Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, March 10, 2012

Kejujuran Yang Digenggam




"Jikalau kita jujur dengan orang lain, belum tentu kita akan mendapat kejujuran yang sama daripada orang tersebut."

Tersenyum Raz dengan ayat ini.
Inilah kenyataan hidup. Apa saja bentuk situasi yang kita lalui, kita sebenarnya tetap berada di dalam keadaan yang diuji oleh Allah Taa'ala. Keadaan yang baik adalah ujian bagi kita untuk memperkasakan diri agar terus tetap di dalam kebaikan, manakala keadaan yang tidak baik yang mungkin tidak kita ingini juga adalah ujian yang sama. Yakni memperkasakan diri menerima keburukan itu sebagai pengalaman yang menempa peribadi dewasa agar lebih kuat dan bijak menghadapi kehidupan kita seharian yang lebih mencabar di masa hadapan.

Kita mungkin tidak mampu untuk mengubah situasi sekeliling menjadi seperti apa yang kita mahu tetapi, InsyaAllah kita akan mampu mengubah tindakkan, mentaliti dan sifat kita ke arah yang kita mahu. Jadi, pilihlah!

Raz percaya dan yakin kepada Allah bahawa segala apa yang kita lakukan, sekalipun tidak dihargai sekeliling namun jika hati kita dipenuhi sejernih keikhlasan dengan niat ke arah yang satu yakni kerana Allah semata-mata... maka Allah akan bersama kita dan memberikan jalan yang terbaik bagi menghargai kita dengan cara yang ditentukan oleh-Nya. Mengharapkan Allah dengan segenap cinta kita kepada-Nya adalah lebih baik daripada meletakkan pengharapan itu kepada manusia yang jelas adalah makhluk yang baharu dan lemah. Apa yang datang daripada manusia, kekalnya belum tentu akan berterusan, namun jika ia daripada Allah.. itulah yang terbaik.

Justeru, kejujuran yang kita buat dan apa sahaja yang kita berikan kepada orang lain samada dibalas dengan kebaikan atau keburukan atau tidak di balas langsung.. bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan lagi. Biarkanlah segalanya di balas oleh Allah dan itu adalah lebih indah. Malah sangat-sangat memberikan nikmat yang hebat. Ameen.