Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, May 4, 2012

Kekurangan Diri Perlu Dicari



Sudah menjadi lumrah manusia, seringkali dapat melihat debu di mata orang lain, sementara bukit di matanya sendiri tidak pula nampak baginya.

Apabila Allah SWT mahukan kebaikan bagi hamba-Nya, Allah akan menunjukkan kepada kita tentang cacat-cela yang terdapat pada diri sendiri dengan 'caraNya'. Kita yang disuluh oleh pengelihatan mata hati yang cukup tajam, akan sentiasa menghisab (bermuhasabah dan bermujahadah) tentang kekurangan diri dan akan mengenali kelemahan diri. Bilamana kita mengetahuinya, perlulah selalu kita basuh dan sucikan ia agar hilang dan terus hilang supaya titik-titik putih dihati dapat menempatkan lakarannya pula dan menyikirkan titik hitam sedaya upaya, InsyaAllah.

"..dan sesungguh beruntunglah bagi sesiapa yang mensucikan jiwa itu.." [Surah Asy-Syams: 9]
".. dan sungguh rugilah bagi sesiapa yang  mengotorinya.." [As-Syams:10]

Terdapat empat cara bagaimana kita dapat mengenali kekurangan diri kita :-

1) Mencari guru yang mursyid dan arif di dalam soal kecacatan jiwa, disamping memiliki pengetahuan tentang penyakit-penyaikt hati yang tersembunyi. Disitu bolehlah kita mengendalikan diri dengan mengizinkan guru tersebut memperbetulkan dan memberi tunjuk ajar serta mengenali ilmullah yang berupaya membawa kita ke jalan yang sebenar. Guru tersebutlah yang bakal menjadi pelintas dengan mengetahui, memerhati dan menasihati akan kekurangan-kekurangan diri yang sewajarnya kita ubah. Namun, jarang sekali dapat kita temui seorang tokoh yang sedemikian di zaman ini.

2) Mencari teman atau sahabat yang tulus dan arif serta amat menjaga segala aturan agama dengan sebaik-baiknya. Sahabat sedemikian boleh menjadi tulang belakang atau pengawas diri kita sehingga setiap kali dia melihat sesuatu tentang diri kita yang bakal merosakkan akidah, dia pasti akan menegur dengan berhemah.
Sebagaimana di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda memiliki teman yang sentiasa ikhlas jujur menegur dan membahas sesuatu sehingga keadaan menjadi lebih baik diantara mereka. Sesiapa sahaja yang lebih bijak akalnya sekalipun mempunyai kedudukan yang tinggi tetapi sentiasa mencurigai kecacatan diri dan bertanyakan sahabatnya tentang kelemahan-kelemahan yang perlu diubahnya, dialah insan yang mengenal diri demi mengenali Tuhan-Nya.

Sedihnya, sahabat sedimikian juga amat sukar dipertemukan di zaman kita sekarang ini. Kebanyakan yang kita temui melebihkan sikap berpura-pura, malah hanya berminat untuk mencela, membuka aib dan berdengkian walaupun terhadap sahabatnya sendiri. Manusia zaman sekarang lebih suka jika dirinya dilebihkan manakala orang lain hanya diperlayakkan menerima apa-apa kebaikan yang secukupnya sahaja. Apatah lagi bila ada teguran yang disampaikan tentang kekurangan diri kita, tidak ramai yang mampu menerima dengan minda terbuka malah sahabat-sahabat yang sering menasihati mudah sahaja dipencilkan dan dibenci.

Akhlak buruk adalah ibarat ular dan kala jengking yang menyengat. Bayangkanlah jika ada orang yang terlihat kala jengking di dalam baju kita, tidakkah kita berasa senang dan sangat berterima kasih sekiranya dia memberitahu kita dan kita pula segera menyibukkan diri untuk membuang kala jengking tersebut jauh-jauh malah mematikannya juga?

Kita sepatutnya bermohon kepada Allah SWT agar diilhamkan kurnia-Nya memiliki pemikiran yang benar, membuka hati kita agar mengenali kecacatan diri dan berusaha mengubati kekurangan tersebut serta berdoa agar Allah memberi taufik bagi kita menerima dengan rasa syukur bilamana kita dikurniakan sahabat yang berani menegur dan memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik.

3) Ambillah iktibar dan manfaat melalui ucapan-ucapan daripada mereka yang membenci diri kita. Ada madah berkata, "Mata yang membenci menonjolkan segala keburukan". Sekalipun kebencian mereka itu tidak benar dan berunsur fitnah atau jahil, ambillah ia dan jadikan ia sebagai pedoman supaya menjadi penampan pada diri untuk mengelakkan keburukan tersebut menjajah diri. Mungkin saja, manfaat yang diambil dari musuh yang keras hati adalah lebih besar daripada teman yang bermanis mulut, memuji-muji tetapi dalam diam menyembunyikan kecacatan diri kita sehingga kita lebih terleka dan tersesat. Seseorang yang bijak dan berwaspada pasti tidak akan mengabaikan manfaat dari kejian musuh-musuhnya tentang kelemahan dirinya kerana di situ dia mampu memperbaiki dirinya agar lebih sempurna.

4) Bergaullah dengan masyarakat yang luas. Tabiat manusia sememangnya suka mengikuti hawa nafsu dan kebanyakan manusia itu adalah sama. Belajarlah dari apa yang kita lihat daripada situasi sekeliling kita. Seperti kata Nabi Isa a.s ketika dia pernah di tanya' " Siapakah yang telah mendidikmu?" Lalu dia menjawab, " Tidak seorang pun! tetapi aku selalu melihat bahawa kejahilan seorang yang jahil itu  adalah seuatu yang buruk , maka aku pun menjauhinya!"
Jangan pula kita melihat yang buruk lalu kita mendekati keburukan tersebut dan menjerumuskan diri ke arah memburukkan diri. Allah memberikan kita akal yang waras untuk berfikir dan hati yang berdegup untuk menimbang baik dan buruknya sesuatu keadaan, maka pergunakanlah ia sebaiknya.

Mudah-mudahan Allah sentiasa mendorong kita bagi memilih jalan-jalan yang mulia untuk keselamatan dunia dan akhirat. Ameen. Wallhua'lam..


Salam muhasabah dan mujahadah.
dengan senyuman yang indah.