Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, November 10, 2012

Sakit Cinta

"Ketika dia tidak endah untuk melukai kejujuranmu, maka pasti ada yang lain yang tidak teragak-agak untuk melukainya juga. Jangan bimbang akan tiba masanya, 'What you give, You get back!' "

Hati bila sudah terlekat dengan seketat cinta. Mana mungkin dapat dicungkil rasa semudah kata. Orang cakap, "Susah, wa cakap lu!".  Kita sudah terbiasa mengucap sayang, dibuai harapan dan menyayangi bukan sekadar dengan kata tetapi dengan jiwa. Sulit untuk membuangnya begitu sahaja. Sekalipun mungkin kebencian terbit daripada kesakitan akibat sebab-sebab perpisahan, ia tidak mudah hilang dari ingatan bagai menyapu sampah di halaman. Atau, ibarat hujan yang sekali datang, mengalirkan pergi segalanya dengan sepintas masa sahaja. Rasanya ramai yang setuju dengan pendapat ini.

Apatahan lagi, bila janji telah terikat dan perancangan telah dibuat. Sudah tentu perpisahan itu adalah hakikat sedih yang amat berat. Walau kisah telah hilang, namun memori akan sentiasa di bayangan kenangan. Bicara manis terngiang-ngiang di gegendangan. Pasti, ada alat yang akan menyentuh nostalgia mengingatkan kita kepada orang yang pernah kita cinta, bukan? Hendak-hendak jika orang yang kita kenal itu amat menepati ciri-ciri insan yang kita impikan. Perit untuk membuangnya dari kelopak jiwa.

Tidak mengapa. Tidak mengapa wahai kita yang pernah terluka, kecewa dan yang pernah berpisah. Allah SWT menurunkan penyakit bersama ubatnya. Termasuk dengan 'Sakit Cinta'. InsyaAllah, ubatnya adalah masa dan usia. Mungkin juga ubatnya adalah iktibar dari pengalaman yang kita terima. Allah sendiri telah berpesan awal-awal kepada kita, sesuatu yang kita temui baik pada sangkaan kita, belum tentu baik untuk kehidupan kita yang sebenar. Tiada siapa yang tahu bagaimana hidup kita di masa hadapan. Ajal maut, jodoh, pertemuan, perpisahan dan rezeki adalah di dalam rahsia Allah. Bukan sekadar itu sahaja, malah seluruh kehidupan ini adalah rahsianya. Kita tidak akan tahu apa-apa, melainkan semuanya adalah di dalam pegangan-Nya. DIA-lah yang Maha Mengetahui, Maha Ariff untuk apa sahaja jalan kehidupan kita.

Bagaimana kita dapat melupakan orang yang pernah memberi sinar kepada kita tersebut? Tak perlu melupakannya. Cukuplah sekadar menganggapnya sebagai pesanan Allah bahawa apa sahaja dalam hidup ini tidak pernah kekal. Sementara cuma. Jika tidak berpisah dalam keadaan hidup, ia akan terpisah juga nanti di dalam suasana mati. Atau anggap sahaja, kita ini bukanlah terbaik untuk hidup seseorang yang kita cinta itu atau dia bukanlah yang Allah takdirkan layak untuk disatukan dengan kita. Sebaik, semulia, sehebat mana pun manusia yang kita cinta itu, dia hanyalah manusia yang PASTI ada kelemahan yang masih belum tertonjol pada mata kita kerana kebutaan rasa yang kita pelihara  atau selindung tanpa sedar saat perhubungan kita dengannya.

Andai kata, yang memisahkan kita itu adalah dari kelemahan kita, anggap sahaja ia ikhtibar untuk kita mengasah akhlak diri agar lebih berhati-hati dan lebih baik untuk dipasangkan dengan yang lebih baik. Andai kata kelemahan itu daripada orang yang kita cinta, juga ambilkan ia ikhtibar, mungkin Allah cuba melindungi kita daripada anasir-anasir yang lebih buruk di kemudian hari. Bukankah Allah Maha Menyayangi lebih daripada kasih sayang ibu kita sendiri? Akurlah kita kepada kebijaksanaan Allah terhadap segala aturan-Nya untuk kita. Apakah yang terlebih baik dan cantik daripada pilihan-Nya?

Melupakan seseorang yang kita amat sayang di dalam masa terdekat, sukar. Berilah peluang kepada diri perlahan-lahan. Bertenang, ingat Allah setiap masa. Maafkanlah situasi atau tragedi yang terjadi. Maafkanlah orang yang menyakiti seikhlas hati. Bila kita maafkan segalanya, bermakna kita memaafkan segala ujian yang Allah beri. Makin kita memaafkan, makin akan kita faham bahawa Allah berhak mentarbiyah dan melatih kita menjadi hamba yang mendekati, memahami segala hikmah dalam ilmu-Nya. InsyaAllah. Di samping itu, kaji dan selidik serta perbaikilah amalan-amalan kita terhadap-Nya.

Sibukkanlah diri dengan mengenali kelemahan diri kita. Sibukkan diri dengan mengingat-ingat kebaikan Allah. Sibukkan diri juga dengan memaksa diri menambahkan ilmu pengetahuan agama. InsyaAllah, kita bukan sahaja akan lupa pada segala kecewa dan himpitan sakit cinta yang kita rasa, malahan kita akan mensyukuri kekecewaan yang kita lalui. Ameen. Wallahu'alam.


Salam kasih dengan senyuman
~Raz.R~
"Pahit jangan dibuang, manis jangan berlebihan."
~Se^__^nyum~