Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, December 25, 2011

Berkorban Sekadarnya



Andai tidak perlu ku berkorban
Andai tidak perlu ku kisahkan
Andai tidak perlu ku pertikai
Andai tidak perlu ku peduli

Bisanya sekeping hati
Bila telah dilukai
Sakitnya koyak yang dirasai
Sukarnya sembuh untuk memaknai

Akan ku kaut segalanya
Menjadi milikku semua
Bersemayam aku bagai pemilik takhta
Memerintah segalanya bagai raja

Tidak!!
Aku bukan begitu coraknya
Hatiku sama merasa
Apa yang dirasa sesama
Biar jatuhku hampa kecewa

Bahagiaku kuserahkan jua
Jika itu yang sudah dipinta
Kalau itu sudah suratannya
Aku gagahkan langkahku jua

Sekalipun relaku dalam derita
Demi harapan banyak peminta
Berkorbanlah aku sekadarnya..





Raz.R
25.12.2011
Malam yang dimenungkan
Bintang tiada, bulan tak muncul

Tidak Perlu Membenci; Tidak wajar Berbalah


Tidak semua perkara yang kita lakukan akan disukai semua orang. Tidak semua kebaikan yang kita hadiahkan kepada orang lain akan diterima baik. Kadang-kadang, sahabat baik kita atau orang yang kita sayangi sendiri pun belum tentu akan menerima pemberian kita terutamanya di dalam bentuk pendapat atau teguran. Mungkin pendapat kita tidak serasi atau tidak digemari untuk diikuti. Mungkin juga ia salah. Demikianlah hakikatnya hidup kita sebagai manusia. "Rambut sama hitam atau sama beruban, tapi hati lain-lain." Maksud Raz, yang dewasa atau matang belum tentu matangnya sepenuhnya. Yang berilmu belum tentu mendalam ilmunya. Begitulah kita ini.

Peribadi kita juga, belum tentu akan disukai semua. Ada sesetengah orang berpendapat, "Jangan baik sangat, nanti kepala dipijak." Kesimpulannya, "Orang jahat tidak akan berbuat jahat kepada orang jahat kerana dia tahu orang yang jahat itu mampu berbuat lebih jahat kepadanya. Jadi yang menjadi mangsanya, tentulah orang-orang yang baik kerana orang yang baik ini menerima semua keadaan itu dengan baik"

Memang menyakitkan kalau kita dihina, diejek atau dipergunakan oleh seseorang, lebih-lebih lagi apabila dikelilingi oleh orang ramai. Namun, tidak mengapa. Tiada salahnya jika kita merendah diri sedikit sahaja. Tidak perlu berbalah dengan mereka. Tidak juga perlu kita tersinggung jika kawan memandang rendah dan memberitahu kelemahan kita. Kita seharusnya berterima kasih kepadanya kerana diri kita menjadi perhatiannya. Sekurang-kurangnya kita tahu, dalam rasa tidak sukanya kepada kita, dia masih mengambil berat. Beruntunglah kita.

Hadapilah sindiran dan tohmahan itu dengan sabar. Dinginkan akal kita. Jangan marah dan bertenanglah. Sebenarnya kejadian sebegitulah yang mengajar mental kita supaya mampu bertahan. Tidak perlu kita bertengkar kerana kebanyakan kita tidak suka mengakui jika apa yang diperkatakannya ditolak.

Ketahuilah dan asahlah tahap kebijaksanaan kita dengan kesabaran. Orang yang bijaksana selalu menghindari pertelingkahan, permusuhan dan dendam kesumat. Mereka lebih banyak berdiam diri ketika orang lain menghinanya. Mereka selalu memaafkan dan mengalah kerana berpandukan kebenaran dan menganggap bahawa orang yang menghina itu masih belum memahami siapa mereka dan berada di dalam kejahilan. Mereka mengibaratkan kemarahan itu seperti mancis. Apabila disimbah petrol sahaja maka kebakaran akan terjadi dan menimbulkan kerugian.

Biasakan diri kita menerima kritikan sebagai iktibar untuk masa hadapan diri sendiri. Kita dengar, lalu kita jadikan ia dorongan ke arah kebaikan. Mungkin di masa hadapan kelak apabila kita dilalukan dengan perkara yang sama, sudah tentu kita telah bersedia dengan keyakinan diri yang kuat. Baiki diri kita dari apa yang kita terima dan InsyaAllah dengan cara ini, kita akan lebih disenangi dan lebih disayangi semua samada secara langsung ataupun tidak.

Hindarilah pertengkaran dengan merasakan diri kita atau kata-kata kita lebih mulia. Terapkan semua itu sebagai latih tubi kepada kehidupan kita seharian. Apabila latihan menjadi kebiasaan, segalanya akan dapat dilalui dengan cukup senang, tenang dan redha.

Jauhi permusuhan kerana tidak ada satu keuntungan pun yang akan kita dapati dari sebuah permusuhan, melainkan hati yang sakit dan penderitaan jiwa yang panjang. Belajarlah dari segala kelemahan kerana dari kelemahanlah kita belajar mengenali di mana kekuatan yang perlu kita 'adakan' kepada diri kita sendiri.

Salam kasih kerana Allah
Selamat beristirehat dan senyumlah selalu.
Kalaupun tiada harta untuk disedekahkan, cukuplah disedekahkan doa serta senyuman yang tidak pernah lekang. InsyaAllah, titik hitam akan terhakis dari hati sedikit demi sedikit.
Wallhua'lam.

Raz.R
25.12.2011
Ahad yang sepi tapi indah sekali.

Wednesday, December 21, 2011

Di dalam Rindu Ada Doaku


(Di dalam Rindu Ada Doaku )
Rindu..
Sentiasa di hati
Walau sunyi
Bisu tidak berbunyi
Namun getarmu
bergegar di jantungku
selalu..
tak pernah jemu
doaku manis padamu
berdendang selalu


Biarkanlah ...
Meskipun
Hadir tidak diundang
Wujud tidak dikenal
Bersua disambut samar
Duduk jauh di belakang
Muncul tidak terpandang
Pergi tidak dicari
Hilang tidak diingati
Asal sahaja apa yang diberi
Bercahaya petunjuk hingga ke mati






Sukacitanya..
mengutip batu-batu berwarna
Leka mengisi penuh karungnya
Asyiknya hingga terlupa
sebutir berlian longgar digenggam
Tercicir jatuh..
kehilangan...





~Sekadar ingatan diri~
Raz.R
21.12.2011

Friday, December 16, 2011

Aku dengan-Mu


Aku denganmu tiada rahsia
Ku bicarakan apa saja yang ku suka
Walau sekelumit rasa ku luah saja
Tanpa tersekat, tanpa tertangguh
Aku denganmu tiada curiga
Tidak hadir sedikitpun sengketa

Tidak ku rasa janggal
Tidak ku rasa hodoh
Tidak ku rasa bodoh
Aku denganmu, serasi
Aku denganmu, selesa
Aku diterimamu sepertimana aku
Seadanya biasa

Waktu aku di hadapanmu
Aku tak malu menangis
Walau aku akui lemah
Walau aku diterjah kalah
Bersamamu kecewaku tiada
Ku mampu menangis sempurna
Dengan seluruh lega di jiwa
Sekalipun lara terhimpit
Tidak aku dikurung sempit
Esakku diraung sepuasnya

Aku denganmu, bahagia
Aku denganmu, ada cintamu
Tidak sedikit aku diluka
Tika cintaku senipis bayang
Ketika rindu berkurang
Tidak aku diserang
Engkau tetap berlapang
Ketika aku bersujud tandang
Engkau masih memandang
Walau sesekali ku curang

Aku dengan-Mu
Engkau Raja Segala Raja
Aku hamba sekerdil hamba
SUBHANALLAH!
ENGKAULAH SEGALANYA
TANPA-MU AKU TIADA


Raz.R
16.12.2011


"Kalau kau tanyakan aku, “Benarkah DIA di hati mu?”, aku hanya mampu menjawab, “Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya kerana imanku bukanlah bertaraf sufi, malah sufi pun mengakui mereka masih berusaha mendekati, tetapi aku yakin aku telah dan sedang memulakan langkah untuk mencintai-Nya.”

Thursday, December 15, 2011

Sahabat Yang Bagaimanakah Kita?


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamulaikum..

1.Berikanlah sokongan.Sahabat sejati selalu saling memberi semangat dan dorongan supaya mereka sama-sama dapat menjadi yang baik dan terbaik, bukannya saling menjatuhkan atau saling banding membandingkan. Dia akan berbahagia ketika sahabatnya berjaya mencapai apa yang diinginkannya dan tidak akan berasa dengki dan iri.

2. Sebaiknya tanyakan diri apakah yang dapat kita berikan kepada sahabat kita, bukan apa yang kita dapat dari persahabatan yang kita bina. Janganlah kita bersahabat hanya demi memperoleh kesenangan, kerana jika demikian niat kita maka kita bukanlah sahabat sejati. Memberilah dengan rasa penuh ikhlas tanpa menanti sebarang pulangan.
Sebagaimana kita ingin diri kita dihargai, begitulah kita perlu menghargai sahabat kita. Jika mahu disayangi sahabat maka kasihilah sahabat itu. Jangan sekali-kali mempergunakan sahabat kita demi kepentingan diri sendiri dan jauhilah dari mengotori persahabatan itu dengan ketidakjujuran.

3. Jika kita melihat kesalahan yang terbukti dari sahabat kita itu, jangan terlalu pertikaikan kesalahan yang dibuatnya Ini adalah suatu cara untuk menunjukkan betapa kita ambil berat terhadapnya. Jangan tinggalkan sahabat kita saat dia berbuat kesalahan. Bersabarlah dan pimpinlah dia untuk berubah. Sedarkanlah diri kita bahawa tiada siapa yang memiliki sifat yang sempurna dalam segalanya. "Sempurna" itu hanya milik Allah. Manusia hanya mampu menyempurnakan dirinya dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki ke arah sifat yang lebih baik sebagai insan. Menjadi insan yang “lebih baik” tidak bererti manusia itu tidak pernah mempunyai kesalahan dan tidak akan tersilap langkah. Seandainya kita berpengetahuan dan cukup kekuatan untuk memperingatkan sahabat kita apabila dia berada di dalam keadaan salah, maka berikhtiarlah agar peringatan itu dapat dilakukan dengan penuh hemah dan bijaksana. Sahabat yang paling baik adalah sahabat yang berjaya memperbaiki ketika keterlanjuran kesilapan menghampiri sahabat yang lain.

4. Persiapkan diri kita untuk bersedia memaafkan. Jangan biarkan 'luka' berkembang menjadi kepahitan kerana yang demikian akan menghancurkan persahabatan yang ada. Maafkan kesalahan yang diperbuat oleh sahabat kita dan jangan biarkan luka itu meruntuhkan perhubungan yang telah lama terikat.


5. Jadilah sahabat yang boleh dipercayai dan tepatilah janji yang telah kita ucapkan. Jangan kita meremehkan apa yang kita janjikan kerana janji adalah kewajiban walaupun sekecil perjanjian. Ketika kita tahu kita tidak mampu menunaikan janji yang dibuat, elakkan dari menyediakan janji tersebut. Memberi janji bermakna memberi harapan. Memberi harapan boleh disamakan dengan memberi sebuah kehidupan.

6. Jangan kita cuba mengawal tindakkan dan pergerakkan sahabat kita. Bersahabat bukanlah bermakna kita harus selalu bersama-sama . Memang bertuah dan sangat menyenangkan apabila kita dapat selalu bersama dengan orang yang kita kasihi. Harus diingat, sahabat kita itu bukan monopoli kita sendiri kerana dia juga mempunyai teman lain selain kita dan dia juga mempunyai pelbagai urusanya yang perlu dilalui untuk kehidupannya. Untuk itu jangan merasa dikhianati ketika temanmu bergaul dengan yang lain, sebaliknya usahakan agar kita juga dapat berteman dengan teman-teman sahabat kita itu. Ini akan lebih menyelesakan dan membuat kita dan sahabat kita lebih menghargai satu sama lain.


7. Selalulah berusaha untuk menyediakan diri kita disaat senang mahupun susah bersama sahabat kita. Bergembiralah bersama mereka saat mereka sedang bergembira namun jangan ada hanya pada saat suka dan senang saja. Ketika sahabat kita sedang kesal akan sesuatu, berikan mereka perhatian. Saat yang paling diperlukan dari seorang sahabat adalah ketika kita menyediakan sepasang telinga yang bersimpati dan yang ingin memahami perasaan mereka. Sekalipun kita mungkin tidak memahami apa yang sahabat kita lalui ketika emosinya terganggu atau apa jua masalah yang dihadapinya ketika itu, mendengar tanpa menghakimi keluhannya adalah perkara yang sedikit sebanyak membuatkan beban rasanya menjadi ringan.

8. Siapapun sahabat kita itu, terimalah dia seadanya dia. Jangan menuntut sahabat kita untuk beraksi dengan cara yang sama seperti yang biasa kita lakukan. Hargailah dia apa adanya termasuk juga keputusan yang dia ambil yang mungkin tidak sesuai dengan kehendak kita. Menerima sahabat kita itu dengan seadanya, bukanlah meminta kita menurut dan mencorakkan diri kita seperti sifat-sifat yang dimilikinya tetapi memperseimbangkan apa yang baik dan apa yang buruk yang boleh diterima akal, hati dan iman kita sendiri. Kebaikan, kita jadikan teladan manakala keburukan pula, kita jadikan sempadan.

9. Jangan kita jadikan diri kita sebagai pembuka pekung. Belajarlah untuk menjaga rahsia sahabat kita. Kekurangannya, kita simpan sebagai pengajaran. Kebaikannya kita contohi sebagai tauladan.

10. Usah biarkan perbezaan pendapat menghancurkan persahabatan kita. Misalkan kita sedang berdiskusi dengan sahabat itu dan waktu kita mengemukakan pendapat yang menurut kita benar tetapi dia membangkang dan dia tidak setuju. Bila itu terjadi, jangan terus berdebat yang hanya akan membuat kita bodoh. Lepaskan hasrat untuk menang sendiri daripada persahabatan kita itu rosak kerana perdebatan tersebut. Perlahan-lahanlah menyelesaikan pendapat itu mengikut masa dan kesesuaiannya. InsyaAllah, sahabat kita akan memahami pendapat kita itu, seandainya kebenaran ada padanya. Begitu juga sebaliknya dengan kita.

11. Ketika sahabat kita di dalam keadaan marah, jangan kita tinggalkan dia hanya kerana amarahnya itu. Mungkin sebaiknya kita boleh cuba menjadi air untuk memadamkan kemarahannya. Jika tidak, berdiamlah seketika sehingga marahnya hilang. Kembalilah padanya ketika dia tenang.

12. Doakanlah sahabat kita. Jadikanlah Allah SWT sebagai pengikat murni yang teratas di dalam persahabatan kita. Sayangi sahabat kita kerana-Nya kerana persahabatan itu hadir adalah bersumberkan dari gerakkan Allah Taala. Usahakan agar diri sentiasa mendoakan sahabat kita bagi kebahagiaannya. Berdoalah di dalam keadaan sembunyi ataupun terang namun harus diingatkan hati kita agar ikhlas mendoakan tanpa riak, mengharap balasan atau menunggu pujian. Mendoakan secara terang itu adalah sebagai latihan diri agar kita membiasakan diri melakukan kebaikan sehingga berbekas di dalam jiwa dan menjadi rutin utama tindakkan kita seharian. Walaubagaimanapun, yang terbaik itu adalah mendoakan orang lain tanpa pengetahuan mereka.

Wallhualam. Semoga kita semua dapat melatih diri kita menjadi sahabat yang terbaik kepada sahabat kita. Sesungguhnya kehendak Allah SWT bagi hamba-Nya di muka bumi ini adalah penjaga perhubungan antara hamba-Nya (kita) dengan DIA dan menjaga perhubungan baik kita sesama manusia kerana-Nya. Amin.



Maafkanlah andai aku bukan sahabatmu yang terbaik, mohon doamu agar aku mampu menjadi sebagaimana yang dimahukan oleh-Nya. Amin.

Setulus hati Raz.R
15.12.2011

Wednesday, December 14, 2011

Permata Embun



Indah titisan..
Permata jauh terantai di tanduk rumput
Jatuh ia di rumput, lalu hilang
Cantik segar dipandang
Persinggahan..
Umpama embun di hujung rumput
Datang mentari, ia pun hilang
Kering dek panahan siang

Walau terlihat ia berkilau
Setitik embun meninggal perlahan


~Raz.R ~
14.12.2011
Petang yang sangat aman
Hati yang sungguh tenteram
Bibir masih dengan senyuman

Dusta


Apalah untungnya berdusta
Dalam bicara kata
Bermain helah semata
Walhal hati menderita
Berkasap tidak sekata

Apalah faedahnya berbohong
Membelit kisah berbondong
Membuka nista dan pekung
Sekaki diluaskan serelong
Akhirnya sakit tidak tertolong

Apalah baiknya menipu
Bergossip hangat hingga celaru
Sedangkan kisahnya belum tentu
dan Allah Yang Maha Tahu
Tidak semena bergunung dosamu


Raz.R
14.12.2011
Jujur itu ubat
walau pahit ditelan