. Memang tepat, apabila Allah mempermudahkan kaum yang sebegini 'mudah' beroleh syurga Allah. Beruntungnya mereka yang melakukan semua itu kerana Allah dan menyediakan segala yang mereka lakukan itu seiring dengan tawadduk dan istiqamah kepada Allah sehingga mencapai anugerah SOLEHAH.
Sesungguhnya menjadi manusia yang bergelar wanita, tidak semudah cerita dan tidak juga sesukar kata. Nyata, Allah mengadili segalanya dengan bijaksana. Wanita mungkin lemah pada kudrat dan pancaindera, namun mereka kuat jiwa.
Jauh disudut hati, Raz mendoakan agar ramailah wanita yang dapat kenal keistimewaan mereka dan tidak disia-siakan semberono sahaja. Semoga Allah membendung perlindungan-Nya kepada wanita-wanita yang mahu berhijrah ke arah fisabilillah. Semoga Allah juga memberikan hidayah dan petunjuk kepada wanita-wanita yang masih belum temui sinar sebenar. Sama-samalah kita. Ameen.
Salam kasih. Secubit Senyum Seluas Sayang.