Salam kasih Kerana Allah
Sunday, November 22, 2009
Ujian-Nya
Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum w.b.t.
Semoga Allah selalu memperteguhkan kekuatan kita menghadapi segala kekalutan hidup dengan penuh keberanian, kesabaran dan ketabahan.
Demi Allah yang Maha Perkasa, kita sebagai hamba-Nya yang sentiasa mengharapkan belas kasihan-Nya di semesta ciptaan-Nya ini perlu sentiasa ingat bahawa menjaga hubungan hati dengan Ilahi itu adalah amat penting. Agar kita tidak tidak sombong dan taksub dengan hidup yang kehidupan yang sekali-kali tidak pernah kita yang menjadi pemunya.
Sekiranya ujian dan dugaan Allah SWT timpakan membuatkan kita merasa tidak senang, maknanya kita sedang berasa tidak senang dengan Allah. Kita tidak senang dengan DIA yang telah menciptakan kita. Bayangkanlah bagaimana murkanya Allah seperti hadis Qudsi yang disebut :
“Kalau engkau tidak sabar dengan ujian dan ketentuan Aku, maka carilah bumi selain daripada bumi Aku, carilah langit selain dari langit Aku. Dan carilah Tuhan selain daripada Aku.”
Bolehkah kita cari Tuhan yang lain? Bolehkah kita berpijak di bumi yang lain selain daripada bumi Allah? Katakanlah kita mahu pergi ke bulan. Bulan pun hak Allah SWT. Seluruh isi langit dan bumi serta yang berada di antara kedua-duanya adalah kepunyaan Allah SWT. Tengoklah betapa Allah murka sehingga DIA mengeluarkan firman itu. Jika tidak sabar dengan ketentuan dan ujian-Nya, DIA menyuruh kita mencari bumi lain selain dari bumi-Nya. Maknanya, bumi yang di atasnya tidak ada ujian; hanya penuh dengan keindahan sahaja. Sedangkan Allah sudah menetapkan bahawa, kehidupan di buminya ini ada payah dan ada senang.
Katalah, kita berdoa kepada Allah bagi meminta nikmat sahaja. Kalau kita diberi nikmat, adakah kita mampu bersyukur setiap ketika? Allah tambah rezeki kita seringgit, kita tambah solat dua rakaat. Bertambah sahaja sepuluh ringgit rezeki kita, kita tambah 20 rakaat solat sunat. Dan seterusnya. Hai, mampukah kita berbuat begitu ya?
Kalau tidak mampu, terimalah sedikit ujian daripada-Nya, untuk mendapat pahala. Sebab kalau kita ini kalau dapat banyak nikmat daripada Allah SWT pun, bukannya kita boleh tambahkan bakti. Bukannya kita boleh menambah kebaikan sebanyak mana yang Allah berikan kebaikkan-Nya. Entah-entah, kita pulak yang tunggang langgang dek nikmat itu dan menambahkan kejahatan!
Sama-samalah kita fikirkan.
Memanglah sudah berpadan, sesekali Allah menarik nikmat-NYa dari kita untuk menguji kita. Kenapa? Supaya Dia mudah memberikan kita pahala sabar. Bila kita mendapat nikmat kita bersyukur. Bila mendapat ujian kita bersabar. Dimasa-masa lain pula mungkin kita diberi peluang mendapat pahala memberi maaf , pahala tawakkal, pahala pemurah dan sebagainya. Kalau tidak ada sesuatu kejadian yang DIA tentukan untuk kita, manalah ada ruang untuk kita mencari pahala-Nya? Jika Allah ingin menantikan amalan yang banyak untuk-Nya, jarang sangatlah hamba-Nya bertungkus lumus untuk-Nya, kan?
Jadi, Dia Maha Bijaksana, dia Maha Mengetahui, Dia sentiasa memberikan peluang kepada kita. Cuma, kita sahajalah yang sering menzalimi diri sendiri.
Jika Allah SWT memberikan kesenangan semata-mata kepada kita ini, hemmhhh.. bayangkanlah di mana kita berada sekarang ini ya? Jadi begitulah kehendak-Nya yang Maha Mulia dan Baik. Dia memberikan kita sedikit kesusahan demi untuk memberikan kita peluang melepaskan kita dari penderitaan di akhirat kelak. Sama-samalah kita berusaha untuk mengerti kehendak Allah dan bersyukur selalu.
Wallahua’lam.