Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, November 26, 2023

Berdoa Jangan Berduka.

Selalu kesedihan menarik hati kepada penulisan. Apalah puncanya. Tak tahulah...

Mungkin segala gumam emosi tersebut menyemarakkan idea di hati, kerana diam bersedih membuatkan jiwa menjadi dramatik, sensitif dan lebih memahami diri.

Ya, sedih.

Sama seperti titik-titik hujan saat ini. Renyai. Dingin. Cuma terasa amat retak apabila air mata tidak dapat menitis. Menakung menunggu pecah umpama empangan yang sarat dengan lebihan air bah!

Kadang-kadang hati tertanya. "Kenapa sedih? Allah sedang melihat. Allah Maha Tahu apa yang sesuai untukmu." Benar, cuma kita ini sangat lemah. Mungkin sedih inilah yang sedang mengecas semangat kita untuk bangkit. Bangun semula meneruskan apa yang wajar kita istiqamahkan untuk masa yang berbaki pada diri.

Syukur sahaja pada kesedihan yang dirasa. Ia adalah sentuhan Allah Taala jua. Berfikir. Bertenang. Kembalikan diri kepadaNya. Syukur sebab Allah izinkan hati yang ada sekarang ini tidak dilalaikan dengan dunia sorak ria yang menghadang akal daripada hidayahNya.

Bidalan selalu merujuk kepada usah membandingkan hidup kita dengan orang lain. Lapan puluh peratus tepat. Namun selebihnya itu ada baiknya juga bila kita buat perbandingan. Tentang betapa bertuahnya diri kita yang dilebihkan sesuatu daripada orang lain yang serba dhaif. Bandingan yang menjadi iktibar kepada kita. Apalah sangat kesedihan diri kita berbanding dengan ujian orang lain yang lebih dahsyat.

Okay. Dahlah! Tak baik bersedih lama.

Syukur sahaja kepada Allah untuk segala perkara. 

Semoga kehidupan kita yang penuh rahsia Allah ini disempurnakan dengan keindahan yang akan Allah kurniakan nanti.... 

Berdoa jangan Berduka.