Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, June 29, 2011

Ungkitan




Salam penuh kasih dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
Moga disejahterakan hidup kita hari ini ke arah yang lebih baik, lebih kuat bertahan, lebih berhemah dan lebih mulia. Amin..

Sedikit halwa kata pendek penyeri malam, InsyaAllah. Tentang perasaan belas dan kasih sayang.

Kebanyakan kita tidak terlepas dari sifat mengenang kembali perkara silam dan menjadikan ia sebuah ungkitan samada ia berbentuk perbuatan baik atau buruk seseorang insan.

Ungkitan memanglah perkara yang seringkali akan merosakkan sesuatu perhubungan. Ungkitan seringkali lebih banyak membawa kepada perbalahan terhadap banyak jenis pertalian. Sesuatu pemberian yang telah kita berikan lalu kita bangkitkan kembali apabila terdapat sedikit perselisihan adalah perkara yang sakit untuk di dengari sesiapa sahaja.

Kita adalah manusia biasa yang tidak sempurna. Selama mana usia kita bertambah, semakin pula diri kita akan surut dengan kelemahan-kelemahan tertentu. Terutama pada akal kita. Jarang kita dapati kita mengingati dengan jelas perkara-perkara yang berlaku di kisah lampau kehidupan kita. Lama-kelamaan ingatan kita akan mula samar. Tidak mudah untuk kita ingat seluruh perkara silam di dalam hidup kita dengan terang dan jelas. Lalu, kita mula dijangkiti penyakit LUPA.

Bila kita mula lupa, kita akan memerlukan seseorang yang mengenali diri kita untuk mengingatkan. Dan lupa itu bukanlah perkara yang terlalu dhaif dan hina. Malah Allah sentiasa mengampunkan hamba-Nya yang terlupa dan tidak sengaja. Namun, lupa yang menjadikan diri kita hina ialah bilamana kita LUPA DIRI. Saat itu, kita amat memerlukan "Sipemberi ingatan" agar kita tidak terus sesat jalan.

Apabila kita "Lupa Diri", kita akan mula "Lupa Budi".
Di sinilah perkara-perkara berkenaan ungkitan akan timbul. Seseorang yang menyayangi kita akan mengungkit tentang ingatan silam bagi mengingatkan diri kita kembali ke pangkal jalan. Ungkitan itu tidaklah bersalahan selagi tidak ditakat melampau.

Selalunya orang yang "benar-benar" menyayangi kita mengungkit tentang sesuatu perkara, jarang bermaksud untuk meminta sebarang balasan. Mereka hanya mahu diri mereka dihargai, dihormati dan dikenali kembali. Insan yang mampu menegur dan memperingatkan kita dengan jelas tentang sesuatu perkara adalah insan yang benar-benar rapat mengenali dan menyayangi kita. Siapalah lagi yang lebih mampu memperingatkan kita tentang sesuatu yang baik melainkan mereka yang benar-benar menyayangi kita?

Justeru, pada kita yang sering salah sangka terhadap sesuatu ungkitan yang datang daripada orang yang terdekat dalam hidup kita, berlapang dadalah menerima segala teguran daripada orang yang menyayangi kita. Mungkin merekalah yang mampu membimbing kita ke haluan yang mulia yang tidak kita sangka sama sekali sinarnya. Terimalah sebagai rasa perihatin dan ambil berat yang tidak ternilai harganya.

Wallhua'lam.

Salam kasih, selamat malam dengan secangkir leret manis senyuman.
MMMuuuuahks. Jaga diri, jaga peribadi.

~Raz.R~.