Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Thursday, February 12, 2009

YANG CANTIK ITU..



Pandang cermin. Keronyokkkan kedua-dua belah pipi. Pandang kanan, pusing kiri.
“Adui, awatlah aku tak cantik ya?.”

Tiba-tiba muncul rasa merendah diri. Bukan saya sahaja yang merasakan diri saya ini tidak cantik, malah ibu saya sendiri pernah berkata begitu.

“Cuba senyum sikit bila buat kerja tu? Dahlah tak comey, muncung ja, macam hantu!”

Pernah pada suatu hari ibu saya berkata begitu. Kepalang bingit telinga ini. Merah. Kalau digoreskan mancis pada cuping telinga saya waktu itu, dah menyala dah. Pendek kata begitulah perasaannya.
Kah!Kah!Kah!

Fitrah semula jadi manusia ini selalu memandang pada kecantikan. Bahkan Allah juga mencintai kecantikan dan keindahahan. Islam yang diturunkan Allah juga indah. Keindahannya secocok, sekata dengan fitrah manusia. Malah sifat Allah juga indah lagi cantik, paling sempurna dan Maha Agung. Lihatlah pada lautan biru, langit berbulan dengan kilauan bintang ciptaan-Nya, sungguh indah. MasyaAllah. Semuanya dijadikan kepada kita manusia untuk memikirkannya.

Apa halnya dengan saya yang merasakan diri saya ini tidak cantik pula ya? Begini, ketika itu saya lupa diri. Saya lemah. Saya bodoh.
Inginkan kecantikan dan suka pada kecantikan itu bukanlah satu kesalahan. Cuma kita ini sebenarnya tidak sedar dan lupa bahawa tidak ada wanita itu hodoh, hanya kecantikan yang berbeza. Kalau tidak masakan timbul ungkapan kata “Beauty is in the eye of the beholder”. Tak gitu? Cuba kita perhatikan, kekadang kita melihat ada wanita montel berpasangan dengan lelaki lampai dan kacak. Mata kita membulat hairan. Astaghfirullah, lidah pun membelitkan umpatan, “Isk..isk..tak padanlah, buta perutkah si suami tu?”.
(Dilarang meniru kata-kata itu, sekadar contoh sahaja)

Wanita itu sudah tentunya cantik kerana terhasil dari ciptaan Allah s.w.t juga. Kecantikan itu sebenarnya bukan hanya terletak pada rupa paras dan bentuk fizikal tubuh sahaja. Ada orang melihat cantik pada hidung, ada pula pada mata dan sebagainya. Pendek kata sesetengah dari kita beranggapan kecantikan itu sangat relatif sifatnya. “Lain padang, lain belalang”- citarasa tentang kecantikan itu berbeza mengikut pendapat masing-masing.

Itu semua kecantikan zahiriah dari pandangan mata kita. Jika kecantikan itu hanya terlihat pada wajah, wajah itu lambat laun akan dimamah usia. Bila usia meningkat kedutan-kedutan akan mula muncul, muda cantik tadi akan mula hilang. Apakah ukuran kecantikan yang seperti itu? Ia hanya bersifat sementara. Kita tidak akan berdaya mengubah usia, hanya mungkin dapat menangguhkan proses ketuaan itu sahaja melalui kepakaran kosmetik atau sebagainya. Pasti, selepas itu kita akan tetap melalui usia tua kita.

Dimanakah kecantikan original,hakiki, abadi dan kekal?
Jika mata menilai kecantikan pada rupa. Akal pula menilai kebijaksanaan fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Hati pula menilai pada akhlak dan budi. Indahnya Islam meminta kita menilai pada kecantikan akhlak seperti kata Rasulullah s.a.w : “Mukmin yang terbaik adalah yang terbaik pada akhlaknya”. Ianya akan kekal melebihi usia.
Malahan kecantikan budi pekerti dan akhlak ini akan disukai segenap lapisan kita manusia.
Ruang lingkup akhlak ini merangkumi banyak tatacaranya. Tidak perlulah lagi kita yang merasakan diri kita ini hodoh apabila tidak dipuji cantik dari luar malu dengan apa yang Allah ciptakan untuk kita. Ini kerana Allah telah menciptakan kita dengan kelebihan-kelebihan yang tertertentu yang tidak kurang sama cantiknya dengan mereka yang merasakan diri mereka cantik. Kita mungkin tidak boleh mengubah wajah kita, tetapi kita boleh mengubah kelakuan, yakni akhlak kita. Dari buruk kepada baik, dari baik kepada yang lebih baik. Itulah kecantikan yang kita perlu pegang.

Berapa ramai ramai orang yang cantik pada mulanya, tetapi bila kita mula bergaul dengannya, dia mula bersikap ego, kasar dan celupar , kita tidak lagi mengkagumi kecantikannya?. Kecantikannya tenggelam dek keburukan pekertinya.

Berapa ramai pula yang kita tidak nampak cantik pada wajahnya, bila kita kita serasi berbual, mendekati sikap sederhananya, lembut tutur kata, semakin hari semakin rasa bertambah menawannya dia. Makin kita sayang dan makin kita suka padanya. Terlindung kekurangannya dek akhlaknya yang baik, kan?.

Pun begitu alangkah hebatnya lagi sekiranya mereka yang cantik itu, beriringan dengan akhlak yang baik. Satu bonus yang hebat. Alhamdulillah. Bersyukurlah dan peliharalah dan gunakanlah ia sebaik mungkin.

Justeru, wahai hati, baik-baiklah…jangan resah jika dikata tidak cantik kerana penilaian Allah itu Maha Adil dan Saksama. Kita semua sama hebat, sama cantik. Carilah keimanan agar kita berlebih cantik di sisi Ilahi. Saya juga mendoakan yang sama pada diri saya. Mudah-mudahan kita semua mendapat kecantikan dunia dan akhirat. Amin.

No comments: