Salam kasih Kerana Allah
Thursday, June 23, 2011
SAHABAT SUKMA
Subhanallah.. Malam ini adalah antara malam yang paling indah di dalam hidup Raz. Malam jumaat, 22 Rejab, di bulan Allah. Maha Kaya Allah. Maha Pengasih Allah SWT.
Malam ini malam Raz membongkar segala rahsia hati Raz yang tersimpan selama ini kepada dua manusia yang paling Raz cinta. Segala yang terbuku sepuluh tahun lalu, Raz kongsi bersama dua hamba Allah yang ter-"Amat" baik di dalam hidup Raz. Dua insan yang telah membina hidup Raz dari setitik benih yang kecil kepada sedewasa insan wanita yang biasa.
MasyaAllah, Allahurabbi..
Mereka mendengar Raz dengan kasih, tanpa menunding, tanpa mempersalah. Mereka membuka hati Raz untuk mengerti makna cinta Allah. Mereka menyokong Raz yang rebah tanpa sebarang kata marah. Mereka berikan Raz seluruh dan seluas perhatian untuk tiap bicara lidah Raz yang bergetar dengan rasa bersalah.
"Tuhanku..
Ampuni hamba-Mu..
Ampunilah aku ketika leka diri ini terhadap-Mu.
Sungguh ajaib pemberian-Mu Ya Allah.
Cinta-Mu padaku tak dapat ku olah dengan kata tutur di lidah.
Pujiku pada-Mu tidak mampu kugandingkan dengan kehebatan-Mu, Ya Allah!
Memberiku dua insan yang indah.
Ampuni mereka Ya Allah. Lindungi mereka Ya Allah.
Sediakan seluas-luas dan sehebat-hebat kurniaan-Mu kepada mereka, Ya Robbi.
Dengan apakah hamba ini mampu menampilkan syukur pada kebesaran-Mu, Ya Allah?
Engkau mengurniakan aku ayah bonda yang pada mereka ku lihat segalanya mewah.
Mewah dengan kasih, cinta dan pemberian-Mu, Tuhanku...
Sungguh mereka itu amat layak menerima segala kurniaan-Mu, Ya, Rahman..
Ampuni mereka.. Panjangkan usia mereka.. cintai mereka..
Permudahkanlah, urusan dunia dan akhirat mereka, Ya Allah..
Sediakan syurga-Mu untuk mereka Wahai Yang Maha Pengasih..
Izinkan aku mengorbankan seluruh hidupku tanpa rasa payah
kepada mereka selama mana usiaku ini dipinjamkan-Mu...
Ya Allah.. Ya Allah...
Engkau Maha pengasih..
dan Rasul-Mu adalah kekasih yang terpilih. Selawat dan salam untuk baginda.
Tanpa baginda, tidaklah aku mengenali-Mu.. Tuhanku.
Amin Ya Robbal alamin.."
Pastinya, tiada setasik ketenangan yang paling baik yang Raz terima pada malam ini melainkan dengan menjadikan ayah dan ibu Raz sahabat yang paling terdekat dan mulia.
Bukan Raz cuba untuk mengecat ruangan ini seperti mempamerkan kebaikan diri. Tidak sekali, wahai sahabat yang membaca ruangan ini. Malam ini, Raz ingin berkongsi sesuatu yang seolah menjadi keindahan yang tidak terperi. Sekalipun tulisan ini menulis dan meluahkan apa yang sebenarnya terisi di hati, masih belum cukup menggambarkan rasa mekar dan segar yang sebenar telah Raz lalui tadi. Cahayanya menyuluh terus menyinar penuh dan terang. Subhanallah..
Tiba-tiba, tiada apa yang Raz mahukan lagi. Tiada mimpi yang Raz ingin kejar. Tiada angan yang Raz mahu tagihkan. Cukuplah jika mereka sentiasa di sisi. Cukuplah mereka!
Ibu menasihati Raz dengan nurani.
Ayah menasihati Raz dengan iman.
Saat Raz sentuh hati Raz dengan tiap perkataan dan hujah yang disampaikan mereka tentang persoalan hati yang Raz cuba kongsikan, muncul suatu rasa yang tidak mampu tergambar dek kata. Tenang yang luar biasa indahnya. Hanya Allah yang memiliki gambaran itu di hati Raz. Alhamdulillah..
Kesugulan yang bertahun-tahun tersimpan di dalam hati Raz keluar seperti bahan buangan. Tiada lagi rasa diri ini penuh dengan kekurangan, kehinaan, kebuntuan. Sesungguhnya, benar sekali.. merekalah SAHABAT SUKMA sejati.
Tiada terima kasih yang paling ulung yang patut diberi kepada insan melainkan insan yang telah melahirkan dan memelihara kita. Moga kita sentiasa menghargai mereka dan tidak langsung menjadikan mereka hamba kepada kehidupan yang kita cipta seharian. Moga kita tidak lalai dan membiarkan mereka tandus tanpa seri kasih sayang kita.
Moga Allah merahmati sekelian ibu dan sekelian ayah dengan segala keangungan-Nya. Amin..Ya Robbal Alamin..
Salam cinta untuk dua sahabat sukmaku.
Ampuni dan kasihi anakmu dari dunia hingga akhirat.
Allahuakhbar!!!!
Salam jumaat yang penuh hikmah, wahai sekalian hamba Allah.