Kekadang kita tertanya
Apakah sebab rasa kecewa
Hidup serba tak kena
Walhal kita selalu lupa
Perkara yg tertinggal kelmarin
Sudah hilang dari kepala
Inikan pula yg bertahun lama
Tidak kan mampu segarkan minda
Dosa silam yg tertanam
Tidak bertunaskan ketaubatan
Itulah kelemahan insan
Selalulah panjatkan harapan
Moga Allah bukakan hidayah
Memahami segala hikmah
Memohon ampun dgn mudah
Bissmillahirrahmanirrahim. Dengan dengan nama Allah, Raz menulis.
Solat taubat ialah salah satu solat yang disyariatkan (diperintahkan) untuk orang yang mahu membersihkan dirinya daripada noda-noda dosa yang telah dilakukan pada masa lalu agar dapat mendekatkan diri kepada Allah. Orang-orang yang bergelumang dengan dosa akan berada jauh dari Allah dan orang yang sentiasa berusaha membersihkan dosa-dosanya akan kembali dekat dengan Allah SWT. Apakala dosa yang dilakukan tidak disertakan dengan ketaubatan, hidup akan sentiasa dihantui gelisah dan hanyut di dalam rasa tidak tenteram.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Tirmizi, al-Nasai, Baiqi dan Abu Daud yang bermaksud :
"Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna, kemudian melakukan solat tidak kira dua raka'at atau empat raka'at, yang wajib atau tidak wajib dengan turut menyempurnakan rukuk dan sujudnya kemudian memohon keampunan, maka akan diampunkan dosanya."Waktu solat taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada waktu-waktu haram. Waktu-waktu yang diharamkan kita melakukan solat ialah pada waktu syuruq (Semasa terbit matahari), waktu istiwak (Matahari tegak di atas kepala) dan waktu Ghurub (tatkala matahari tenggelam).
Ramai dari kita takut dan teragak-agak untuk melakukan solat taubat kerana kurang berilmu. Kadang-kadang kesangsian tentang apakah taubat kita diterima dengan solat yang bakal kita lakukan menyebabkan kita tidak yakin untuk bertaubat. Jadi ramailah yang tidak bertaubat di atas dosa-dosa mereka. Banyak panduan-panduan menyatakan bacaan-bacaan yang tertentu dan jumlah-jumlah bacaan tertentu lalu menyebabkan kita makin tidak tahu cara untuk melakukan solat dan apakah penerimaan Allah itu terhadap usaha kita. Janganlah dibebankan diri sedemikian. Belajarlah jika kita mahu tetapi amalkanlah mengikut apa yang kita mampu.
Allah berfirman di dalam surah-Nya. al-Muzammil di ayat 20 yang bermaksud :
"Maka bacalah apa-apa yang memudahkan bagimu daripada al-Quran."Selagi kita mampu baca dengan baik sekalipun ayat-ayat yang ringkas, kita sedar dan kita ikhlas untuk mendekati Allah, silakan meneruskannya tanpa was-was. Allah mencintai hamba-Nya yang mahu bertaubat dan berusaha mendekatinya. Jangan takut untuk datang rapat kepada Allah.
Rasulullah SAW telah meramalkan di dalam hadis baginda bahawa di akhir zaman wujud kalangan umat yang begini bunyinya :
Agama Allah itu mudah, maka mudahkanlah diri untuk mencintai Allah seadanya kemampuan diri tersebut. Sebagaimana kata Rasulullah SAW lagi, "Agama ini mudah dan jangan disulitkan.""Mereka akan berkata perkara yang mereka tidak lakukan dan mereka melakukan perkara-perkara yang tidak diperintahkan."
Cara-cara melakukan solat taubat secara asasnya adalah:-
- Niat di dalam hati dengan berkata, "Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta'ala."
- Takbir
- Baca doa iftitah
- Baca Ta'awudz yakni Auzubillahimishaitonirrajim
- Baca surah al-Fatihah
- Baca apa-apa surah yang dipilih
- Takbir dan rukuk
- Iktidal dan bacaannya
- Sujud dan bacaannya
- Duduk dan bacaannya
- Sujud dan bacaannya
- Bangun rakaat kedua dengan takbir
- Di rakaat kedua baca surah al-Fatihah
- Bacalah surah apa-apa yang dipilih
- Takbir dan rukuk
- Iktidal dan bacaannya
- Sujud dan bacaannya
- Duduk dan bacaannya
- Sujud sesudah membaca bacaannya maka ucapkanlah taubat kita dengan sepenuh keikhlasan.
- Duduk tahiyat akhir dan bacaannya
- Salam penutup
Kadang-kadang paksaaan untuk diri melakukan kebaikan terhadap diri sendiri kerana keredhaan Allah itu adalah amat perlu. Jika kita tidak memaksa dan melatih diri kita mencintai Allah dan menyesali akan keburukan diri, sampai bila pun kita tidak akan mampu tenang dan mengenali Allah. Begitu juga di dalam memaksa diri untuk menjauhi keburukan yang kita lakukan. Memaksa diri untuk menjauhi keburukan adalah suatu kewajiban.
Mungkin pada awal kita akan terasa sukar untuk melaksanakan sesuatu usaha ke arah kebaikan, namun jika kita bertekad, kuatkan hati dan terus membuat latihan ke atas diri sendiri, InsyaAllah yang mudah itu akan menyusul. Ameen.
Mudah-mudahan kita sama-sama dapat mengamalkan walaupun sedikit amalan agar Allah suka dan mudah untuk memberikan hidayah dan taufik-Nya supaya hidup kita sentiasa berada di dalam kelapangan dari segi mental dan batin. InsyaAllah. Subhanallah. Wallhua'lam. Ameen.
Salam kasih kerana Allah.