Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, April 24, 2011

Bukan Puteri , Tidak Juga Bidadari



Gambaran apakah olehmu tentangku?
apakah harapmu aku jelita?
apakah mahumu aku remaja?
tidak tertelan usia, tidak kerut melata?

Maaf,
aku bukan puteri.. aku bukan bidadari
yang mewah dengan harta
mampu ditumpang lazat dan pangkat
lalu keturunanmu tampak hebat.

Mahu apakah diriku didampingimu?
budi yang didukung cuma biasa
diri untuk dijulang tiada indahnya
santun diseli tak betah dipuji

Maaf,
aku bukan puteri, jauh sekali bidadari
lalu apa yang kau cita tiada serinya
impian melangit, bukan aku yang dikait
padaku sekeping hati seorang insani

Tujuan apakah diriku diperlu?
tiada sekecil kesempurnaan dikecap
tiada sepalit istimewa tercatat
Aku hanya insan bergelar rakyat.

Aku.. bukan puteri, tidak juga bidadari
.


Insan mana yang tidak menginginkan hidupnya sempurna dengan segala keistimewaan. Raz juga tidak terkecuali mengharapkan segala yang ada pada diri Raz ini adalah yang terbaik. Terlingkung oleh cita-cita dan nafas kemahuan demi kemahuan. Tetapi, kelengkapan itu, kesempurnaan itu dan apa yang Raz miliki pada diri Raz ini hanyalah biasan sementara yang nyata bukan Raz yang empunya. Sesungguh-Nya DIA.. Dia yang lebih berhak dan mengerti keperluan apakah yang perlu disusun untuk Raz pada hari ini, esok atau sebelumnya.

Bagi yang mengenali Raz dan mengharapkan Raz supaya memiliki tuntutan-tuntutan kehidupan yang luarbiasa dan tidak memiliki sebarang kesilapan.. maaf, berhentilah menaruh harapan itu. Arahkan pengharapan itu kepada Allah semata. Kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakkal. Keputusan yang selebihnya adalah Hak MUTLAK Allah Taa'la.

Wallahua'lam.

Salam kasih dengan senyuman yang melebarkan sayang yang berpanjangan. Assalamualaikum. MMuuuahks!

Kekang Jiwa.



"KEHEBATAN INSAN YANG BERANI MENGEKANG JIWANYA ADALAH LEBIH HEBAT DARIPADA SEORANG RAJA YANG BERJAYA MENAKLUKI SEBUAH KOTA"

Pagi ini Raz bertanya pada akal, kenapa hidup Raz dipenuhi kekecewaan? Luahan jujur Raz. Hakikat seharian yang Raz lalui. Dan Raz juga bertanya pada hati apakah wajar Raz menerima semua kekecewaan tersebut? MANUSIA. Manusialah yang akan terus terkait dengan kekecewaan. Sesama manusialah juga kekecewaan itu timbul.

"Jadi baik salah, jadi jahat pun salah." Getus Raz pada hati sendiri.

Selagi wujud kelaknatan hasad sesama manusia, selagi itu tidak akan habis rasa kecewa. Raz akui, Raz tidaklah sebaik manusia sepertimana dikehendaki Ilahi. Raz adalah insan yang penuh dengan serba-serbi kekurangan mahupun kesilapan.Hidup ini dipenuhkan dengan pilihan, hak dan peluang-peluang yang perlu digapai.

Seandainya semua pilihan hidup kita sendiri sentiasa digugat oleh pandangan dan kehendak yang lain untuk kehidupan kita, apakah hak yang kita ada? Kita malahan tidak berdaya untuk bergerak ke mana-mana. Ibarat boneka bertali. Hanya bergerak mengikut rentak si pemain boneka.

"Jangan baik sangat, Raz.." Ada yang pernah berbisik begitu kepada Raz dengan pandangan yang sinis dan muak. Kenapa? Kenapa Raz tidak boleh berbuat kebaikan? Sungguh menghairankan! Kadang-kadang, Raz sendiri juga terlatah turut sama menggunakan perkataan tersebut terhadap yang lain dan tiba-tiba Raz diusik dengan kejanggalan rasa (Kenapa tidak boleh jadi baik?).

Agaknya itulah yang dimaksudkan dek ramai tentang pepatah, "Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali." Namun, yang lebih dikesal dan dipelikkan, ramai yang lebih suka kita terjerumus di dalam keburukan. Ramai yang lebih rasa senang apabila kita tidak berasa senang. Senang untuk mencela!

"KEHEBATAN INSAN YANG BERANI MENGEKANG JIWANYA ADALAH LEBIH HEBAT DARIPADA SEORANG RAJA YANG BERJAYA MENAKLUKI SEBUAH KOTA"

Raz ulang lagi ayat mula yang telah Raz tulis.
Untuk iktibar diri dan mungkin untuk iktibar kita yang ingin diiktibarkan. Jika kita berhasrat untuk berbuat kebaikan, kekangkanlah jiwa, kuatkanlah hati. Tepislah simbahan kata yang meracun perasaan kita. Teruskan kebaikan. Memang susah untuk berusaha memperbaiki diri kerana kehidupan kita dilingkari oleh pelbagai tonansi ajakkan ke arah keburukan diri.

Berpeganglah kepada tali yang paling UTUH... Tali Allah.
Jika kita MAMPU untuk terus berbuat baik, teruskanlah!
Tidak akan berlaku apa pun perkara di kehidupan kita ini melainkan dengan izin Allah Ta'ala.

Jiwa yang kental menghadapi tohmahan adalah jiwa yang berjuang!

Assalamualaikum.. salam sayang penuh senyuman.. MMuahks.

Carilah Jawapan, berhenti beranggapan.




Salam kasih.. Salam kerana Allah.. Moga dieratkan sesama kita sentiasa dan terbinalah kekuatan ikatan di dalam satu arah... menuju Allah kepada SWT.

Apa khabar? InsyaAllah, moga dilingkungi keselamatan, kebaikan dan kasih sayang Allah jua hendaknya.

Kelmarin cuti umum bersambung hari ini. Wah! Raz rasa lega sekali. Alhamdulillah, jiwa sedikit tenang dengan rehat yang Alhamdulillah agak memuaskan. Mungkin hanya sekejab Raz beroleh ruang mengambus dan menanam gusar kehidupan seharian supaya tidak muncul dan mengganggu hati. Syukur, walau seketika.. ia mungkin boleh menjana kesegaran Raz untuk menghadapi hari esok dengan lebih tega, InsyaAllah. Amin.. Ya, esok.. Esok, jika dipanjangkan usia.. kita teruskan hidup seperti biasa dan sebaiknya!

Mengingati haluan yang bakal Raz lalui, terasa kecut gerun di hati. Mengingat susur-susur yang wajib Raz telusuri, Astaghfirullah..., Raz bertanya pada diri adakah kemampuan ini cukup untuk menghadapi kemungkinan-kumungkinan yang bakal datang. Terbayang-bayang kesimpulan demi kesimpulan. Pelbagai andaian, pelbagai anggapan berserak. Hakikatnya, yang paling banyak mempengaruhi andaian tersebut adalah negatif. Soalan yang Raz tanya pada diri... "Adakah segalanya ini dari dosa diri sendiri?"

"Arghh!!!!....
Jikapun seluas lautan dosa itu.. Yakinlah jika sudah hadir penyesalanmu, Allah itu menanti untuk mendengar rayuanmu terhadapnya. Mohonlah pengampunan dengan penuh keikhlasan, sepenuh dan sebulat-bulat kesalan.. InsyaAllah, Allah itu Maha Mengasihani dan Maha Pengampun."

Adakalanya Raz mengalami diri di dalam dua dunia. Seolah dibelah dengan perbezaan. Satu rasa bersifat protagonis, dan satu rasa lagi antagonis. Kedua-duanya seringkali berperang.Raz merasakan kemenangan tidak berpihak kepada mana-mana pun sifat itu. Raz seperti berada di tengah persimpangan dan tegak berdiri tanpa menapak ke arah mana pun. Beku. Kaku.

Waktu itulah.. Raz amat mengharapkan hidayah-Nya. Moga Raz tidak terbiar kaku di situ. Moga Allah menolak Raz untuk berjalan di hala yang benar. Tidak tertarik di jalan sesat atau ke jalan mati. Nauzubillah.

Bila kita sering mengandai-andai perkara yang bakal berlaku di dalam kehidupan kita, begitulah rasanya, sahabatku. Bila kita cepat membuat penilaian atas perkara-perkara yang belum berlaku, ketakutan datang menyapa dengan megahnya. Bila kita berteka-teki tentang sesuatu yang tiada kepastian, akal dinaungi kegelisahan bercampur keserabutan. Bila kita menyangka-nyangka perkara yang belum tentu munculnya, dada berkocak dengan rasa tidak puas dan ketenangan jiwa tidak akan berbekas.

Begitulah rasanya.

Raz menyusun iktibar dari semua jaringan rasa tersebut. Jawapannya... JANGAN! Jangan lekas bersangka-sangka. Jangan cepat mengukur kejadian. Jangan cepat membuat anggaran. Cubalah kumpulkan kesabaran dan kekuatan bagi mengikis desas-desus hati mempercayai andaian yang belum benar terpatri pasti. Nyahkan! Lalu bertenanglah... Biarkan kehidupan mengalir mengikut alirannya tanpa terganggu. Apabila sampai waktu kita ditakdirkan melalui sebarang tetapan, yakinlah.. itu telah menjadi habuan diri dan Allah lebih mengerti yang kita benar-benar mampu hadapi. Jika tidak, masakan DIA memberi?

Carilah jawapan pada setiap persoalan. Jawapan yang sebenar dan benar. Bukan jawapan yang dicipta dari tanggapan sendiri. Andai hati terasa masih sangsi, bertanyalah. Usah biarkan diri dirundung perjalanan yang sentiasa berkabus tebal.

Sekiranya, kita masih tidak berdaya bertanya, kerana pertanyaan kita mungkin akan melukakan sesiapa.., biarkan soalan itu terjawab sendirinya suatu hari nanti. Usah gusar lagi. Sesungguhnya benarlah, kebenaran itu sentiasa akan timbul. Cuma kesesuaian waktu yang akan menjadi penentu segalanya. Wallhua'lam.

~Carilah jawapan, berhentilah beranggapan~


Raz.R
Mengharap kasih Allah terus kepadamu. Salam sayang penuh senyuman.
MMuahhhks.

Wednesday, April 20, 2011

Harmoni Cinta



* Dan Aku limpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku*- [Surah Thoha:39]

Assalamualaikum wahai sahabat yang tetap meniti hidup dengan kasih sayang Ilahi hingga ke hari ini. Alhamdulillah. Moga Allah terus mengasihimu dan memanjangkan usiamu untuk segala urusan-urusan yang diamanahkan oleh-Nya. Amin.

Lewat senja tadi, Raz seperti punai kecil yang pulang ke sarang. Keletihan, kepiluan setelah terbang ke sana ke mari mengisi ruang-ruang tuntutan rezeki. Hati dan akal bergelut dengan keluhan. Mengharap belas alam agar faham, sungguh Raz kehabisan tenaga. Astaghfirullahalazim.. betapa lemahnya Raz ini. Benak tertanya,lidah mengucapkan syukur, namun kenapa hati masih merintih? Kedhaifan diri yang ternyata sekerdil hamba. Razlah itu...

Sebelum memberi salam memasuki gerbang hadapan rumah, Raz dikejutkan suara lantang garuk yang Raz amat-amat kenal sedari kecil. "Pada siapa Pak Tua berceramah?" Tanya hati Raz. Mengembangkan cuping telinga mendengar dari dekat. Terlihat ayah sedang membaca muka surat- muka surat terjemahan cerita dari sebuah kitab. Lantang. Dan ibu, sedang mendengar dengan diam, melentang dan mata terpejam khusyuk.

Hati Raz tiba-tiba kembang dengan ketenangan. Dari dahulu, ayah sering membacakan cerita-cerita agama pada ibu kerana ibu tidak akan mampu membaca dengan sendirinya. Dia tidak pernah bersekolah. Suara lantang ayah bergema di seluruh pelusuk ruang kecil rumah, kerana ibu lemah pendengarannya. Ayah tidak jemu mengulang-ngulang ayat supaya ibu dapat menghafalnya. Itu sahaja kemampuan ibu yang sedikit- menghafal dari apa yang di dengar. Alhamdulillah, dia cepat mengingat. Kelebihan yang Allah kurniakan padanya. Tidak tahu huruf dan perkataan tapi tetap boleh membaca melalui caranya yang tersendiri. Raz tiba-tiba jadi kagum dengan mereka. Ketekunan, kegigihan dan keharmonian kasih yang memukau dunia Raz hingga kini. Di usia Raz ini.

Alun, ombak, taufan dan pasang surut kehidupan tetap ada di mana-mana kehidupan kita. Namun akan tetap ada detik di mana ketika itu kita akan merasakan hidayah-Nya untuk setiap jalan yang kita tempuhi. Badai tetap akan sesekali melanda sebuah rumah tangga tapi terpulang kepada 'nakhodanya' bagi berusaha mengemudi bahtera itu ke arah mana.

Api yang menyubur dengan maraknya keletihan, keluhan pilunya kesedihan tadi tiba-tiba menitis keluar dari ruang hati Raz dan hilang. Disebalik ketiadaan yang Raz rasai ketika itu, lantas menimbun jadi penuh dan sarat. Sarat dengan rasa syukur yang teramat. Sarat dengan impian telus dan terus kepada-Nya. Tuhan, Engkau hilangkan sesuatu dariku dan engkau telah meng-ada-kan sesuatu yang lain untukku. Ampuni aku Ya Robb. Ampuni aku! Astaghfirullahalazim...

Seandainya Allah menemukan Raz dengan kasih manusia. Biarlah kasih itu setara juga untuk mereka berdua. Seandainya Raz memilki cinta, biarlah harmoni itu untuk mereka jua. Dalam diam Raz terbaca ilmu dari mata Raz yang memandang...

"DI SITU ADA HARMONI CINTA YANG TIADA TARA."

Raz menyeka air mata. Meneliti kelemahan diri hingga saat ini. Moga Allah bahagiakan mereka selamanya. Raz punya jutaan harapan 'di dalam'. Moga.. Moga.. dan moga... segala doa yang terkalung di hati kecil ini termakbul oleh-Nya. Amin... Ya Robbal Alamin.


Selamat Malam Semua. Mmmuahks.
Moga apa yang tertulis mampu menyampaikan kasih. Amin. Senyumlah!

Monday, April 18, 2011

Demam Rindu


Salam kasih penuh doa untuk semua. Assalamulaikum.
Moga sihat sejahtera dan moga Allah menyediakan kebahagiaan yang seluasnya.. Amin..

Moga setiap musibah dan kesakitan yang kita alami di dalam hidup ini dan di atas bumi Allah ini bertukar menjadi hidayah ke arah penyucian jiwa dan dosa. Amin.

Hari ini kesihatan Raz meleset.
Mujur, mujurlah Allah tidak membebankan Raz dengan sakit yang teruk, yang mencacatkan atau hilang pancaindera dan lain-lain. Cuma demam biasa, sakit tekak, batuk dan sengal-sengal badan. Alhamdulillah. Allah tahu Raz tak mampu menanggung kesakitan yang lain. Dia mengetahui semua kekurangan dan kelemahan Raz. Dia juga Maha Arif takat kemampuan Raz. Sakit itu ujian. Sakit itu kifarah.

Diulit demam yang kian berkurang. Masih boleh tersenyum. "Hai Raz, demam rindukah kamu?",detik hati sendiri. Dan Raz jawab sendiri, "Agaknyalah!" Kih! Kih ! Kih!

Sebenarnya, ya! Raz rindu untuk berehat. Raz rindu untuk bertenang. Raz rindu untuk bersendiri. Mengharmonikan diri. Memanjakan diri. Mententeramkan hati. Rindu untuk berdiam diri. Rindu untuk berfikir tentang kedamaian. Jauh dari rasa letih. Jauh dari terbeban dengan kelodak-kelodak hidup yang perlu disapu, diatur dan dikemaskan. Jauh dari hiruk-pikuk manusia dengan kemanusiaannya.

Itulah manusia. Insan biasa. Ada waktu perlu sakit untuk kembali bangkit.

Wallhua'lam.

Demam rindu,
biar rindu ini hanya untuk-Mu, Tuhanku.
Sejukkan demamku ini dengan salju kasih-Mu.
Padamkan panas jiwaku dengan air keimanan.
Demam rindu,
Sembuhkanlah aku dengan CINTA-MU Ya Robbi..

Moga hari esok adalah hari yang amat sihat. Amin.

Saturday, April 16, 2011

"SEJUTA JELITAWAN - SATU BIDADARI"




Moga segala urusan dilindungi dari hasutan syaitan serta kemudharatan lalu sentiasa dilindungi Tuhan dengan pasiran keberkatan selamanya.

Assalamualaikum wbt.

Petang tadi, Raz terserempak dengan seseorang yang Raz kenali. Lalu, kami duduk berbual. Berbeza dari waktu Raz bertemu dengannya dulu, wajahnya kali ini sugul. Raz menilai sendiri di dalam hati, raut air wajahnya seperti sedang membukukan kesal yang berat. Kami bercerita. Tidak sangka pula dia tiba-tiba ingin berkongsi rasa dengan Raz. Mungkin pada waktu itu, dia benar-benar tidak berdaya dan perlu merungkai kusut di jiwa.

Ceritanya menyentuh hati Raz. Rasa ingin berkongsi. Hemm.. biar Raz ulaskan cerita ini seadanya. Anggaplah ia sekadar cerita tetapi tersirat makna. Yang baik jadikan hidayah, yang buruk jadikan teladan.

Katanya, dia pernah memiliki seorang wanita yang amat mencintainya. Kekesalan timbul setelah wanita itu tiba-tiba hilang darinya.

Ketika perhubungannya terjalin bersama wanita itu, dirinya sering dihebatkan dengan rasa penghargaan. Maklumlah, lelaki mana tidak suka jika ada wanita berbangga dengannya. Lelaki mana tidak suka, jika wanita menghormatinya seperti sultan yang menjajah dunia?

Melalui wanita itu dia mengenali perasaan yang indah apabila disayangi.Diakuinya bahawa wanita itu terlalu amat menyayanginya. Dapat dirasai kasih sayang yang penuh, sekujur diri, sehening cinta. Tiada tara.

Sayang sekali, kasih sayang wanita itu terhadapnya sentiasa diletakkan sebagai perkara biasa. Mungkin kerana egonya. Dia menganggap menemukan wanita- wanita di dalam hidupnya adalah sesuatu yang enteng. Dapat ditemui di mana-mana. Bukankah wanita ramai bilangannya? Jika hilang satu, sepuluh akan menempek diri di sisinya.

Dia sering sahaja menggilis kasih sayang wanita itu dengan mengambil kesempatan. Mempergunakan wanita itu semata-mata kerana kepentingan diri. Telah dibuat pelbagai helah. Setiap kali dia berada di dalam kesulitan, digunakan kasih sayang wanita itu sebagai batu loncatan agar dia memiliki segala apa yang dicita-citakan. Dia sentiasa merendah-rendahkan kebodohan wanita itu mencintainya. Dia sering saja memaniskan lidah dengan semarak ayat cinta bagi memperolehi sebarang usaha dari wanita tersebut untuk memperolehi apa sahaja yang dicita-citakannya.

Hebatnya cinta wanita tersebut digambarkan melalui sikap sabar, tabah yang dimiliki. Tiada rungutan di atas setia pemberian yang dihulurkan. Malah pemberian disampaikan dengan senyuman seikhlasan. Harta, nasihat dan kasih sayang tidak pernah putus untuknya dari wanita itu. Ada ketika diabaikan perasaan wanita yang mencintainya itu oleh sikap tidak bertanggung jawab. Pernah suatu hari, dia meninggalkan wanita itu berdiri di tengah lebat hujan di malam hari seorang diri sedang dia pergi bersuka-suka bersama teman-temannya yang lain selepas wanita itu memberi dia sedikit bantuan kerana dia gagal mencari kerja. Dia tidak pernah ambil peduli tentang keselamatan wanita itu malah tidak juga bertanya khabar. Wanita itu memberitahunya melalui pesanan ringkas bahawa kesihatannya terjejas oleh demam sehari selepas itu, namun diabaikan sahaja khabar tersebut dengan membisu tanpa balasan.

Pun begitu, setiap hari dia tetap dihubungi wanita itu yang selalu mengambil berat tentang kesihatan, makan minum, kerja dan masalah-masalah hidup yang mungkin dia sudi berkongsi bersama sebagai tanda kasih sayang di dalam sebuah ikatan. Dia sering mengherdik wanita itu dengan kesat kata-kata. Adakalanya dia mendengar esakkan kecil wanita itu apabila dimarahi, namun wanita itu tidak pernah berputus asa memberikan kasihnya dengan sehalus dan semulus harapan ke arah kebaikan Tuhan. Tidak juga dia membalas kata-kata buruk dengan keburukan jua. Tidak pernah wanita itu memukulnya dengan dendam.

Ketika dia memerlukan wanita itu, dipujuknya dengan halusan kata manja. Ketika hidupnya dikelubungi rasa bebas bahagia, wanita itu dilupakannya. Dibiarkan wanita itu terkapai-kapai. Apabila wanita itu cuba menghubunginya, diputuskan talian dan tidak langsung dia cuba menghubunginya kembali. Dia sendiri tidak mengerti kenapa perlu dia memperlakukan wanita tersebut sebegitu sekali. Mungkin, dia rimas dan terganggu. Padanya, wanita menyusahkan!

Selepas beberapa lama, dia membiarkan wanita itu. Dia masih tidak endah. Mengabaikannya. Menzalimi hati wanita yang telah mengasihinya tanpa sebarang syarat. Akhirnya, dia dapat merasai wanita itu mula mendiamkan dirinya. Tiada lagi panggilan manja. Tiada lagi kata cinta yang diterima di telinga. Seminggu, dua minggu dan seterusnya hingga dia cuba menghubungi wanita itu kembali. Namun, taliannya tidak berjawab. Sehingga suatu hari, dia menerima pesanan ringkas di talian telefonnya berbunyi .....(Dia menunjukkan mesej itu pada Raz)

"Abang yang sayang sayangi. Bukan semua manusia itu bertuah. Bukan semua orang dapat memiliki kasih sayang yang sejati. Tidak semua orang akan dicintai oleh orang lain seada dirinya. Jika kita sedar kita sedang menerima kasih sayang dan cinta itu, pelihara, hormati dan hargainya. Jangan dilepaskan. Hidup akan amat sepi tanpa insan sebegitu. Percayalah abang. Sekadar berpesan, kiranya abang menemui seseorang yang benar-benar dapat menyempurnakan hidup abang, tolong jangan jadikan dia seperti yang telah dilalui sayang. Moga abang bahagia."


Sehingga hari ini, dia cuba menghubungi wanita itu. Tidak ditemuinya wanita itu di mana-mana. Dia mula terasa hidupnya kosong. Tiada lagi suara yang menemani kesulitannya. Tiada lagi kata-kata sokongan dan dorongan. Tiada lagi sebuah hati kudus. Dia mula rindu.

Dia cuba berpacaran setelah itu. Semua wanita yang ditemuinya adalah jelitawan namun di hatinya masih tercari-cari... HANYA SATU BIDADARI.. Satu yang tidak menyerupai semuanya. Namun, masih hilang entah di mana.

Raz terdiam mendengar ceritanya. Tiada sebarang komen dari Raz. Dan di sini juga, setelah Raz berkongsi cerita ini dengan sahabat-sahabat semua.. Raz masih tidak mahu mengulas dengan komen selanjutnya.

Fikir-fikirkanlah sendiri, dan apa yang terbuah di hati... itulah rasamu.

Salam sayang penuh senyuman.. MMMuahhhks.. Selamat malam.

Thursday, April 14, 2011

Masalah


Hai, Assalamualaikum dan "Semangat" pagi Raz beri.

Raz terkenangkan seseorang. Minggu lepas Raz berbual dengannya. Ternyata hidupnya dilingkungi dengan pelbagai beban. Tidak Raz sangka sama sekali kehidupan "Kais pagi, makan pagi ; kais petang, makan petang" masih wujud di zaman sekarang ini. Malah, dalam desakkan ekonomi manusia yang melonjak dengan peningkatan pelbagai kos sara hidup, tidak dapat menolak sejumlah besar dari kita dibebani hutang piutang.

Taraf akademik sekadar sekolah rendah cuma. Peluang untuk mendapatkan kerja yang sempurna dan berpendapatan empat angka baginya, tidak pernah dirasa. Sekadar membantu kerja-kerja tukangan yang mudah. Katanya, dia telah mencuba pelbagai perkara bagi meraih kehidupannya menjadi lebih baik namun, tiap kali usahanya bermula, ada sahaja dugaan yang diterima. Menyedihkan, usahanya sering terbubar kerana cantas-mencantas dengan rasa iri dan dengki sesama sahabatnya sendiri.

Sekarang, dia meneruskan hidupnya dengan hasil yang amat kecil. Lima puluh ringgit baginya, adalah satu nilai yang cukup besar dan bererti baginya. MasyaAllah! Raz menghormatinya. Sekalipun, dia dibebani dengan masalah dan bebanan sekeliling, tidak pernah Raz dengar sebarang rungutan dari bibirnya. Apa jua masalah diterimanya dengan tenang.

Katanya, jika kita terlalu meletakkan masalah itu sebagai perkara yang perlu diungkit-ungkit, kita akan sentiasa hidup di dalam naluri rasa yang sentiasa 'sakit'. Jangan biarkan masalah menguasai kita dan menggoncangkan kehidupan kita sehingga timbul kesedihan dan waktu tersia-sia dengan mengenang-ngenang masalah yang berlaku.

Raz akui, ada waktu Raz dirundung masalah yang tidak dapat Raz lalui dengan tenang. Dialah yang Raz hubungi untuk sedikit kekuatan. Ternyata, walaupun kata-katanya biasa, ringan dan nipis, apa yang dirasakan berat digalas menjadi kurang menekan. Alhamdulillah.
Suatu hari, Raz menghubunginya dan dia memberikan Raz dorongan yang bersahaja tetapi penuh makna dan mampu mengembalikan senyuman di bibir Raz :-





"Kawal emosi, Tuan Puteri! (Nama timangan yang dipanggil olehnya. Hi! Hi! Hi) Bungkuskan masalah itu dan letakkan ke tepi sementara waktu.Selesaikan mana-mana masalah yang ringan terlebih dahulu. InsyaAllah, masalah yang berat akan terbuka jalannya nanti."

Subhanallah! Terima kasih "Pak Tukang"! Raz mendoakan kebahagiaannya selalu. Orang yang selalu membahagiakan yang lain sekalipun dengan kata-kata kecil, wajar menerima kebahagiaan yang sama. Ya Allah! Murahi rezekinya, permudahkan setiap urusannya. Amin. Jika boleh dan jika diizinkan Allah SWT, Raz akan terus membantu "Pak Tukang" dengan semampu Raz. Namun, kadang-kadang situasi Raz tidak mengizinkan dan Raz hanya mampu memerhati dari jauh dengan hati yang sayu dan simpati. Hanya doa yang mampu Raz beri.

Raz percaya doa yang baik akan di bawa kepada alam dan alam juga akan mengaminkan doa-doa yang baik itu terus kepada Allah SWT. Moga hidup "Pak Tukang" terus tenang dan setiap masalahnya berkurang. Amin..

Semoga kita sentiasa kuat menghadapi setiap masalah yang kita lalui. Semoga kita sentiasa ingat, untuk memandang mereka-mereka yang lebih mengalami masalah yang berat daripada kita. Dengan itu, kita akan mengerti di mana sebenarnya kita sedang berdiri.

Salam hormat, salam kasih dengan senyuman tulus mesra dari sekujur diri Raz.
MMuaaahhhks!