Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Saturday, February 11, 2012

Letihkah Hidup Ini?




Assalamualaikum wahai tetamu yang singgah membaca tulisan Raz yang tidak seberapa ini. Raz mulakan tulisan ini dengan memohon ampun dan maaf sekiranya apa yang tercatat di halaman ini tidak seperti yang diharapkan. Manusia dengan kelemahan dan khilafnya. Raz juga termasuk dari mereka. Seterusnya terima kasih kerana menemani Raz, walau diam tanpa memberi sebarang usulan dan teguran. Pembacaan yang telah dilakukan untuk halaman Raz ini adalah satu sedekah dan penghargaan buat Raz. Anda telah menyedekahkan masa dan niat hati yang baik untuk membaca tulisan Raz walau anda boleh singgah di laman yang lain. Raz mungkin tidak mengenali anda, tetapi kehadiran anda membaca membuatkan Raz selalu tergerak untuk meletakkan doa-doa Raz kepada walau siapapun anda. Doa itu juga sedekah. Semoga Allah merahmati anda dengan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Amin. Sebesar-besar terima kasih sekali lagi dari hati Raz untuk kesudian tersebut.


Hidup ini meletihkan.

Ya! Tanyalah kepada sesiapapun di kalangan kita,tipulah jika dia mengatakan yang hidup ini tidak meletihkan. Letih fikir, letih bergerak, letih bercakap, letih menghadapi bebanan harian dan pelbagai keletihan lagi. Namun, demikianlah kehidupan ini dijadikan. Sememangnya Allah jadikan kita manusia hamba-Nya untuk menerima segala ujian. Tanpa ujian kita tidak kenal erti dewasa. Allah sentiasa mendewasakan kita dengan ujian. Ujian itu adalah tanda kasih-sayang Allah kepada kita. Bayangkanlah jika kita tidak menerima sebarang ujian, hidup kita kaku dan beku dan apakah kita mampu mengenali diri kita yang sebenar? Malah, kita mungkin lupa untuk mengenali pencipta kita sendiri, yakni Allah SWT. Kebahagiaan dari ujian adalah di saat hati kita remuk-redam menghadap-Nya dan meluahkan keluhan kita kepada-Nya. Ketika itulah Allah akan perlahan-lahan membuka nurani kita memahami kebaikan di sebalik ujian-ujian tersebut. Ketika itu jugalah kita belajar mengesan di mana kehebatan mata hati kita. Ketika itulah kita mengetahui di mana kekuatan jiwa kita yang sejati. Ya, ketika kita diajar dengan segala ujian yang Allah berikan. InsyaAllah.

Fikiran kita perlu dikawal.

Bagaimana cara mengawalnya? Dengan bersangka baik terhadap apa sahaja yang Allah sediakan kepada kita samada dalam bentuk lahiriah atau batiniah. Raz tahu, ia bukan mudah. Dengan keimanan kita yang senipis kulit bawang yang belum tentu. Dengan dosa dan kekhilafan kita bergemertih. Dengan tunjahan dan bisikan-bisikan syaitan yang melebihi urat-saraf kita. Dengan pandangan dan simbahan fitnah-fitnah pengembara-pengembara dunia yang bernama manusia seperti kita yang mempunyai ragam dan karenah berbeza. Malah dengan kelemahan hati yang berfitrahkan 'bolak-balik', 'sekejab buruk, sekejab baik'. Oleh sebab itulah Allah SWT menghadiahkan kita "Pemandu" atau "Peraturan-Nya" yakni agama-Nya (Islam) melalui Al-Quran-Nya dan Sunnah-sunnah dan keperibadian kekasih pilihan-Nya Muhammad Rasulullah SAW. Itulah mukjizat, itulah rahmat Allah yang Maha Mengetahui tentang kelemahan kita hamba-Nya. Bilamana kita tetap dengan suruhan-suruhan-Nya, InsyaAllah walau sejauh mana pun kita dihantui kesuraman hidup, cahaya-Nya pasti menyentuh jiwa, menjengah dan membasuh akal dan nurani kita.

Namun, untuk mencapai semua itu, yang paling perlu adalah HASRAT, TEKAD DAN KEMAHUAN yang bersungguh. Bersama KEUTAMAAN SABAR yang tidak mengenal lelah dan putus asa. Kemudian, kita perlu menganggap bahawa diri kita ini hanyalah PENERIMA dari PEMBERI YANG MAHA MULIA. Terima dan hargai. Seterusnya adalah LATIH TUBI tanpa henti sehingga ia menjadi sebati pada hati dan pada seluruh penampilan diri. Dan, InsyaAllah yang akhir adalah KEYAKINAN terhadap segala HARAPAN kepada Ilahi. Sesungguhnya keyakinan itu sendiri adalah doa daripada doa-doa yang lain yang kita pohonkan. Allah cinta kepada hamba-Nya yang tidak putus meminta dengan rasa tawadduk di jiwa.


Sebagai hamba dari Allah dan agama-Nya, ketahuilah bahawa hidayah-Nya di mana-mana. Kita boleh kutip dengan fikiran kita sendiri yakni terus menerus menilai apa sahaja yang Allah sediakan kepada kita dengan kesyukuran yang mendalam. Melalui nafas, melalui tubuh, melalui darah, melalui segalanya yang terpandang di mata kita atau seluruh yang kita sentuh dan rasa, semuanya terdapat hidayah-hidayah kecil yang perlu kita amati. Bila sahaja kita mampu menghargai dan meneliti hidayah-hidayah tersebut, tidak mustahil Allah akan membuka ilmu-Nya kepada kita yang boleh memberikan keluasan hidayah lain yang lebih menakjubkan.Justeru, jangan sangka kita ini tidak disentuh dengan hidayah. Allah selalu bersama dengan pemberian-Nya, tinggal kita sahaja yang perlu memanjangkan jangkauan fikiran kita lebih jauh untuk bersatu menikmati hidayah-Nya yang lebih halus dan tajam. Jangan lupa, Allah itu tidak pernah menzalimi kita. Kitalah yang selalu menzalimi diri sendiri. Jangan juga lupa, Allah tidak akan membantu kita, jika kita tidak berusaha membantu diri kita sendiri.




Wallahua'lam.Semoga Allah membantu kita untuk terus memahami-Nya kehebatan-Nya. Amin Ya Robbal Alamin.




Hanya tulisan kecil dari hati yang kecil.Senyum dan salam hormat dengan kasih di hati.

~Raz.R dan IlhamPKP~