Salam kasih Kerana Allah
Monday, November 23, 2009
SETIAP HARI ADALAH LEMBARAN BARU
Alhamdulillah, Maha Agong Allah SWT yang telah memberikan nafas baru setiap kali terbangkit dari lena. Maha bijaksana Ilahi yang telah mengadili hamba-hamba-Nya dengan pelbagai petunjuk melalui ujian-ujian-Nya.
Ada orang, setelah melalui bertahun-tahun keadaan hati yang parah dan lumpuh, tiba-tiba tercelik dari komanya lalu membasuh tragedi silam dengan peluntur perisa baru. Pakaian hidup yang sama tetapi putih seperti baru. Bersyukurlah!. Peluang diberi oleh-Nya untuk membuka mata dan memulakan LEMBARAN BARU.
Kali ini, titik harapannya ditulis dengan senyuman lebar semanis madu. Lembaran yang dulu ditutup dan diikat ketat-ketat, malahan dipaku rapat-rapat. Syabas!!! Dia mahu menerima ujian baru dengan semangat sekilau waja. Dia mahu setiap ujiannya diterima dan dihadapi dengan mukaddimah “Bismillhirrahmanirrahim” dan penamatnya “Alhamdulillhirrabbilalamin.”
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita mengingat-ingat saat derita di dalam jangkamasa yang lama. Manakala saat gembira berlalu seolah-olah beberapa saat cuma. Kerana sudah fitrah hati kita insan mengumpul penderitaan dan ia sering mengawal minda, hati dan jiwa kita. Ia akan cukup ‘melekat’, payah untuk disingkirkan dari hidup kita. Kegembiraan pula adalah deria jiwa yang mengembangkan perasaan ria hangat seluruh tubuh, tetapi hinggap dalam masa yang terlalu sekejab dan akan hilang ditiup jadual hidup yang lain.
Apapun, apakah jawapan sebenar untuk tujuan kita menyimpan rasa derita yang berlama-lamaan ya? Agaknya, simpanan itu mampu memberi kita dividen yang bagaimana ya? Untung atau rugi? Bahagiakah kita? Sakitkah kita?
Derita adalah sebahagian dari permainan emosi yang dimaklumi menimbulkan rasa luluh lemah (fatigue) pada diri kita terutama dibahagian keteguhan jiwa. Orang kata mendaki gunung itu amat meletihkan tetapi yang sebenarnya betullah bahawa menghadapi kebosanan, ketakutan, kekesalan atau kesedihan adalah lebih meletihkan lagi.
Elok kita selalu amalkan “sembang jiwa” untuk menghadapi kegetiran permainan emosional itu. Malam ini sebelum tidur, mari kita mulakan “sembang jiwa” kita itu. Nasihati diri. Berdialoglah dengan diri. “ Esok pagi aku mahu mulakan hariku yang berbeza! Yes! Aku mahu jadi penyabar! Yes! Aku mahu jadi hebat! Yes! Aku mahu jadi cantik di hati.” Jika ada impian yang baik ucapkanlah pada diri. Apa sahaja yang positif, yang baik, teruskan. Ucapkan. Bila terjaga dari tidur, ucapkan syukur kepada Ilahi yang telah membangkitkan kita dari kematian sementara kita malam tadi. Mensyukuri nyawa yang diberi Ilahi. Lalu cuba kita ingat kembali apa “sembang jiwa” kita sebelum tidur dan ucaplah lagi bahawa kita ada misi untuk lakukan yang terbaik untuk hari ini, bermula dari pagi ini. Kita lempar jauh-jauh kesakitan yang lalu kelmarin. Kita ikhtiarkan untuk sembuh hari ini. Kelmarin adalah mukasurat hidup yang telah berlalu yang telah kita baca. Hari ini kita mahu membacakan lembaran baru, cerita baru, mukasurat baru. Muka surat lama hanya kenangan untuk kita ambil sebagai rujukan dan pengajaran cuma.
Apa? Rasa macam orang gila sembang pada diri sendiri ya? Eh, tidak. Sama sekali tidak. Perkara itu sudah terbukti mengikut kajian saintis juga. Ia adalah aroma sedap bagi kesihatan mental yang baik. Malah, InsyaAllah dapat menyeimbangkan pergerakkan hormon atau apa sahaja yang hidup di dalam tubuh kita. Hidup kita adalah hasil dari buah fikiran kita. Bercakap pada diri sendiri setiap jam dari hari ke hari, boleh langsung mengarahkan diri kita supaya berfikir tentang keberanian, kebahagiaan, kemampuan atau ketenangan. Begitu juga bila kita mensyukuri sesuatu yang ada dalam diri dan kehidupan kita, kita secara tidak langsung sedang menggerakkan minda melukis perkara yang indah-indah.
Janganlah pula bercakap sendiri di hadapan ramai. Tidaklah dikatakan tak boleh, tetapi sebaiknya elak dari membuatkan orang lain berburuk sangka. Nanti kita pula diumpat mereka. Tak pasal-pasal mereka buat dosa pasal kita. Kasihan.
Sama-samalah kita selalu mengingatkan diri bahawa hari ini Allah masih menghidupkan kita untuk tidak takut memulakan, menulis dan mewatakkan hidup kita dilembaran seterusnya dan menjadikan kita ini manusia yang sebenarnya manusia. Jauh dari topeng-topeng yang lain. Kita adalah hamba-Nya yang disuruh berkhidmat setia mengikut aturan yang ditulis-Nya. Allah SWT mahu kita mencorakkan kehidupan yang indah mengikut jalan-jalan yang telah diusulkan oleh-Nya. Jika kita masih belum memulakan langkah baru mengikut jalan-Nya itu. Eloklah kita mulakan dari hari ini. Dari sekarang.
Moga kita sama-sama diberi hidayah-Nya selalu. Jika tidak mampu memulakan langkah yang luas dan cepat. Mulakanlah dulu dengan setapak demi setapak. InsyaAllah, akan sampai juga ke destinasi sebenar. Mudah-mudahan. Sedikit adalah lebih baik dari tak ada langsung, kan?
Sesungguhnya yang baik itu semuanya dari Allah semata.
Wallahua’lam.