Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Friday, January 16, 2015

SEMOGA DIKASIHI ALLAH DAN RASULULLAH SAW.

بسم الله الر حمن الر حيم
اسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Subhanallah.
16hb Januari 2015 (25 Rabiulawal 1436). Jumaah Mubarakh untuk semua hamba Allah.
Sudah tahun 2015 rupa-rupanya. Raz sudah tua!
Hehehe.. Semua orang akan melaluinya jika umur panjang. Insha-Allah. Ada kawan-kawan marah bila Raz suka sebut perkataan tua. Pada Raz, tua itulah yang wajar dibanggakan. Bukan satu kerendahan. Ia satu keistimewaan. Ia sebagai ingatan. Mengingatkan diri bahawa, yang tinggal pada kita hanya sedikit masa. Masa untuk bertaubat jika terinsaf dengan dosa. Selebihnya ingatan untuk mensyukuri betapa Allah Yang Maha Pengasih masih memberi bonus kepada usia untuk terus menggilap iman dengan ilmu dan amal dengan sebaik-sebaiknya. Insha-Allah, semoga Allah redha.


Sudah lama Raz tidak singgah di halaman ini. Nampak macam basi. Aduhai, dengan harapan masih adalah hamba-hamba Allah yang masih datang membaca tulisan-tulisan lama Raz yang tidak ada apa-apa pun ini. 

Beku rasanya akal untuk memulakan tulisan. Tidak tahu topik apa yang perlu ditulis untuk manfaat bersama. 

Baiklah, kerana ini tulisan pertama Raz di ruang ini di tahun 2015, eloklah Raz memulakannya dengan mendoakan semua orang. Semoga muslimin dan muslimat sentiasa berada di dalam dakapan kasih-sayang Allah dan Rasulullah s.a.w. Al-hasil daripada ujian yang menimpa kita baru-baru ini, sehingga masih lagi ada kesannya sampai saat ini, sama-samalah kita mendoakan diri kita agar ditunjukkan jalan yang lurus lagi benar sehingga mencapai kehendak Allah Ta'ala.

Seterusnya,
Raz tidak mahu panjangkan sangat tulisan. Raz tahu, tak ramai kita suka membaca tulisan yang terlalu panjang. Membebel, kata orang. Suka untuk Raz berkongsi makna doa duduk di antara dua sujud ini sebagai ulangan untuk sama-sama kita mengambil iktibar bersama, sematkan dalam dada.
Semoga ibadah kita, amalan kita mendapat tingkat yang baik di sisi Allah dari hari ke sehari. Ameen...


√ ROBIGHFIRLII, Wahai Tuhan ampunilah dosaku.
Dosa adalah beban, yang menyebabkan kita berat melangkah menuju ke redho Allah. Dosa adalah kotoran hati yang membuat hati kelam sehingga hati kita merasa berat untuk melakukan kebaikan.

√ WARHAMNII, Sayangilah diriku. 
Kalau kita disayang Alllah, hidup akan terasa bahagia, kerana dengan kasih sayang akan dapat dicapai semua cita-cita. Dengan kasih sayang Allah diri kita akan terbimbing.

√ WAJBURNII, Tutuplah segala kekuranganku. 
Banyak sekali kekurangan kita, kurang syukur, kurang sabar, kurang menerima kenyataan, mudah marah, pendendam dan banyak lagi. Kalau kekurangan kita ditutup/diperbaiki Allah, maka kita akan menjadi manusia sebenarnya.

√ WARFA’NII, Tinggikanlah darjatku.
Kalau Allah sudah meninggikan darjat kita, maka pasti tidak ada manusia yang boleh menghinakan kita. Syaitan dan iblis pun takut untuk menggoda kita. Insha-Allah.

√ WARZUQNII, Berikanlah aku rezeki, 
sebagai hamba Allah kita memerlukan rezeki. Allah mampu mendatangkan rezeki dari arah yang tak terduga dan tanpa perhitungan.

√ WAHDINI, Berikanlah aku petunjuk/bimbinglah aku ke jalan kebahagiaan. 
Kita tidak hanya minta petunjuk/hidayah yang berkaitan dengan agama. Tetapi kita juga minta petunjuk agar terhindar dari mengambil keputusan yang salah.

√ WA’AAFINII, Berikanlah aku kesihatan. 
Apabila kita sihat kita boleh menambah kebaikan dan manfaat serta tidak menjadi beban orang lain. “Health is not everything, but without health everything is nothing.”

√ WA’FUANNII, Aku mohon agar kesalahanku dihapus dari catatan.
Kita awali do’a ini dengan mohon ampun dan kita akhiri dengan permohonan agar catatan dosa kita dihapus. Sehingga kita benar-benar bersih dari dosa seumpama bayi yang baru lahir.

Alhamdulillah..
Terima kasih kerana membaca. Semoga kita semua beroleh berkat dan rahmah daripada Allah, Tuhan semesta alam.