Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, October 28, 2011

Dialog Luka Wanita: Misteri Hati




Malam indah berhiaskan bayu segar sambil melayan irama ombak yang menghempas pantai.
Raz memandang langit hitam yang berkerdipan dek jutaan bintang. Nafas Raz disedut dan dihembus tenang perlahan. Jantung berdegup sekata dan senada. Termenung menyaksikan alam-Nya. Tersenyum kecil. Mengamati cantiknya serakan bintang.

"Hai, Kak Raz? Senyum kat langit? Mesti ternampak sesapa kat situ kan?"

Raz menoleh pada susuk tubuh kurus yang memerhatikan Raz sejak lama. Raz hadiahkan dia senyum geli hati. Melirik mata Raz membaca telatahnya.

"Su, nak tahu apa yang kak Raz nampak?"
"Eh-eh.. mestilah!"

Dia tersenyum dan Raz juga tersenyum. Kami sama-sama mendongak ke langit. Raz memerhatikan Su yang sedang mengamati suasana langit yang indah.

"Jangan buka mulut,Su.. Takut nanti tertelan tahi burung. Ha!Ha!Ha!" Gurau Raz.

Dia ketawa berdekah sambil mencubit lengan Raz. Kami sama-sama ketawa.

"Tak ada apalah Su, Kak Raz sekadar mengkagumi corak langit yang dipenuhi bintang-bintang yang cantik. Itu sajalah."

"Iyalah tu.. kan?" Su mengenyit sebelah matanya.

Sebenarnya tekaan Su benar. Ada sesuatu yang Raz nampak di langit malam secara mata batin ini. Raz nampak kehidupan Raz yang silam. Kenangan semenjak dari zaman kanak-kanak sehingga di usia sekarang. Ada yang samar-samar kelihatan dan ada yang masih jelas dan segar.

Raz nampak diri Raz di langit yang kelam. Seorang ibu telah melahirkan Raz di dalam keadaan serba kedhaifan. Kisah yang dikhabarkan ibu tentang masa kecil Raz masih terngiang-ngiang. Bagaimana ayah ibu membesarkan Raz dengan bersandarkan hidup yang serba kekurangan.

Kata ibu, melahirkan Raz adalah perkara yang amat payah kerana Raz adalah bayi yang paling besar di sebuah hospital semasa tahun kelahiran Raz dan membesarkan Raz juga banyak di lalui dengan kepayahan. Ayah ibu pernah memberitahu Raz yang mereka pernah mengikat perut untuk Raz. Mereka pernah hanya meminum air bubur nasi semata-mata ingin memberikan Raz isi nasinya untuk sekian lama juga. Demi untuk membesarkan Raz. Demi Tuhan, jasa mereka pada Raz dan seisi keluarga yang lain tidak dapat Raz balas sekalipun jika Raz ada mempunyai segunung intan.

"Kak Raz? Ke mana tu? Jauhnya pergi.."
Tersentak dari lamunan silam itu dan Raz toleh ke arah Su yang sudah berada hampir dengan Raz. Raz ketawa.

"Su tak ada cerita baru ka?" Raz mengubah kisah Raz. Menjauhkan diri dari mengenang kisah silam yang telah berlalu.

"Tidak ada yang menarik la Kak Raz. Hidup Su macam biasa. Sekejab baik, sekejab tak baik."

"Tak apalah Su, memang rencah hidup kita begitu, kan? Kak Raz pun samalah. Kadang-kadang kuat, kadang-kadang pula lemah yang tersangat."

"Yalah Kak.. kadang-kadang tak terlarat nak lalui macam-macam beban, kan?"

"Hemm.. betul tu Su. Kita tak ada pilihan melainkan meneruskan kehidupan sebagaimana yang telah diberi Allah. Lagipun, Allah kan ada kata yang Dia tidak akan membebankan hamba-Nya dengan bebanan yang tidak mampu ditanggung. Maksudnya, apa yang kita sedang lalui ini, memang Dia tahu yang kita mampu menghadapinya. InsyaAllah."
"Tapi kan kak.. kenapa kita selalu sangat rasa macam tak mampu saja ya?"

"Mungkin kita belum kuat hati. Mungkin kita belum mempersediakan diri sebaiknya, Su. Mungkin kita masih belum menghayati dengan keimanan. Kenipisan iman kita itu yang membuatkan kita tidak yakin terhadap diri sendiri atau terhadap kepercayaan kita pada Allah. Kak Raz pun selalu lalui rasa yang sama. Rasa acuh tak acuh dengan kemampuan diri, malah tidak tepati apa yang Allah mahu kita lakukan."

"Betul kak, terlalu nipis iman kita. Kadang-kadang tu, solat pun macam tak solat aja. Main patuk-patuk tapi hati dan akal tidak pada-Nya."

"Hemm.. Hati kita, Su. Hati kita ini selalu sahaja berbolak-balik dengan keadaan. Kita membiarkan keadaan mengawal kita. Kita tidak mempertahankan diri untuk mengawal keadaan. Kita tidak memenuhkan hati kita ini sebenar-benar dengan Nama-Nya. Kita ringankan kepentingan DIA kepada kita. Kita beratkan kepentingan keadaan sekeliling di dalam hati kita."

"Agaknya hati kita tak bersih." Kata Su memuncungkan bibirnya dengan wajah yang kesal.

"Hati kita pernah bersih, Su. Tapi kita sendiri yang menghitamkannya."

Kami terdiam seketika. Menghirup bayu yang menyentuh. Mendongak lagi ke langit. Mengira bintang yang tidak mampu dikira. Malam, biarpun hitam dan kelam, masih indah kerana ia ciptaan Allah. Subhanallah. Sebentar kemudian, Raz memerhatikan Su dengan soalan yang ingin Raz ketahui. Tentang hatinya kini. Namun, Raz tidak sampai hati untuk membuka kisah yang mungkin mengembalikan carik luka silamnya. Jadi Raz batalkan niat Raz untuk membuka kata.

"Kak Raz, Su nak tanya sikit boleh?" Tiba-tiba Su mengejutkan Raz.

"Erm,tanyalah." Raz tersenyum. Dia nampak acuh tidak acuh untuk meneruskan soalannya kepada Raz.

"Kak Raz pernah rasa sunyi?" Terpana dengan soalan yang menghairankan hati Raz, tetapi Raz tenangkan debar di dada. Raz carikan keikhlasan di dalam jiwa Raz sendiri.

"Sudah tentu Su. Kadang-kadang walaupun kita dikelilingi ramai manusia macam di tapak pasar malam sekalipun, kita tetap ada perasaan itu."

"Ha!Ha! Kak Raz ni kan, kalau jawab soalan orang ada saja madahnya. Tapi, betul tu kak, Su pun kadang-kadang macam tu jugak. Kadang-kadang tengah bersembang dengan kawan-kawan ramai pun, tiba-tiba terasa sunyi. Pelik betullah."

"Misteri hati. Hati kita ini Su, nampak saja seperti penuh dengan segalanya.Padat dengan rasa-rasa kehidupan yang kita lalui hari-hari, tetapi masih ada seluas ruang kosong yang masih boleh diisikan dengan sesuatu,Su."

"Macam ada sesuatu yang tidak cukup saja, kan kak?"

"Ya,Su. Ruangnya akan terus terenggang menyediakan tempat untuk sesuatu.Terpulang pada apa cara yang kita rasa wajar kita isikan ruang yang masih kosong di hati itu."

"Contohnya, kak Raz?"

Raz tersenyum lagi. Bagaimana mungkin Raz menyatakan sesuatu yang perlu diisikan di ruang kosong hati Su sedangkan dia sendirilah yang paling mengetahui apa yang perlu dan mahu dipenuhkan di dalam hatinya itu.

"Salah satu contoh yang paling baik dan tepat adalah dengan mengisikan ruang-ruang itu dengan nama Allah dan sentuhan kasih-Nya melalui amalan-amalan yang tertentu. Kak Raz rasa itu semua Su dah tahu. Selebihnya kak Raz tidak tahu kerana Su sendiri yang tahu apa yang perlu di hati Su, InsyaAllah."

Su tersenyum sipu. Raz juga tersenyum. Biarkan persoalan tentang itu tetap menjadi "Misteri di hati."

Salam kasih kerana Allah. Jagalah hati kita sebaik mungkin.

Raz.R
Senyum selalu