Sedikit mutiara kata dari Raz di kala senja bercampur seulas senyum seperti 'baby' dalam foto di bawah ini.
Adakalanya kita mahu berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada orang lain. Kalau boleh kita mahu kegembiraan berpihak kepada semua di atas segala keputusan dan tindakkan kita. Kita berikhtiar sehabis tenaga, kata dan ketulusan dari jiwa. Sehingga sampai suatu saat kita mulai letih dan tidak lagi berdaya menggendong semuanya di dalam satu masa. Alhamdulillah, akhlak sebegitu sememangnya terpuji dan mulia. Baguslah jika kita terdaya mengamalkan sepanjang masa.
Namun, harus kita ingat, kita tidak akan mampu memuaskan kehendak semua orang di sekeliling kita walau bagaimana sempurna pun perancangan yang kita usahakan. Hati manusia tidak pernah sama. Mungkin nampak sama warna, tetapi hakikatnya 'warna batin' yang menyelaputi tidak pernah sama. Malah sering berubah-rubah mengikut sesuatu agenda.
Walau kita pakar dan bijaksana, kita hanyalah manusia hamba. Ruangkan waktu untuk rehatkan minda dan lepaslah seketika beban di dada walau seketika. Kita amat memerlukan kerehatan. Ikutlah resmi yang Rasulullah SAW telah ajarkan kepada kita melalui sunnahnya yakni "Bersederhana" di dalam segala perkara.
Agih-agihkanlah kepentingan sesuatu kehendak agar kita tidak terjebak di dalam rasa sesak.
Nilaikan keperluan dari manakah yang perlu di dahulukan, dan yang mana pula harus dikemudiankan. Buat baik berpada-pada, perlu tepat dengan cara.
Salam sayang kerana Allah. Wallahua'lam. Jaga diri, jaga hati dan berehatlah dengan setenangnya. Senyum.