Salam kasih Kerana Allah
Tuesday, June 23, 2009
Pilihan Kita
Bismillahirrahmnirrahim..
Assalamualaikum dari saya hamba Allah yang serba kekurangan dan segala puji-pujian bagi Allah s.w.t di atas segala nikmat-Nya samada yang datang dari langit dan yang tumbuh di bumi. Selawat dan salam kepada baginda Rasulullah s.a.w di atas perjuangannya membawa Agama Allah kepada kita semua. Alhamdulillah kerana kita lahir di dalam agama-Nya dengan mudah tanpa bersusah payah. Saya ingin mendoakan agar kita semua terus di bawa ke jalan-Nya sekalipun kita leka dan terlupa. Amin..
Hari ini, saya terasa ingin menulis lagi, tetapi saya sendiri tidak tahu apa yang perlu dituliskan. Walhal di dalam hati kecil saya ini terdapat pelbagai diskusi yang bercampur aduk. Hemm.. apa ya? Dimana yang perlu saya mulai?
Semenjak saya cuba menjinakkan diri di dalam penulisan yang ringkas ini, saya mulai merasakan penyampaian sebuah penulisan bukanlah perkara yang mudah. Kata bijak pandai, untuk menulis perlu ada ilmu, perlu ada kebijaksanaan dan perlu ada jiwa yang menjiwai penulisan. Tertanya juga, apa yang saya ada? Ya, mungkin saya cuma ada jiwa, roh dan jasad. Itupun pemberian Allah. Semangat yang saya baca melalui kata-kata Rasulullah s.a.w bahawa walaupun dengan kemampuan yang paling sederhana, paling minima setiap muslim digalakkan beramal dan berkarya kerana itu juga corak ibadah dalam Islam. Lalu ruangan ini memberikan saya percubaan untuk mengasah keinginan.
Sedari kecil, memang saya suka meluahkan kekeluan saya melalui tulisan apabila tidak mampu menyuarakan sesuatu dengan kata-kata lidah. Teringat saya ketika di usia 10 tahun, di dalam satu pertelingkahan keluarga. (Biasalah, sedangkan lidah lagi tergigit). Saya tidak berdaya untuk menghentikan kebisingan mereka dengan kotak suara. Namun saya berjaya menarik perhatian mereka dengan tulisan di baldi air. Lucu sekali! Menulis sajak di baldi?? Apa yang ditulis saya waktu itu agak samar untuk diingat namun saya telah berjaya meleraikan pertengkaran mereka. Begitulah tajamnya tulisan.
Semakin usia ini bertambah, semakin besar juga kekerapan jatuh dan bangun kehidupan. Betul tak?.. Kita tidak mungkin dapat menepisnya. Selagi ada nafas, selagi itulah akan sentiasa ada dugaan. Kita perlu melaluinya, menghadapinya dan mengatasinya. Terpulanglah kepada kita dengan cara apa dan bagaimana. Di situlah tugasnya akal dan jiwa. Ketahanan akal dan jiwa akan mempengaruhi kehidupan kita seharian.
Kita ini adalah makhluk unik yang Allah ciptakan melebihi keistimewaannya dari makhluk-makhluk yang lain. Malah di deretan salasilah manusia ini telah disejarahkan rekod-rekod mengenai kehebatan manusia. Terkadang manusia itu sendiri mampu mengatasi kehebatan malaikat. Begitulah hebatnya kita. Paling "hebat" lagi apabila kita mampu menjadi seburuk-buruk manusia yang kekadang mengalahkan syaitan dan iblis.
Lahaulawalaquwwataillabillah...
Corak kehidupan manusia itu selalu didasarkan oleh pilihan akal dan hati. Hati terutamanya seringkali menguasai keseimbangan akal. Dari situ terbitlah ilmu hidup yang kita pegang setiap masa. Samada baik atau buruk, itulah pilihan kita.
Adakala peratus kecil dari kehidupan kita terjerumus ke pilihan yang tidak kita jangka. Yalah, maksud saya kadang-kadang kita terpaksa memegang pilihan yang buruk demi untuk kebaikan orang lain. Itulah pertimbangan namanya. Pun begitu, hati selalu dahagakan kebaikan. Kerana harapan itulah kadang-kadang tidak mustahil yang buruk berubah menjadi yang baik dipengakhirannya. Jarang sekali terdapat apa yang kita pilih itu bukan pilihan kita. Sekalipun pilihan kita itu pilihan yang salah, tetap ia akan menjadi sebahagian dari ranjau hidup kita. Kita akan rasa bertuah sekiranya pilihan kita itu adalah pilihan yang tepat. Namun, ada masanya untuk pilihan yang tepat, banyak pilihan yang goyah yang terpaksa kita titi terlebih dahulu.
Sepertimana kita yang lain, saya juga pernah meniti pilihan-pilihan yang salah. Terutama di dalam soal cinta. Berbicara soal jodoh pada sesetengah orang lain, ia adalah satu bingkisan yang mudah. Ada yang berkata,
"Hang jumpa-Hang tangkap-Hang kahwin sajalah."
Bila terdengar borak-borak begini, saya cuma tersenyum. Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang terlipat disebalik hati kecil saya. Lakaran hidup kita memang mudah untuk dipermudahkan dengan kata-kata sedang jelas sekali apa yang dilukis oleh lidah selalunya tidak selari dengan apa yang terpampang di hati. Sekadar menyiram tanaman dipagi hari, segarnya belum tentu hingga ke senja.
Pada pendapat saya cinta manusia, keharmoniannya hanya sementara. Manusia itu sendiri meterial. Dewasa ini cinta manusia banyak mengaut pengorbanan yang tidak tulus tujuannya. Kebahagiaan yang berbolak balik, itu yang paling kuat yang mampu diberi ketika kita mencintai manusia yang lain. Dalam merebut cinta manusia itulah terkadang kita jadi leka dan gagal mengawal keseimbangan jiwa. Lantas memberikan ruang yang luas untuk syaitan menikam hati dengan hasutan-hasutan yang membawa kita ke arah kebodohan dan kekesalan yang panjang. Pilihan yang kita salinkan saat itu menjadi pilihan yang suram. Penuh kepalsuan, kecemasan, kebingungan dan rasa rendah diri.
Benar, Allah memerintahkan Hamba-Nya menyintai sesama insan, sesama saudara, keluarga, pasangan dan sebagainya. Malah cinta dan kasih-sayang itu adalah keajaiban yang diberi Allah kepada kita dan makhluk yang lain. Allah akan menyayangi kita apabila kita menyayangi sesama manusia. Namun kebanyakkan 'cinta' dan 'sayang' yang kita rasa tidak menjurus ke arah cinta yang redha. Cinta kita tidak dari jiwa yang mutmainnah iaitu tingkat jiwa yang paling kukuh, paling sempurna dengan meyedari tentang hakikat hidup itu bermula dari kesedaran mengenal sumber kehidupan iaitu dari Allah, Ar-Rahman, Ar-Rahim. Kerana ketiadaan tingkat itulah kita tidak dapat ketenteraman nurani dan batin bila bercinta atau menyayangi. Itulah yang sebenarnya yang perlu kita cari dalam cinta kita. Namun berapa banyakkah dari kita yang mempunyai cinta yang sedemikian?
Disini saya ingin menyatakan pesan yang tidak seberapa kepada diri sendiri dan kepada sahabat-sahabat. Usah bimbang jika kita tidak dicintai sejujurnya kerana apabila kita sendiri jujur mencintai insan kerana nikmat-Nya, pasti Allah sendiri yang akan menghulurkan tali cinta yang hebat untuk kita.
Wahai sahabat yang pernah menempa pilihan yang gagal, usahlah bimbang dengan kehampaan yang dilalui. Yakinlah dengan Allah. Usah juga berhenti berputus asa. InsyaAllah, jika nawaitu hati itu redha pada ketetapan Allah dan sekata dengan kesabaran kita menghadapi pilihan-pilihan kita itu, InsyaAllah, pasti ada kemenangan yang menanti.
Usah gentar. Usah takut apabila manusia lain tidak memperdulikan kita. Cuba lihat diri kita yang selama hidup ini, waktu kita berada di dalam lurah kemaksiatan, Allah ada. Waktu kita diulit kelalaian, Allah ada. Waktu kita melaksanakan kebaikkan, Allah ada. Betapa banyaknya peluang yang Allah berikan kepada kita selama ini untuk dipilih dan apakah yang kita pilih itu menepati kehendak Allah yang sebenar-benarnya?
Mudah-mudahan kita semua menetapkan keikhlasan kita kepada Allah dengan lidah, dengan perbuatan atau amalan dan dengan hati kita selalu. Moga kita juga tidak menghentikan usaha untuk segala kebaikan tanpa kenal putus asa, tetap berdoa penuh harap pada kurnia-Nya dan selalu redha menerima kenyataan untuk setiap takdir yang kita terima.
Wallahua'lam.
p/s: Jutaan Terima kasih untuk mereka yang mendoakan kesembuhan ayah saya. Alhamdulillah, doa kalian penuh rahmah. Saya juga mendoakan seluruh kerahmatan Allah pada sahabat semua. Amin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment