Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, July 29, 2012

Solat Sunat Witir (Ganjil)

Langit mana tidak bergulung mendung dan mengurai hujan.
Jiwa mana tidak tersadung dan rebah dilambung payah.
Hidup mana tidak diusik musibah.
Iman, kadang tergugat dan naluri kadang diuji penat dan serba tidak kena.

Ketika kegusaran ini, apakah yang perlu kita miliki? Jawapannya adalah KASIH SAYANG ILAHI.
Mungkin saja hidup silam kita dirundung pelbagai dosa yang menempelkan hati dipenuhi tutupan daripada menerima cahaya. Inilah masanya kita perlu mencari cahaya tersebut. Yakni memperbanyakkan amalan-amalan tambahan melengkapi ibadah-ibadah kita yang usang dan compang.

Lakukanlah solat sunat Witir. Solat sunat Witir adalah satu-satunya solat yang keseluruhan rakaatnya berjumlah ganjil (Satu, Tiga, Lima, tujuh, sembilan atau sebelas).

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Wahai Ahli Quran, lakukanlah solat witir, sesungguhnya Allah itu witir (ganjil) dan Dia suka kepada solat witir." [ Riwayat Ahmad & Tarmizi]

Sesiapa yang melakukan solat ini akan mudah memperolehi kasih-sayang Allah kerana Allah SWT suka kepada orang yang melakukan solat witir.
Waktunya adalah antara sesudah solat Isyak hinggalah ke waktu Subuh. Ini berdasarkan penetapan dari Rasulullah s.a.w yang sabdanya :

"Sesungguhnya Allah telah menambahkan untuk kamu solat iaitu solat witir, laksanakanlah solat witir antara sesudah solat Isyak hingga solat Subuh" [Riwayat Ahmad]

Rasulullah s.a.w menetapkan rakaat solat witir tidak boleh kurang daripada satu rakaat dan tidak boleh lebih daripada sebelas rakaat, dijumlahkan secara keseluruhan dengan jumlah ganjil. Boleh ia dilakukan kesemuanya dengan satu salam atau dilakukan dengan dua rakaat dan yang terakhir dilakukan satu rakaat.

Rasulullah s.a.w berkata lagi :
"Solat witir itu adalah benar, sesiapa yang mahu melakukan lima rakaat maka lakukanlah. Sesiapa yang mahu melakukan tiga rakaat maka lakukanlah dan sesiapa yang melakukan satu rakaat maka lakukanlah."
(Riwayat Lima Ahli Sunan)

Laksanakanlah solat witir semampu yang boleh dan sebaiknya lagi jangan ditinggalkan. Ramai ulamak menyatakan bahawa solat witir adalah solat yang sangat-sangat dituntut kerana Rasulullah s.a.w dikatakan tidak pernah meninggalkan solat witir kecuali sekali, lantas baginda menqadakannya sesudah Subuh.
Kita yang melakukan solat witir walaupun satu rakaat sesudah Isyak akan tetap mendapatkan pahala solat malam.

Namun demikian para ulamak telah memberitahu beberapa usul mengenai cara-cara melakukan solat witir ini. Solat witir ini adalah dikatakan seumpama solat penutup.

Pertama.
Orang yang berniat mahu melakukan solat malam disarankan agar tidak melakukan solat witir pada awal malam. Apabila dia bangun malam, setelah selesai solat Tahajjud barulah dia menutup solatnya pada waktu itu dengan solat Witir. Cara ini sesuai diamalkan bagi orang yang kuat bangun melaksanakan solat malam.

Kedua.
Setelah selesai solat sunat sesudah Isyak, teruskan sahaja solat Witirnya. Misalnya setelah selesai solat Tarawih ditutup dengan solat Witir. Kemudian apabila waktu malam, setelah selesai solat Tahajjud, ditutup lagi dengan Witir. Dengan cara tersebut, dia telah menepati suruhan Rasulullah s.a.w agar dijadikan setiap akhir solatnya, solat Witir.

Ketiga
Apabila bangun pada waktu tengah malam, dibatalkan Witir yang dilakukan pada awal malam dengan melakukan satu rakaat dengan niat Witir. Soalt Witir akan menjadi batal apabila jumlah rakaat keseluruhannya menjadi genap. Sesudah itu barulah dia lakukan solat Tahajjudnya dan akhirnya ditutup solat Tahajjud dengan solat Witir.

Keempat.
Memandangkan solat Witir itu jumlah rakaat yang paling banyak adalah sebelas, maka dapatlah kita lakukan solat Witir itu pada awal malam, tatkala bangun malam pula ia dapat disambung lagi. Jika pada awal malamnya dilakukan 3rakaat, maka pada waktu malamnya ditambah dengan 2rakaat menjadikan ia 5rakaat. Atau boleh juga ditambah 4rakaat lagi menjadikan jumlah keseluruhannya 7rakaat. Tambahan tersebut mestilah keseluruhannya berjumlah ganjil dan tidak melebihi 11 rakaat.

Jadi kita boleh sahaja memilih salah satu cara daripada empat cara ini untuk melaksanakannya.
Bila kita melaksanakan solat Witir pada tengah malam hari tetap akan dikira sebagai solat malam atau solat Tahajjud. Ia diajarkan oleh Mazhab Syafie (Kitab al-Majnu, Jil 3 ms 539)

CARA-CARANYA
Pada rakaat pertama :-
1. Niat dalam hati dengan berkata. "Sahaja aku solat Witir dua rakaat kerana Allah."
2. Takbir.
3. Baca doa Iftitah (Allahuakhbarkatshira..)
4. Baca Ta'awwudz (Azubillah..)
5. Baca surah al-Fatihah.
6. Baca apa-apa saja surah yang diketahui
7. Takbir dan rukuk
8. Iktidal dan bacaannya
9. Sujud dan bacaannya
10. Duduk dan bacaannya
11. Sujud dan bacaannya
12. Bangun rakaat kedua dengan takbir

Pada rakaat kedua
1. Baca surah al-Fatihah.

2. Baca apa-apa saja surah yang diketahui
3. Takbir dan rukuk
4. Iktidal dan bacaannya
5. Sujud dan bacaannya
6. Duduk dan bacaannya
7. Sujud dan bacaannya dan bolehlah berdoa apa sahaja.
8. Duduk tahiyat akhir dan bacaannya
9. Salam penutup

Bagi yang mahu melakukan solat witir sebanyak tiga rakaat, maka seterusnya ditambahkan dengan satu rakaat lagi. Bagi yang mahu melakukan 5,7,9 atau 11, maka ditambah 2rakaat- 2rakaat kemudian yang terakhir baru dibuat 1 rakaat.

Rakaat berikutnya :
1. Niat dalam hati dengan berkata. "Sahaja aku solat Witir satu rakaat kerana Allah."

2. Takbir.
3. Baca surah al-Fatihah.
4. Baca al- ikhlas atau apa-apa saja surah yang diketahui
5. Takbir dan rukuk
6. Iktidal dan bacaannya
7. Sujud dan bacaannya
8. Duduk dan bacaannya
9. Sujud dan bacaannya, maka berdoalah apa sahaja
10. Duduk tahiyat akhir dan bacaannya
11. Salam penutup

Wallahua'lam. Selamat beramal dan semoga kita dapat mengecapi kenikmatan dari kasih sayang Allah di dalam tiap ibadah kita. Ameen.

Salam sayang kerana Allah.



Izinkan hati itu tenang dengan kasih-sayang Ilahi selalu.