Salam kasih Kerana Allah
Saturday, February 7, 2009
GELISAH
Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi-Mu, Ya Allah, Tuhan Sekelian Alam.
Sebenarnya fikiran saya buntu dan kematu hari ini. Hah! Negatif. Mungkin anda semua pernah rasa dan faham erti kebuntuan itu apabila anda melaluinya pada saat-saat tertentu. Kita rasa macam tidak tahu apa yang kita perlu buat dan di mana kita harus mulakan, betul tak? Sesekali atau dua kali, atau tiga kali akan terasa seperti kekosongan yang teramat. Malah, tiba-tiba sahaja semangat kita seolah dicuri dan dibawa lari oleh sesuatu. Timbul perkataan 'bosan' dilidah. Jiwa diselang-selikan dengan perasaan yang tidak ada tujuan dan tidak keruan. Akal mulai sempit dengan soalan-soalan yang tidak terjawab. Di suatu sudut di dalam dada kita terasa ketat dan kesal akan sesuatu. Hanya kita dan Allah yang tahu apakah itu? Malahan juga acapkali kita sendiri tidak mengerti dari mana datangnya pergolakkan rohaniah ini.
Astaghfirullahalazim.. Dasyatnya tikaman syaitan terhadap kehidupan kita. Tengok? Bukan senang untuk menyembunyikan diri dari usikkan syaitan. Serangan makhluk ini selalunya bermula dengan tapak yang kita sangka betul arahnya, perlahan-lahan menyerong dan meyerong. Nauzubillah. Matlamat asal kita tiba-tiba kabur dek gangguan dan bisikkan mereka.
"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." -Surah az-Zumar:10
Bersabarlah wahai hati. Jangan terlalu banyak mengeluh dan gelisah kerana itu menjadikan kita bersifat lemah, tidak bermaya dan malas. Kata cendekiawan,yang paling buruk adalah sentiasa merasa gelisah dan takut. Benarlah itu.
Ketakutan dan gelisah itulah yang sering membuatkan kita gagal mengawal kebanyakkan emosi kita.
Saya dengan rasa jahil dan rendah diri mahu berkongsi pengalaman saya sendiri mengenai dua perasaan ini. Biasanya orang Kedah panggil "Gabra". Saya lebelkan ia "Gabra" sebab sebutannya agak hangat di pasaran masa kini. Senyumlah. Sesekali bergurau apalah salahnya.
Suatu ketika saya pernah melalui ketakutan dan kegelisahan yang teramat sangat. Gabra yang tidak dapat dilakarkan dengan kata-kata. Tafsirannya pendek kata beginilah : Sewaktu hati masih sayang, sebulat rasa tulus dan ikhlas dicurahkan dan selautan perhatian serta tumpuan tersalur di situ tiba-tiba dikejutkan dengan kehilangan yang besar. Apa yang berlaku pada diri saya waktu itu ibarat kata seperti berkecai roh dari tubuh setika waktu. Jantung saya berdegup tidak lagi mengikut rentak. Peluh di badan mencurah tanpa melakukan aktiviti lasak. Minda saya berkocak namun fungsinya entah di mana. Tumpuan saya hilang. Tubuh menjadi goyah dan lemah. Keyakinan diri gugur. Soal iman usah dibicarakan lagi, yang tipis semakin melayang. Campuran rasa yang beraduk. Campuran rojak memang enak tetapi kalau campuran perasaan, memang senak!
Lalu berdiskusilah saya dengan perasaan sendiri. Yalah, ingin berkongsi tetapi takut dikatakan membuka pekong di dada. Ingin juga memohon nasihat, gentar dilihat sebagai insan yang tidak kuat. Akhirnya, Alhamdulillah saya memilih menceritakan hal ini dengan Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar Yang Terhebat! Untuk melawan perasaan gabra bukanlah sesuatu yang mudah seperti mengeluarkan kata-kata. Ia memerlukan sepenuh kekuatan, keupayaan dan keinginan. Allahuakhbar. Apapun dugaan yang berlaku dalam hidup, apabila kita balik kepada Allah, pasti segalanya akan jadi baik-baik belaka. Kerana setiap yang tidak baik yang berlaku pada diri kita sebenarnya adalah satu kebaikan yang terlindung. Indahnya Islam. Baik atau buruk sesuatu, umatnya disuruh bersabar dan berikhtiar melaluinya.
Apabila kita tauhidkan diri kita kepada Allah, sesusah mana kehidupan ini ada nikmatnya. Apabila kita merasai akan kenikmatannya, percayalah hati kita akan berkata, "Ya Allah, seandainya dugaan ini sentiasa mengingatkan aku pada-Mu, dugalah aku selalu."
Itulah rahsia gabra, resah atau gelisah pada kita melalui pandangan saya. Selebihnya hanya Allah yang Tahu.
Waahua'lam.
Ditulis oleh: ~Raz.R~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment