Salam kasih Kerana Allah
Sunday, May 5, 2013
Kelemahan Itu Kekuatan
Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan sebingkai harapan dan doa, semoga kita semua tidak kira siapa dan dimana sahaja berada, semoga di bawah payung perlindungan Allah dengan keimanan yang kukuh hingga bercerai jasad dan nyawa. Ameen, Subhanallah, ameen Ya Robbal 'Alamin.
Senyum untuk semua yang singgah membaca. Selingan syukur dan terima kasih. Walau tenaga terasa kurang dan cuaca diri diragut gering, namun Raz terasa rindu ingin merakamkan leteran Raz di sini. Alhamdulillah, kudrat yang diberi Allah diizinkan jua.
Sakit itu indah. Sakit itu sentuhan kasih-sayang Allah. Walau sakit itu sebahagian daripada ujian manusia tetapi dengan sakitlah kita melalui ilmu mengenali ajal yang hampir kepada kita setiap saat tanpa kita tahu. Moga sakit itu lebih memberi kehebatan kepada kita menajamkan iman di dalam jiwa. Insya Allah. Ameen.
Sudah namanya kita ini manusia insani sebagai makhluk terpilih dan terbaik, pasti hidup insan akan disulami dengan makalah ujian atau dugaan yang silih berganti. Setiap individu dicabar Allah SWT dengan pelbagai cara yang berbeza ragamnya. Malahan para Rasul, Nabi, Ambia' dan ulamak juga tidak terlepas daripada ujian. Ujian mereka ini lebih hebat daripada kita. Namun mereka menjadikan ujian dan dugaan sebagai alasan untuk terus taat dan setia kepada Allah sambil menagih redha-Nya, sedang kita banyak mengeluh dan menjadikan ujian sebagai bebanan sehingga kita lupa dan ingkar. Na'uzubillahiminzalik.
Sifat lemah serta serba kekurangan yang ada dalam diri kita tidak sepatutnya dijadikan batu tanda untuk kita membungkam mematikan hasrat tanpa berbuat sesuatu untuk memperbaiki diri. Kita sering cepat mengalah sebelum berjuang dengan menyalahgunakan dalil, bahawa kelemahan kejadian manusia itu menjadi punca kepada kejatuhan diri untuk memperjuangkan hidup. Malah kita membiarkan diri kita lemah daripada yakin dan percaya kepada Agama dan kuasa Allah SWT.
Yang sebenarnya, kerana sebab kelemahan insan inilah yang menjadi tunggak atau akar atau senjata diri supaya kita memahami ketidaksempurnaan diri dan bersedia dengan kekuatan Allah Ta'ala melalui doa tanpa ragu. Namun kita telah tersilap mengolah lemah itu sebagai lemah semata-mata, walhal kerana lemahlah maka seseorang insan itu merusaha mengenal di mana letaknya kuat. Subhanallah..!
Yakinlah kita bahawa setiap sesuatu yang berlaku yang ditakdirkan oleh Ilahi itu telah dibukakan sumber-sumber hikmah dan hidayah. Tidak perlulah kita mempersoalkan tindakan Allah SWT dalam setiap aturan-Nya. Setiap dugaan yang kita rasa membuntukan pasti akan diselitkan jalan yang terbuka untuk kita hampir kepada suatu keputusan yang baik, Insya Allah. Ada anugerah-Nya di celah-celah segala dugaan.
Siapakah yang paling kenal mengenai kita (hamba-Nya) melainkan Maha Pencipta? Jawapannya tidak lain hanyalah ALLAH!
Raz berpesan kepada diri sendiri yang juga lemah dan tidak berdaya sebagaimana manusia yang lain di bumi, bahawasanya dugaan yang kita harungi bersama mengasah iman sebagai bekal serta penyerahan tawakkal yang bulat kepada Allah itu pasti di hujungnya membuahkan hasil yang berharga.
Tidaklah manusia sesama manusia biasa layak untuk mengadili tahap kesempurnaan dan kekuatan hati melainkan semuanya adalah hak-milik Allah semata.
Lepaskan segala yang sulit dan dhaif yang tidak terdaya kita sebagai insan untuk harungi itu kepada Allah Yang Maha Bijaksana dan Berkuasa. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah berusaha sejauh yang terdaya, lalu bersabar dengan setebalnya serta manfaatkan zat doa yang dibekalkan oleh Allah melalui lidah Rasul-Nya dengan sebaik-baik cara. Insya Allah, segalanya akan baik-baik sahaja. Ameen.
Ingatkan diri bahawa, kelemahan itulah sebenar-benarnya kekuatan!
Salam kasih dengan senyum dari Raz kerana Allah Ta'ala. Moga sejahteralah Muslimin dan Muslimat di bumi Allah ini. Ameen. Wallahu a'lam bissowab.
~Raz.R~
05.05.2013- Hari Mengundi
Senyummmm...Undilah ke arah kemuliaan nurani.
Nota untuk adik tersayang : "Kakak Kuat Untuk Adik!"