Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Wednesday, January 28, 2009

TANGISAN





Apa yang saya ingin tuliskan di sini hari ini ya?
Meh kita sembang pasal lelaki nak? Marah orang lelaki pada saya nanti. Tak adalah saya nak mengumpat, cuma mengata sikit-sikit sahaja.

Kadang-kadang saya terfikir tentang saya dan lelaki. Ibarat sebuah penulisan.
Pendapat saya, wanita menulis dengan ulas-ulas perasaan manakala lelaki selalunya menulis dengan logika akal. Eh, jangan sangka saya merendahkan wanita pula ya?
Yang sebenarnya itulah kelebihan Allah yang menciptakan hambanya dari bentuk-bentuk dan rasa sedemikian rupa. Alhamdulillah. Cintailah kita kepada-Nya selalu.

Ibarat seni ukiran, lelaki itu berbentuk ketetapan reka cipta dan wanita itu pula berbentuk kecantikan dan keelokan. Sebuah jalinan yang lengkap dan sempurna apabila digabungkan bersama. Apa yang membuatkan pincangnya sebuah ukiran sebenarnya adalah apabila salah satunya tidak ada. Asyik mereka cipta sahaja, cantiknya tidak ada, masakan ukiran nak menjadi? Tak begitu? Begitulah juga halnya dengan cantik, pakai make-up punyalah meriah dengan warna warni, tetiba selendang yang dipakai ‘peot-peot’ tidak dibentuk dengan sempurna, yang cantik tadi tenggelam entah ke mana. Sudahlah muka tidak cantik (macam saya ni ha), tidak mahu pula nak bercantik-cantik, manalah serinya nak timbul?

Kita ini sering menyalahkan pihak itu dan pihak ini apabila keadaan menjadi tidak tenteram, gagal atau sebagainya yang berkaitan dengan kesulitan. Betul, kita akan selalu kata, bercakap memang mudah tetapi melaksanakan perbuatan adalah sesuatu yang cukup rumit. Kerana itulah Rasulullah s.a.w memesan dan terus berpesan menerusi sahabat-sahabatnya juga agar kita semua tidak putus asa untuk belajar dan terus belajar. Hidup ini diibaratkan seperti sebuah sekolah yangmana guru-guru atau matapelajarannya berlandaskan dugaan, cabaran, kebaikan, keburukan dan segalanya yang kita lalui setiap waktu atau selagi masih ada nafas dan roh pada jasad kita.

Pelajaran tentang lelaki sebenarnya sebenarnya wajib dipelajari wanita. Lelaki juga begitu, wajib mempelajari tentang wanita. Ikatan sesebuah perhubungan tidak akan menjadi indah sekiranya kita malas untuk belajar dan memahami bersama. Malas itulah yang membuatkan wanita menangis meratap nasib, lelaki menangis meronta di dalam jiwa mereka mencari-cari kesempurnaan luar yang sebenarnya ada di hadapan mata.
Jika kita mahu bekorban sikap dengki, ego, cemburu, marah, syak wasangka dan semua sikap mazmumah yang berkaitan yang telah lama melekat di dalam diri kita ini, InsyaAllah Allah akan berikan kita petunjuk bagaimana caranya mempelajari ilmu wanita dan lelaki ini. Bulatkan hati kepada Allah dan bersabarlah kerana kita yang menang di dalam bersabar adalah manusia yang benar-benar berjaya memperbaiki akhlaknya.

Kata pepatah bijak pandai, walau bagaimana gelap pun suasana malam itu, sebatang lilin boleh meneranginya. InsyaAllah.

Saya masih mencari ilmu itu dan melaluinya dengan berbagai-bagai dugaan. Banyak juga baldi yang saya penuhkan dengan tangisan kerana gagal menemui jalan tetapi InsyaAllah saya masih mahu terus belajar. Sebab tangisan itu juga sebenarnya sebuah matapelajaran.

Wallahua'lam.
Ditulis oleh : ~Raz.R~

No comments: