Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, October 3, 2011

Kertas Putih







Bissmillahirrahmanirrahim...
Sehelai kertas putih kita terima, untuk menulis atau melukis cerita hidup kita mengikut gerak rasa kita, sebagaimana yang kita rasa selesa dan suka. Seiring dengan jalan dan rahmat yang telah di tunjukkan oleh Rasulullah SAW dan Allah Taa'la di dalam Hadis dan Kitab-Nya.

Perjalanan hidup kita ini ditentukan oleh kita sendiri. Memang benar kehadiran orang lain itu menjadi penyeri dan pelengkap kegembiraan dan membina taman ukhwah yang membina dunia bermasyarakat yang indah, namun kita harus sedar bahawa kebahagiaan itu dapat dirasa di dalam diri kita sendiri. Sekalipun kita mungkin ditabur pelbagai keindahan luar, kebahagiaan itu tidak akan kunjung datang jika keindahan yang di dalam diri kita sendiri tidak muncul. Bolehkah kita bahagia dengan sebenar-benarnya jika kita menerima sehelai kertas putih tetapi kita dipaksa menulis tentang apa perlu untuk orang lain?

Hidup ini akan menjadi lebih indah bilamana kita menulis seluruh isinya mengikut kehendak Allah dan yang lain membingkaikannya dengan doa-doa dan harapan yang baik tanpa menelan kegamatan hasutan dari bisikan syaitan yang nyata sentiasa datang mahu menyesatkan.



Diamlah seketika.. renung sejenak dan tanyalah diri, apa yang kita mahu dan jalan manakah yang kita ingin pilih? Tulislah dan lakarkanlah ia sebagaimana yang kita mahukan namun sertakan dengan kebijaksanaan Tuhan sekelian alam. Jangan melakar benci, tulislah lagu-lagu bistari. InsyaAllah, semuanya akan menjadi tenteram dalam rasa redha yang dalam. Subhanallah. Berlindunglah kita di bawah payung-Nya yang Maha Luas.

Amin Ya Robbana..Wallahua'lam.


Salam kasih kerana Allah SWT
Senyumlah dan teruskanlah hidup dengan seadanya.
Raz.R
03.10.2011