Salam kasih Kerana Allah
Wednesday, June 24, 2009
Pokok Kebahagiaan
Asslamualaikumwarahmatullahiwabaratuh...
Moga kita sama-sama mendapat Hidayah-Nya setiap masa, baik di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.
Kita semua selalu mendambakan dan merindukan kebahagiaan. Malah masih terus tercari-cari kebahagiaan. Kebahagiaan yang bagaimana yang kita mahukan?
Keselamatan, kerahmatan dan keberkatan, itulah tiga unsur kebahagiaan yang lengkap dan abadi yang menjadi fitrah manusia baik disedari atau tidak. Tiga unsur itu tersimpul dalam ucapan salam yang pernah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu: "Asslamualaikumwarahmatullahibarakatuh"
Ketiga-tiganya terdapat :-
Yang pertama : Assalamu, keselamatan
Yang kedua : Warahmah, kerahmatan
Yang ketiga : wabarakah, keberkatan
Ketiga-tiganya adalah kurniaan Allah yang mencakupi kenikmatan baik bersifat zahir mahupun batin dan itulah bentuk kebahagiaan yang lengkap. Kebahagiaan yang nyata, zahir batin, dunia akhirat.
Siapapun manusia itu pasti perlu selamat, mendambakan keselamatan. Tidak sahaja orang yang baik-baik, bahkan orang yang jahat pun berupaya mencari keselamatan dalam kejahatannya. Yang luar biasanya adalah orang yang melakukan bunuh diri juga perlu selamat dalam erti agar segera terbebas dari siksaan batin yang menghimpitnya. Jadi, selamat dalam pengertian batin walau harus mengorbankan keselamatan fizikalnya.
Secara naluriyah orang yang tidak waras pun perlu selamat sebagaimana manusia yang normal. Haiwan pun perlu selamat seperti contohnya yang dimangsa berusaha menjauhkan diri dari pemangsa.
Demikianlah perlunya "keselamatan" yang menjadi dambaan setiap makhluk Tuhan sesuai dengan naluri atau firtahnya. Sebab apalah ertinya pangkat, nama besar, kekayaaan, kesihatan dan segala kelengkapan mewah itu seandainya pemiliknya sendiri tidak selamat, kan?
Keselamatan itulah yang menjadi impian setiap diri dan itulah unsur pertama kebahagiaan hidup. Yang kedua ialah "kerahmatan Tuhan", iaitu berupa petunjuk-Nya pada jalan kehidupan yang lurus, yang benar, yang diredhai yang dalam istilah disebut "Hidayah".
Apalah ertinya keselamatan hidup jika tidak disertai hidayah-Nya? Dengan petunjuk-Nya menempuh jalan terang adalah kelengkapan yang asasi bagi kebahagiaan manusia. Ia mampu memilih diantara hak dan batil dan diamalkan dalam sikap hidupnya yang nyata.
Cuba kita lihat, seorang penjahat yang selamat dari tangkapan polis akan tetap menjadi lebih jahat lagi jika tidak mendapat rahmat dan petunjuk dari Allah. Sehingga hidup sentiasa bergelumang kejahatan, kedosaan dan kemaksiatan. Boleh jadi dalam melampiaskan nafsu kejahatan, dia selalu selamat dari hukuman pihak berkuasa, selamat di dunianya tetapi JANGAN HARAP akan terbebas dari hukuman akhirat yang amat dahsyat.
Oleh itu, tidak cukup jika hanya mendapat keselamatan sahaja sedang ia perlu mendapatkan yang lain iaitu rahmat Allah, berupa petunjuk-Nya ke jalan yang terang. Lawan rahmat ialah laknat. Ertinya, jauh dari petunjuk Allah, hidup ibarat pemberontak kebenaran, pembangkang dan bongkak seperti bangsa iblis yang kerana kesombongannya telah menutup pintu batinnya sehingga jadilah makhluk terkutuk dengan tingkah lakunya sendiri. Ia diusir dari rahmat Allah dan tidak mendapat hak bertempat disyurga-Nya.
Tanda yang mendapat rahmat itu adalah hatinya yang mudah tersentuh dan menerima cahaya kebenaran. tanda orang yang terlaknat ialah kesombongan sehingga membuat hatinya keras, gelap dan hampir setiap kebenaran ditolaknya malah dilawannya.
Jadi keselamatan adalah dambaan pertama dan kerahmatan adalah unsur yang kedua dan yang ketiganya pula adalah "keberkatan hidup".
Jika hati kita meraa hidup tenteram, tenang, damai, sejuk hati, segar di dada dan terang dalam fikiran serta mantap dalam sebarang tindakan. Itulah tanda-tandanya kita telah mengecapi keberkatan hidup. Inilah yang menjadi idaman setiap manusia tidak kira kaya atau miskin.
Sebaliknya jika kita hidup di dalam gelimangnya harta, segala keperluan mampu dipenuhi, setiap usaha kita berjaya dan selamat tanpa ada rintangan tetapi kita selalu resah gelisah. Pertengkaran selalu sahaja meletus ditengah kehidupan kita samada dengan tetangga, anak, isteri atau suami sehingga benar-benar mengusik ketenangan kita, maka itulah buktinya kita masih belum mencapai keberkatan di dalam hidup ini walau kita kaya meliana. Lalu apakah ertinya?
Lihatlah bagaimana orang-orang bijak pandai atau orang-orang ternama yang mengakhiri hidup mereka dengan jalan terkutuk iaitu bunuh diri. Atau ada yang meninggalkan segala kemewahan mereka, malah meninggalkan negaranya yang diagongkan sebagai syurga ilmu teknologi. Ditinggalkan semua itu untuk berkelana, mengembara ke negara-negara lain, masuk hutan belantara, gunung-ganang, gua dan tempat-tempat sunyi dengan pakaian yang compang - camping tanpa mengira kebersihan dan kesihtan jasmaninya. Cuba kita tanya apa yang mereka cari sebenarnya? Apa yang mereka harapkan?
Ketenteraman, kedamaian, kebahagiaan, kelulusan dan kesetiakawanan. Kesejukan batin tidak dapat dibeli dengan hanya sekadar kekayaan, pangkat dan kedudukan. Itulah "berkat Allah dalam kehidupan ini".
Jika itulah yang kita perolehi, maka lengkaplah apa yang kita maksudkan dengan kebahagiaan yang hakiki yang terdiri daripada tiga unsur pokok tadi. Keselamatan, kerahmatan dan keberkatan.
Itulah yang diingini dari setiap kita yang sedar akan keimanannya.
Mudah-mudahan Allah berikan kita petunjuk dan hidayah bagi terus berusaha ke arah kebahagiaan yang hakiki itu. Dan sekalipun kita terasa hidup kita selama ini banyak goyahnya, tetaplah berdoa dan berusaha tanpa berputus asa. InsyaAllah, hati kita nanti akan terkikis dari rona. Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Penyantun, Maha cantik dan Maha Berkuasa di dalam segala-galanya.
Wallahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment