Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, November 27, 2009

Dalam Diam Di AidilAdha




Bismillahirrahmanirrahiim..
Assalamualaikum wbt wahai sekelian hamba Allah yang amat mulia dan amat disayangi oleh Allah SWT. Selamat datang Aidiladha. Selamat menyambut Hari Raya Korban kepada semua sahabat-sahabat saya. Dengan jutaan permohonan ampun maaf di atas segala kelemahan dan kesilapan yang datang dari kedhaifan saya. Beruntunglah dan berbahagialah kepada anda yang menunaikan korban untuk Aidiladha ini. Tahniah! Semoga Allah memberikan nikmat yang besar di sana nanti. Pengorbanan itu mungkin sedikit sebanyak telah memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada golongan tertentu dan anda telah mengaut pahala yang banyak untuk itu. Alhamdulillah. Benar, anda adalah hamba Allah yang bertuah.

Mungkin pelik di kala ada yang sedang bergembira menikmati kehebatan AidilAdha, ada yang terasa sepi dan sedih. Ada yang mahu bergembira dan siapa yang tidak ingin mengecapi kebahagiaan tetapi Allah sedang menduga kekejaban hati hamba itu untuk terasa penuh ‘kekurangan’ di AidilAdha. Dia bangun di pagi hari, menunaikan apa yang sunat dan melihat suasana pagi di AidilAdha yang suram. Melihatkan dapur yang kosong atau dia terpaksa dipinggirkan di hari besar ini. Tiada ucapan selamat. Tidak juga kunjungan sesiapa. Hanya mengharap Allah SWT memberikan sedikit kasih-Nya. Katanya, “Tak mengapalah, mungkin ada yang lebih terasa ketiadaan daripada diriku.”
Syabas! Sesungguhnya dia sedang menikmati kehebatan pahala sabar yang tidak terbilang.

Itulah hakikatnya, hari ini mungkin kita rasa cukup kekurangan menghadapi hari sejarah yang istimewa. Namun, kekurangan itu pun adalah rahsia hikmah Allah. Bersyukurlah kita. Mungkin disebalik kekurangan itu sebenarnya kita memiliki kelebihan yang banyak. Mungkin saat ini ada yang menangis rindu terhadap ayah dan bonda, sedang kita masih berpeluang menikmati kucup tangan, keampunan dan peluk mesra mereka. Alhamdulillah. Mungkin hari ini ada yang sedang merenung baju raya arwah anak manja yang telah tiada, sedang kita masih berpeluang melihat anak-anak kita ketawa dengan pakaian indah. Mungkin hari ini ada yang terasa ingin mengucup dan memohon ampun kepada suami tercinta, tapi malang ada sesuatu yang memisahkan mereka, sedang kita masih berpeluang mendengarkan suara suami dihujung telinga.

Di dalam segala kemungkinan itu, jelasnya ada kemungkinan yang lain yang membawa kita berfikir dengan indah. Setiap yang hidup ini berpasangan samada di dalam bentuk zahir mahupun batin. Terpulanglah kepada kita untuk menilai ke arah yang bagaimana yang sewajarnya. Sesungguhnya janji Allah SWT itu adalah benar. Kekurangan selalunya disertai kecukupan. Kesedihan juga ada diselitkan kegembiraan yang kadang-kadang tidak kita terperasan.
Justeru itu, walaupun terasa ada hirisan kepayahan di dalam hidup, tetap bersyukurlah kita dengan setiap yang kita dapati atau lalui. InsyaAllah, pembalasan Allah SWT itu Maha Adil. Masa, usaha, doa dan tawakkal kepada Allah yang menciptakan sesuatu takdir untuk kita. Baik atau buruk takdir itu, berusahalah kita untuk menerimanya dengan rasa tawadduk dan redha. InsyaAllah, segalanya akan menjadi lengkap mengikut ketentuan-Nya.

Di AidilAdha yang mulia ini, saya memilih untuk berdiam diri. Setelah menunaikan tanggugjawab sebagai seorang hamba, anak dan kakak, saya meninggalkan kebisingan terus ke dalam dunia saya. Berfikir sejenak dan menyusun atur kelemahan diri yang ada. Saya cuba membina kekuatan dengan berdiam diri.
Rupa-rupanya diam juga terdapat corak-coraknya yang tersendiri. Diam itu perlu. Tetapi adakah diam kita itu menetapi rukun-rukun diam yang sebenarnya? He!He!He!

Dalam usaha kita mendewasakan diri, sebenarnya diam adalah langkah awal yang perlu kita pelajari bagi memelihara tanggungjawab lidah yang sebenar. Nauzubillah. Selama ini, adakah lisan kita telah terpelihara sebaiknya? Sehingga Rasulullah ada mengajarkan kita : “ Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah berkata benar atau diam.” (Hadis Riwayat: Bukhari)

Sikap diam kita ada bermacam-macam sebab dan kesannya. Ada diam emas dan ada juga diam masalah. Semuanya bergantung kepada niat, cara, keadaan diri dan berkaitan dengannya. Contohnya seperti:-

Diam Bodoh
Diam ini berpunca dari sebab memang kita tidak tahu apa yang mesti kita katakan. Ini mungkin kerana kita kekurangan ilmu pengetahuan dan kurang mengerti tentang sesuatu, lemah pemahaman dan alasan yang lain. Namun, diam ini lebih baik dan selamat daripada memaksakan diri bercakap dan merasa tahu.

Diam Malas
Ini merupakan keburukan, kerana diam ketika orang memerlukan perkataannya, dia tidak mahu bercakap kerana dia sedang tidak ada ‘mood’, tidak berselera atau malas.

Diam Sombong
Ini termasuk dengan diam negative kerana dia bersikap diam berdasarkan anggapan bahawa orang yang mengajak bersembang dengannya itu tidak setaraf dengannya.

Diam Khianat.
Yang ini diam orang jahat kerana dia diam untuk mencelakakan orang lain. Diam ketika orang lain memerlukan pertolongan atau saksi adalah diam yang keji.

Diam Marah
Ini selalu saya buat. Ha!Ha!Ha!
Diam ini ada baik dan ada buruknya. Baiknya kerana ia jauh labih terpelihara dari perkataan tidak baik yang dapat mengeruhkan suasana. Namun, buruknya adalah dia berniat bukan untuk mencari jalan penyelesaian tetapi untuk memperlihatkan kemurkaannya sehingga ia membawa kepada pertambahan masalah. Isk, bahaya tu!!

Diam Utama (Diam Aktif)
Aha.. yang ini baik sebab maksudnya diam hasil dari pemikiran, perenungan dan niat yang membuahkan keyakinan bahawa dengan menahan diri berdiam maka akan mendapat kebaikan yang lebih besar berbanding dengan bercakap.

Diam aktif ini dapat menghindari dari masalah kerana dengan berdiam diri, kita akan menjimatkan masa dan kata-kata yang berkemungkinan menimbulkan masalah. Ia juga InsyaAllah dapat menghindari dari dosa yang tersengaja atau tidak yang menyekat dari kesalahan kata yang menimbulkan kemurkaan Allah.

Malahan, dengan diam aktif ini dapatlah kita menjaga hati dari riya, ujub, takbur dan pelbagai penyakit hati yang lain yang mungkin akan mengeraskan hati dan mematikan hati kita. Diam ini akan tersalur ke arah ketenangan.

Dengan berdiam diri seperti ini kita juga akan lebih bijaksana membuat sebarang keputusan. Kita mampu menjadi pendengar dan pemerhati yang baik dan mendorongkan kita menilai sesuatu dengan lebih arif.

Apa yang menariknya dengan diam seperti ini juga, kita berupaya menahan diri malah beroleh cahaya qalbu. Melaluinya InsyaAllah kita dapat mengeluarkan idea atau gagasan yang lebih cemerlang, berhikmah yang terus dari Allah SWT sekali gus menyelimuti hati, lisan, sikap serta akhlak diri supaya terpelihara dari runtunan hasutan syaitan. Dalam pada masa yang sama kewibawaan kita di dalam diam ini akan mejadi sebuah penghormatan kerana orang lain yang akan segan meremehkan atau mempermainkan kita. Mereka tahu diam kita bermakna kita tahu akan sesuatu.

Selain dari semua itu, kita juga dapat melatih diri mengelak titik mula yang mengarahkan kita kepada dusta, kata-kata yang sia-sia, syak wasangka yang serta merta dan berlebihan, berkeluh kesah, menyakiti hati orang lain dan terasa sombong dan pintar. InsyaAllah. Apabila kita berkata benar hari ini, kita tidak perlu lagi bersusah payah mengingat-ingat kata-kata yang perlu diucapkan di saat kata-kata itu perlu diulang semula di masa hadapan.

Begitulah kelebihan diam itu. Mudah-mudahan kita dapat terbiasa dengan berkata benar atau lebih baik berdiam sahaja. Mudah-mudahan kita hanya perlu mengindahkan kata-kata kita untuk kebaikan semata-mata. Mudah-mudahan juga dengan diam kita dari bicara-bicara yang mungkar akan memudahkan lisan kita menyebut nama-NYa selalu sehingga hari akhir hidup kita. “Ashaduallailaahaillallaaah. Wa ashyhaduanna MuhammadaRasulullah..”

Amin.

Wallahua’lam dan Salam AidilAdha.
Diam dan tersenyumlah dengan ikhlas.