Tiada manusia yang mampu berdiri dengan sendirinya di dunia ini. Itulah sebabnya Allah menjadikan dunia dipenuhi pelbagai jenis makhluk dari pelbagai bangsa dan warna. Semuanya saling berkaitan dan saling berhubungan sesamanya. Sesungguhnya, Allah sedang memberitahu kita bahawa hanya DIA-LAH yang berupaya berdiri dengan sendirinya tanpa sebarang penggantungan. Kita sebagai manusia dari makhluk yang paling istimewa mengatasi segala makhluk yang lain tidak boleh angkuh bahawa kita tidak perlukan sesiapa untuk kehidupan kita sedang Allah telah mentakdirkan bahawa manusia sentiasa akan tetap bergantungan sesamanya sehinggalah ke liang lahad. Penggantungan di dunia tetap memberi makna kepada kehidupan kita di akhirat kelak bagi kita yang mahu berfikir.