Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, December 4, 2009

Hari-Hari Cinta



Assalamualaikum dan salam jumaat yang penuh rahmah wahai hamba Allah yang sentiasa diberi cinta oleh-Nya...

Jatuh cinta setiap hari?
Wah?.. Ada ka lagu tu na?.. Boleh ka? Syoknya, kan? Amboi, Raz! Banyaknya soalan.
Hari ini saya berborak-borak dengan seorang teman. Sekadar suka-suka mencari pendapat seorang lelaki. Alhamdulillah, seronok sungguh bersembang dengan sahabat ini. Akal lelaki memang logik dan bijak. Saya sungguh kagum dengan ciptaan Allah s.w.t ini.

Patutlah Allah ciptakan Nabi Adam kaya dengan ilmu dan kebijaksanaan. Hinggakan para malaikat yang taat setia, tanpa dosa kepada Allah pun sanggup sujud kepada Adam, kecuali iblis yang ego kerana dirinya disangka lebih mulia dari Adam. Hanya kerana dia dijadikan dari cahaya berbanding Adam yang diukir dari tanah cuma. Walhal, iblis itu lupa yang Allahlah yang menjadikan dia, dan Allah Maha Tahu Segala yang dicipta-Nya.
Bodoh dan angkuh sungguh Sang Iblis. Tetapi, sebodoh iblis yang angkuh ini, sungguh dia rajin. Bukan rajin yang baik tau. Rajin berusaha untuk memperbodohkan manusia-manusia mengikut jejaknya. Apa nak buat,kan? dah itu sumpah iblis. Kita manusia pun kenalah juga rajin menangkis dan menepis usaha iblis untuk menjurumuskan kita masuk ke dalam “geng”nya. Gunakanlah akal, hati, jiwa, amal dan kebijaksanaan serta kesejatian iman dengan secerdas mungkin. Agar kita tidak lekas hanyut dek godaan ‘geng’ itu. Memang payah, tapi jika syaitan itu rajin berusaha menjatuhkan kita tanpa jemu, apa salahnya kita yang hebat dari keturunan Adam yang bijaksana ini juga jadi rajin membangunkan diri dengan kemuliaan tanpa jemu juga, kan?

Saya memuji kaum Adam kerana benar mereka diberikan banyak kelebihan. Sebagai khalifah di bumi Allah. Pemimpin kaum Hawa. Khalifah keluarga dan kehidupan juga. Cukup canggih tugas mereka. Awal-awal lagi Allah sudah beri pangkat. Mereka ini juga punya kekuatan mental dan fizikal yang banyak. Bersyukurlah wahai lelaki. Gunakanlah sebaik mungkin kehebatan itu. Tapi jangan angkuh, jangan ego dan jangan lupa seperti iblis. Ingat-ingatlah selalu yang kita itu “dibuat atau direka” oleh Allah. Dialah Tuan kita dan kitalah hamba-Nya.

Eh, eh? Nak borak pasal jatuh cinta setiap hari, terkona ke lain pulak. Maaf na..

Kalau iya pun, sabarlah..

Bukankah cinta itu perlu ada dua spesis iaitu spesis Adam dan Hawa?. Ha!Ha!Ha! Bukankah cinta antara insan itu mula terdaftar setelah wujudnya Hawa? Kalau tidak kerana lahirnya Adam, tidak juga akan hadirnya Hawa. Jika tidak kerana Hawa juga, maka tidak akan ada juga deretan keturunan manusia penyambung cinta sehingga sekarang ini. HEBAT sungguh Allah s.w.t. Adil sungguh Allah. Keturunan ini tidak akan terantai panjang dengan spesis lain tau? Tidak dengan cinta spesis Adam dengan Adam atau Hawa dengan Hawa. Jangan! Itu melanggar kehendak Allah namanya. Itu serangan dari spesis lain iaitu iblis dan syaitan. Cinta yang sebegitu tidak diberkati Ilahi.

Hawa tercipta dengan banyak kelemahan tetapi penuh keistimewaan. Dia pelengkap Adam. Ibarat seperti mata kapak tanpa hulunya, masakan terpotong kayu api. Atau seumpama lilin tanpa api, masakan timbul cahaya terang. Amboiihh!! Sangat indah ciptaan Allah. Dia Maha Bijaksana.

“Kita saling perlu. Kita saling berganding. Kita saling mahu. Kita saling mengharap. Kita saling lengkap melengkapi. Lantas kenapa ya kita perlu berantakkan? Kenapa perlu kita pilih kebencian?. Itu kan usikkan iblis dan syaitan?” Itu, kata sahabat saya. Saya terdiam. Di dalam benak, saya ‘gerrrrammm’ sangat pada spesis syaitan dan iblis ini. Kerana merekalah ikatan sesama manusia terlerai dan seringkali tergadah masuk kedalam kebuntuan. Merekalah yang menutup hati kita dan membuatkan kita terlupa pada tugas kita sebagai manusia sebenar.

Kenapa tidak kita serang balas balik terhadap iblis dan syaitan ini. Kita bina cinta sesama kita setiap hari. Cinta sesama suami isteri, keluarga, saudara, sahabat. Namun, pencarian itu perlu bermula dengan rasa cinta kepada Pencipta kita pertama-tamanya. Mulakan dengan Agama. Dari situ kita akan dapat menyemai ikatan-ikatan yang lain dengan tertib, teratur dan indah, InsyaAllah.

Bahasa-bahasa cinta itu amat manis, lunak, enak dan amat mengenyangkan dan tak lapuk dek masa. Kenapa ya kita tidak boleh gunakan ia setiap hari? Kenapa ya kita tidak dapat menggaulnya diperiuk jiwa dan hidangkannya dipinggan hati setiap manusia? Kenapa tidak kita cinta kepada apa saja nikmat yang baik (yang diizinkan Allah) yang hadir di hadapan mata? Bukankah cinta juga boleh dititipkan dalam kerja, hobi, minat dan sebagainya. Sudah tentu cinta juga boleh ditiupkan dengan mudah ke dalam perasaan juga. InsyaAllah.


Sesetengah orang berpendapat “ Mengharapkan cinta semata, tidakkan dapat menyambung nyawa atau tidakkan terisi perut yang lapar.”
Benar tu, untuk cinta juga kita perlu makan dan keperluan lain yang sudah menjadi fitrah nafsu nafsi manusia. Itu kita panggil tanggungjawab hidup. Selalunya bila kita ada cinta sebagai kepala, maka secara automatisnya tanggungjawab akan muncul sebagai ekornya. Kita mahu berusaha untuk yang tercinta. Tak gitu?
Masalah kita sekarang, mungkin kerana kita sedang diganggu iblis yang sedang menukarkan tanggungjawab sebagai kepala dan cinta sebagai ekornya. Haaa.. itu yang sesekali menjadikan segala usaha hidup kita menjadi sekadar-kadar sahaja. Pernah dengar tak dialog begini, “Ahhh!! Cukuplah tu, asal aku dah buat tanggungjawab aku.” Padahal diwaktu itu mungkin ada yang perlukan lebih daripada apa yang “kita rasa” cukup. Mungkin ada yang kepingin benar kita menghulurkan tanggug jawab itu dengan rasa cinta yang telah lama kita lupa. InsyaAllah, apabila kita hulurkan tanggungjawab didahulukan dengan rasa cinta nan ikhlas dan murni sejati, maka yang tidak cukup pun akan terasa amat cukup.

Sebab itu cuba kita ambil contoh kehidupan mereka yang serba serbi tidak cukup tetapi pada wajah mereka dan keluarga terpancar sinar yang memberitahu hidup mereka cukup dengan cahaya cinta dari Allah dan cinta dari mereka yang dinaungi dan disayangi. Begitulah ajaibnya cinta Allah kepada mereka yang mencintai-Nya dan mencintai apa yang dipertanggugjawabkan oleh Allah di dalam bentuk yang lain, terutamanya insan.
Tiap dari kita mempunyai banyak kelemahan. Terlalu banyak kekurangan dalam sikap sehingga ada yang bosan asyik menerima kelemahan itu. Sebenarnya, itulah yang syaitan mahu. Mahu kita bosan dan lemah.Adakalanya kita tidak terlarat untuk melalui kelemahan-kelemahan itu. Kita putus asa. Makin hari makin hilang cinta. Makin hari makin juga kita tidak berdoa. Semakin hari semakin kita rasa, yang benar hanyalah kita. Pendapat yang lain tidak benar. Lama kelamaan semakin kita rasa cinta itu tidak ada kepentingannya. Tawar! Basi!

Dicelah tanggapan kita itu sebenarnya kita sedang memandang kelemahan luar. Kekurangan yang datang dari luar. Bagaimana pula yang ada pada diri kita? Benarkah kita ini telah sebenar-benarnya berusaha untuk cinta? Yang mana dalam cinta insani, kita perlu menimbang kekurangan itu bersama. Menjiwai dan mendampinginya bersama. Agar timbang itu menjadi sama berat atau ringannya. Kenapa ya kita tidak boleh begitu?
Kenapa ya kita tidak mahu menurunkan sedikit graf angkuh dan ego kita demi sepalit cinta? Alahai, setakat manalah ego kita itu jika nak dibandingkan ego Allah? Usahlah berlebih-lebihan. Yang lebih itu hak Allah Yang Maha Berkuasa. Ego Allah itu Maha Tulin sebab Dia boleh cipta segala-galanya. Ego kita? Seekor lalat pun, tidak boleh kita berikan nyawa.

Untuk hari-hari cinta, tidakkah kita rasa perlu setiap hari meluahkan pada alam agar alam memantulkannya kepada kita juga? Bukanlah maksud saya untuk membandingkan manusia dengan barang yang berhabuk tetapi andaian hidup selalunya ada perkaitan untuk difikirkan. Ada pertalian. Untuk apa Allah SWT itu memberi kenikmatan rasa cinta itu jika kita tidak sama-sama menggilapnya? Untuk apa Allah memperlihatkan kita segalanya yang baik itu? Adakah untuk hanya dipandang sahaja, tanpa sama-sama langsung menilainya? Bukankah kita selalu disuruh berfikir, berusaha dan bersabar?

Cinta, bukanlah perkataan yang hanya satu nama dan satu makna. Cinta adalah satu gabungan yang perlu dihadapi bersama. Cinta mempunyai banyak resepinya. Antaranya semangkuk rasa simpati, sekati sayang, secawan rasa perihatin, sepinggan pengorbanan, sesudu kasih, secubit adil, dan sebagainya.Untuk mendapatkan cinta yang “marvelous” dan “delicious” memerlukan banyak perkara. Dalam cinta, resepi utamanya adalah sabar yang amat kukuh. Sabar yang bertalikan kekuatan Allah. Bukan sebelah pihak sahaja yang perlu melakukan ini tetapi dua. Dua insan satu cinta yang isinya membuahkan harmoni dan rukun.

Semua ini tidak semudah kata, benarlah itu. Pun begitu apalah salahnya meluangkan masa untuk berusaha dan menjadikan ia kebiasaan yang selaras, InsyaAllah di akhir cerita usia yang lanjut, hidup dalam cinta begini akan saling pengaruh mempengaruhi dan faham memahami. Saat itu, cinta ibarat kembar. Sama-sama bersandar. Sama berpaut. Cinta seperti ini harus patuh pada pertimbangan perasaan dan akal, bukan muncul kerana tarikan dan pesona semata. Pesona mata tidak akan kekal lama. Pesona hati membawa ke mati. Eloklah kita memupuk pesona hati setiap hari.

Ingatlah wahai kita yang dianugerahi rasa cinta dari Ilahi. Baik cinta kita kepada Allah atau cinta kita kepada sesama insan wajib ada gilapan. Pupuk setiap hari walaupun adakalanya terasa benci dan letih. Benci dan letih itu sekadar sulaman syaitan. Selingan yang juga memberi ujian. Bajai dengan keikhlasan yang sejati. Sirami dengan sejuk air doa. Lihat bagaimana Allah menyuruh kita memelihara cinta kita kepada-Nya melalui tanggugjawab solat. Setiap hari, malah setiap lima kali sehari kita wajib bersujud memberikan cinta kita kepada Allah. Begitulah sewajarnya kita ambil pelajaran dari pengajaran yang Maha Pencinta Ilahi sampaikan.

Ya, Allah!
Izinkan aku menghargai Cinta yang diberikan oleh-Mu, Tuhanku.
Amin.

Hanya sekadar pendapat kecil. Sungguh, yang baik dan elok itu hanya dari Allah SWT semata. Yang lemah itu dari kesilapan manusia. Saya juga manusia itu. Wallhua’lam.

“JIKA KAMU MAHUKAN CINTA; DIA JUGA BEGITU.
BERGABUNGLAH DAN CORAKKAN CINTAMU
SEBAGAIMANA YANG KAMU DAN DIA MAHU
SEIMBANGKANLAH PULA MENGIKUT TURUTAN YANG ALLAH MAHU.”

~Raz.R~