Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, December 15, 2011

Sahabat Yang Bagaimanakah Kita?


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamulaikum..

1.Berikanlah sokongan.Sahabat sejati selalu saling memberi semangat dan dorongan supaya mereka sama-sama dapat menjadi yang baik dan terbaik, bukannya saling menjatuhkan atau saling banding membandingkan. Dia akan berbahagia ketika sahabatnya berjaya mencapai apa yang diinginkannya dan tidak akan berasa dengki dan iri.

2. Sebaiknya tanyakan diri apakah yang dapat kita berikan kepada sahabat kita, bukan apa yang kita dapat dari persahabatan yang kita bina. Janganlah kita bersahabat hanya demi memperoleh kesenangan, kerana jika demikian niat kita maka kita bukanlah sahabat sejati. Memberilah dengan rasa penuh ikhlas tanpa menanti sebarang pulangan.
Sebagaimana kita ingin diri kita dihargai, begitulah kita perlu menghargai sahabat kita. Jika mahu disayangi sahabat maka kasihilah sahabat itu. Jangan sekali-kali mempergunakan sahabat kita demi kepentingan diri sendiri dan jauhilah dari mengotori persahabatan itu dengan ketidakjujuran.

3. Jika kita melihat kesalahan yang terbukti dari sahabat kita itu, jangan terlalu pertikaikan kesalahan yang dibuatnya Ini adalah suatu cara untuk menunjukkan betapa kita ambil berat terhadapnya. Jangan tinggalkan sahabat kita saat dia berbuat kesalahan. Bersabarlah dan pimpinlah dia untuk berubah. Sedarkanlah diri kita bahawa tiada siapa yang memiliki sifat yang sempurna dalam segalanya. "Sempurna" itu hanya milik Allah. Manusia hanya mampu menyempurnakan dirinya dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki ke arah sifat yang lebih baik sebagai insan. Menjadi insan yang “lebih baik” tidak bererti manusia itu tidak pernah mempunyai kesalahan dan tidak akan tersilap langkah. Seandainya kita berpengetahuan dan cukup kekuatan untuk memperingatkan sahabat kita apabila dia berada di dalam keadaan salah, maka berikhtiarlah agar peringatan itu dapat dilakukan dengan penuh hemah dan bijaksana. Sahabat yang paling baik adalah sahabat yang berjaya memperbaiki ketika keterlanjuran kesilapan menghampiri sahabat yang lain.

4. Persiapkan diri kita untuk bersedia memaafkan. Jangan biarkan 'luka' berkembang menjadi kepahitan kerana yang demikian akan menghancurkan persahabatan yang ada. Maafkan kesalahan yang diperbuat oleh sahabat kita dan jangan biarkan luka itu meruntuhkan perhubungan yang telah lama terikat.


5. Jadilah sahabat yang boleh dipercayai dan tepatilah janji yang telah kita ucapkan. Jangan kita meremehkan apa yang kita janjikan kerana janji adalah kewajiban walaupun sekecil perjanjian. Ketika kita tahu kita tidak mampu menunaikan janji yang dibuat, elakkan dari menyediakan janji tersebut. Memberi janji bermakna memberi harapan. Memberi harapan boleh disamakan dengan memberi sebuah kehidupan.

6. Jangan kita cuba mengawal tindakkan dan pergerakkan sahabat kita. Bersahabat bukanlah bermakna kita harus selalu bersama-sama . Memang bertuah dan sangat menyenangkan apabila kita dapat selalu bersama dengan orang yang kita kasihi. Harus diingat, sahabat kita itu bukan monopoli kita sendiri kerana dia juga mempunyai teman lain selain kita dan dia juga mempunyai pelbagai urusanya yang perlu dilalui untuk kehidupannya. Untuk itu jangan merasa dikhianati ketika temanmu bergaul dengan yang lain, sebaliknya usahakan agar kita juga dapat berteman dengan teman-teman sahabat kita itu. Ini akan lebih menyelesakan dan membuat kita dan sahabat kita lebih menghargai satu sama lain.


7. Selalulah berusaha untuk menyediakan diri kita disaat senang mahupun susah bersama sahabat kita. Bergembiralah bersama mereka saat mereka sedang bergembira namun jangan ada hanya pada saat suka dan senang saja. Ketika sahabat kita sedang kesal akan sesuatu, berikan mereka perhatian. Saat yang paling diperlukan dari seorang sahabat adalah ketika kita menyediakan sepasang telinga yang bersimpati dan yang ingin memahami perasaan mereka. Sekalipun kita mungkin tidak memahami apa yang sahabat kita lalui ketika emosinya terganggu atau apa jua masalah yang dihadapinya ketika itu, mendengar tanpa menghakimi keluhannya adalah perkara yang sedikit sebanyak membuatkan beban rasanya menjadi ringan.

8. Siapapun sahabat kita itu, terimalah dia seadanya dia. Jangan menuntut sahabat kita untuk beraksi dengan cara yang sama seperti yang biasa kita lakukan. Hargailah dia apa adanya termasuk juga keputusan yang dia ambil yang mungkin tidak sesuai dengan kehendak kita. Menerima sahabat kita itu dengan seadanya, bukanlah meminta kita menurut dan mencorakkan diri kita seperti sifat-sifat yang dimilikinya tetapi memperseimbangkan apa yang baik dan apa yang buruk yang boleh diterima akal, hati dan iman kita sendiri. Kebaikan, kita jadikan teladan manakala keburukan pula, kita jadikan sempadan.

9. Jangan kita jadikan diri kita sebagai pembuka pekung. Belajarlah untuk menjaga rahsia sahabat kita. Kekurangannya, kita simpan sebagai pengajaran. Kebaikannya kita contohi sebagai tauladan.

10. Usah biarkan perbezaan pendapat menghancurkan persahabatan kita. Misalkan kita sedang berdiskusi dengan sahabat itu dan waktu kita mengemukakan pendapat yang menurut kita benar tetapi dia membangkang dan dia tidak setuju. Bila itu terjadi, jangan terus berdebat yang hanya akan membuat kita bodoh. Lepaskan hasrat untuk menang sendiri daripada persahabatan kita itu rosak kerana perdebatan tersebut. Perlahan-lahanlah menyelesaikan pendapat itu mengikut masa dan kesesuaiannya. InsyaAllah, sahabat kita akan memahami pendapat kita itu, seandainya kebenaran ada padanya. Begitu juga sebaliknya dengan kita.

11. Ketika sahabat kita di dalam keadaan marah, jangan kita tinggalkan dia hanya kerana amarahnya itu. Mungkin sebaiknya kita boleh cuba menjadi air untuk memadamkan kemarahannya. Jika tidak, berdiamlah seketika sehingga marahnya hilang. Kembalilah padanya ketika dia tenang.

12. Doakanlah sahabat kita. Jadikanlah Allah SWT sebagai pengikat murni yang teratas di dalam persahabatan kita. Sayangi sahabat kita kerana-Nya kerana persahabatan itu hadir adalah bersumberkan dari gerakkan Allah Taala. Usahakan agar diri sentiasa mendoakan sahabat kita bagi kebahagiaannya. Berdoalah di dalam keadaan sembunyi ataupun terang namun harus diingatkan hati kita agar ikhlas mendoakan tanpa riak, mengharap balasan atau menunggu pujian. Mendoakan secara terang itu adalah sebagai latihan diri agar kita membiasakan diri melakukan kebaikan sehingga berbekas di dalam jiwa dan menjadi rutin utama tindakkan kita seharian. Walaubagaimanapun, yang terbaik itu adalah mendoakan orang lain tanpa pengetahuan mereka.

Wallhualam. Semoga kita semua dapat melatih diri kita menjadi sahabat yang terbaik kepada sahabat kita. Sesungguhnya kehendak Allah SWT bagi hamba-Nya di muka bumi ini adalah penjaga perhubungan antara hamba-Nya (kita) dengan DIA dan menjaga perhubungan baik kita sesama manusia kerana-Nya. Amin.



Maafkanlah andai aku bukan sahabatmu yang terbaik, mohon doamu agar aku mampu menjadi sebagaimana yang dimahukan oleh-Nya. Amin.

Setulus hati Raz.R
15.12.2011