Kata Muhammad bin Yusof al-Ishfahani:
"Siapakah yang kiranya dapat
disamakan dengan seorang sahabat yang soleh? Keluargamu
membahagi-bahagikan harta peninggalanmu dan mereka mengecap kenikmatan
dari harta benda yang kamu wariskan untuk mereka. Padahal sahabat yang soleh itu duduk seorang diri berdukacita kerana kepergianmu, amat merasa
bimbang dengan keadaan yang kamu sedang menghadapinya dan apa yang akan
terjadi terhadap kamu, dia mengangkatkan tangan mendoakan kamu di
tengah malam, manakala engkau sedang berada di dalam lapisan bumi."
Renung di sini sahabatku,
Bacalah dengan nama Allah yang meminjamkan dirimu ukhuwah.
Bersyukurlah di dalam nikmat Allah yang menaburkan dirimu silaturrahim.
Beribu sahabat yang mengelilingimu,
adakah dia mengasihimu?
Satu sahabat yang menjauhimu,
namun dia mendoakanmu...
Dekatilah sahabat yang satu.
Jauhnya dekat merapati namamu di langit Allah.
Dekatnya dia memesrakan cinta Allah kepadamu.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa
seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat
yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)
Firman Allah di dalam surah az-Zukhruf ayat 67 :
“Teman-teman akrab pada
hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali
orang-orang yang bertakwa.”