Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, October 23, 2011

Aib Diri



Kedhaifan diri yang sering kita terlepas pandang. Raz pesankan untuk diri Raz sendiri yang sememangnya dhaif dengan serba-serbi khilaf sebagai manusia biasa.

Janganlah hanya kerana satu aib yang tersembunyi atau dosa kecil yang boleh ditutupi dengan kebaikannya yang lebih banyak, kita menjadi jauh dari seseorang yang pernah kita puji latar belakangnya, malah kita pernah terima cara hidupnya, kita terima kemuliaannya dan kita ketahui kemampuan berfikirnya.

Kita pasti tidak akan mendapat seorang pun yang sempurna tanpa aib dan dosa. Cubalah letakkan diri kita ini pada tempatnya, tidakkah kita terpaksa melihatnya dengan redha dan tidak menilainya dengan pandangan hawa nafsu semata?

Sebenarnya kita terlalu lemah untuk sedar bahawa apabila kita meletakkan diri kita pada tempatnya dan menilai dari persepsi yang dilaluinya akan ada sesuatu yang boleh membantu kita mendapatkan apa yang kita inginkan dan mendekatkan diri kita kepada orang yang telah kita nilai sebagai pendosa itu.

Firman Allah SWT di dalam surah-Nya dari surah An-Najm : 94..

"Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (Bahawa kamu suci bersih dari dosa) Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa."

Biasakan diri kita menghisab diri sendiri terlebih dahulu sebelum kita menghukum keaiban yang lain kerana kita ini adalah manusia yang mempunyai begitu banyak kelemahan. Kadang-kadang kelemahan kita itu lebih diketahui orang lain daripada kita mengetahuinya. Kita ini adalah manusia yang sering lupa dengan apa yang kita sering nampak benar menjangkaui pandangan kecil ilmu yang ada pada diri kita sedang ilmu yang berada di sekeliling kita amat luas sehingga ia dapat meneka kelemahan-kelemahan yang tidak terfikir untuk kita menyedarinya.

Wallua'lam

Moga Allah sentiasa menyuluh nurani kita dengan hidayah-Nya agar tidak kita alpa mengenali kelemahan diri kita sendiri dan bersedia berhijrah dari dunia yang samar ke dunia yang lebih cerah dengan hikmah-Nya. Amin..


Raz.R
23 Oct 2011
Usah Terlalu Lekas
Kita Memalingkan Muka