Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, November 27, 2011

Cinta Kasih Sejenis


Lama benar Raz ingin menulis tentang fenomena ini. Namun tidak terpapar di maya. Mungkin Allah tidak mengizinkannya. Isu ini sebenarnya amat sensitif bagi kita yang tidak memahami dan suka berwasangka.

Izinkan Raz mulakan tulisan Raz dengan jutaan ampun dan maaf andaikata ia menyentuh peribadi mana-mana pihak dan mencetuskan rasa tersinggung. Hati Raz ini tidak terlintas berhasrat untuk menyakiti mana-mana pihak. Sekadar membuahkan senipis pengalaman untuk perkongsian bersama secara rawak semata.

Hidup kita sekarang ditakutkan dengan pelbagai sosialisasi songsang. Dunia kita semakin uzur dan sakit. Tanda-tanda kesakitan dunia makin hari makin merebak. Salah satu penyakit yang dilalui dunia sekarang adalah kegiatan yang dilarang Allah, yakni mengubah fitrah yang diberikan Allah dengan mencintai sesama jenis berlandaskan nafsu berahi. Kita sering mengutuk kejadian, tetapi pernahkah kita tanyakan kenapa ia terjadi?

"Sesungguhnya, dunia ini rosak kerana tangan-tangan manusialah yang merosakkannya."

Tidak patut rasanya jika kita menyalahkan individu semata. Bila kita tanyakan golongan yang melalui pengalaman ini, mereka akan berkata,"Kami tidak minta diri kami jadi begini." Sedangkan soalan itu harus dijawab dengan "Tidak sepatutnya kami membiarkan diri kami begini." Kita yang bernama masyarakat, pemimpin, cendiakawan, ulamak dan ibu-bapa juga juga patut berkata, "Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka begitu."

Terlalu banyak dari kita yang percaya kepada Allah tetapi tidak percaya dan lemas kepada hukum-hukum-Nya. Terlalu sedikit dari kita ini mengutamakan keredhaan Ilahi. Dunia ini terlalu kurang akan insan-insan yang perihatin terhadap agama dan ikatan sesama penganutnya. Oleh kerana kekurangan tersebut, kita terbabas dari berjaya mengawal sesuatu keburukan itu terjadi. Terlalu luas ilmu dunia yang kita kejar dan terlalu banyak juga ilmu ketuhanan yang kita cicirkan. Apabila kudis menjalar besar,barulah kita sedar ubatnya sangat sedikit. Tidak lagi berkesempatan mengubati semua mereka yang dihidapi penyakit tersebut. Kita lebih takut kehilangan apa yang dimiliki di dunia daripada takut kehilangan apa yang kita patut miliki untuk akhirat. Itulah punca sebenar yang menjadikan dunia semakin sarat dengan kesakitan. Malang sekali kita abaikan diri untuk memegang kesedaran tentang hal ini sekaligus menjadikan perkara mazmumah sebagai 'biasa' di dalam kehidupan kita. Apabila manusia menjadikan perkara mungkar itu biasa, maka dunia dan manusianya semakin hari semakin luar biasa rosaknya.

Kewujudan kelompok "LGBT" (Lesbian, Gay,Bisexual And Transgender) adalah dari ketandusan memahami sistem yang Allah kurniakan. Keingkaran mematuhi fitrah yang telah ditakdirkan kepada manusia itu sendiri. Allah berfirman yang bermaksud :

"Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." [Surah al-Rum :30:30]

"Dan tidaklah wajar bagi lelaki dan wanita yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada baginya pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata." [Surah al-Ahzab 33:36]

Maksud dari kata-kata Allah ini memberitahu bahawa jika kita dilahirkan sebagai lelaki, maka sewajarlah kita menjadi lelaki dan jika kita ditakdirkan sebagai perempuan maka sewajarlah kita mengakui dan rela menerima kejadian diri kita itu. Kejadian kita adalah kehendak-Nya yang berhak ke atas segala ciptaan-Nya. Lalu, di atas kuasa apakah yang membuatkan kita menidakkan hak Allah tersebut? Tidak lain tidak bukan, kita telah menderhaka kepada-Nya dengan kesombongan yang nyata. Kesombongan kita itu membuatkan kita terjerumus mensyirikkan Allah. Kita seolah sedang membina kuasa lain, selain dari kuasa Allah. Kita lalu membiarkan diri kita di dalam keadaan dosa yang tidak berkeringan. Sedihlah jika keadaan itu yang kita pilih kerana kita sedang menganiaya diri kita sendiri.

Memang benar bahawa hidup kita teruji dengan pelbagai kecelakaan yang tidak kita ingini, menjerumuskan kita oleh perasaan benci, sengsara, hampa, kecewa, derita, rengsa dan sebagainya. Apatahkan lagi iman kita yang terlalu nipis dan ilmu kita yang terlalu kontang sering sahaja menyurutkan semangat dan keyakinan kita untuk meneruskan usaha dan menerima kejadian diri seadanya tetapi itu tidak bermakna kita berhak membangkang kekuasaan Ilahi yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana atas segalanya. DIA jadikan kita sebagai kita yang original adalah kerana DIA Maha Arif tentang apa yang telah diciptakan-Nya. Apa pula kuasa yang kita ada sehingga mahu mengatasi dan mengubah apa yang diberi-Nya kepada kita. Tidakkah kita sedang dibodohkan dengan kezaliman kita sendiri?

Firman Allah yang bermaksud: "Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." (Surah Ali-Imran, ayat 135)

Apabila kita melanggar fitrah yang ditetapkan Ilahi maka apa yang kita pilih itu akan menjadi sejenis penyakit. Mungkin kita tidak merasakan ia penyakit kerana kita sedang asyik melayan alam itu, tetapi apabila kita amati dengan mata hati, kita sendiri akan tahu bahawa kita sedang sakit. Perasaan cinta sejenis ini adalah satu jenis penyakit jiwa yang perlu mendapat rawatan. Lagipun, sejarah tentang penyakit ini telah dibuktikan oleh Allah dalam Kitab-Nya melalui peristiwa kaum Luth yang telah Allah murkai dan dihapuskan oleh-Nya dari dunia ini. Cuba renungkan, apakah kita sedang mengembalikan zaman yang dibenci Allah itu? Tahukah bahawa kita sedang mengagongkan zaman jahiliah? Rasulullah telah bekalkan kita ilmu Allah yang sempurna sekali iaitu Al-Quran dan hadis, lalu kenapa kita masih memilih sejarah yang telah Allah padamkan?

Kita dengan megahnya berani mengundang kemurkaan Allah dan menidakkan kebencian Allah terhadap keputusan yang kita buat sedangkan Ibnu Abbas ra berkata, bahwa Nabi saw telah bersabda "Allah melaknati orang yang menyembelih binatang dengan menyebut nama selain nama Allah melaknati orang yang menguasai sesuatu yang bukan dalam kekuasaanya, dan melaknati orang yang berbuat seperti kaum Luth (homoseks)" (HR Ibni Hibban dalam kitab sahih nya, dan Baihaqi)

Ketika Raz diusia belasan tahun, Raz pernah bermimipi untuk tidak menjadi diri Raz. Raz lebih kagum pada kelebihan lelaki. Mereka mudah di dalam serba-serbi urusan. Menjadi diri Raz sebagai perempuan, terasa amat merimaskan. Tiada kebebasan. Hidup dikongkong dengan tatasusila. Ke mana-mana Raz ingin pergi dan apa sahaja yang Raz ingin lakukan akan terbantut dengan pandangan masyarakat melihat Raz sebagai perempuan. Raz dihantui dengan "Segalanya Tidak Boleh!". Apatah lagi bila Raz memiliki trauma kisah silam. Raz pernah membenci kepada diri Raz sendiri. Raz pernah menjadi fobia dengan keadaan diri Raz. Raz telah mengubah diri Raz dengan meniru ciri-ciri lelaki. Minat Raz untuk menjadi perempuan yang bercirikan keperempuanan sejati terhakis kerana kisah hidup yang menyayat hati. Pengalaman, mempengaruhi minda Raz untuk melindungi diri daripada terlihat sebagai wanita. Raz kecewa dengan diri Raz yang sering sahaja diperbodoh dan dipermainkan kerana menjadi perempuan yang lemah. Dalam diam, Raz membenci lelaki dan pada masa yang sama Raz jijik menjadi wanita juga. Hidup Raz dalam kekeliruan yang hitam warna. Wajah yang di lihat di luar diri, nampak seperti sama, tiada apa-apa yang mencurigakan, namun jiwa berkecamuk dengan dendam dan keinginan pada kebebasan total!

Namun, semua itu tidak berlamaan. Alhamdulillah, Allah menyelamatkan perasaan Raz dari jauh hanyut. Raz telah disedarkan oleh 'asbab'cinta monyet. Agak melucukan bila dikenangkan kembali. Apabila kita jatuh cinta, kita berusaha mengubah segalanya dalam hidup kita. Raz dibimbing oleh seorang guru bergelar ustaz yang melihat Raz sebagai insan yang sangat istimewa. Raz dihargai sebagai insan yang wajar dihormati. Walaupun rasa itu muncul di usia jagung muda, namun ia membekaskan pengalaman yang indah. Pengalaman yang berlangsung sebentar sahaja tapi memberi kesan sehingga kini. Tujuannya ikhlas, walaupun Raz tidaklah seikhlas mana kerana dalam diam Raz mengukir cinta (Sedang tersenyum). Pujiannya, dorongannya, kelembutannya yang sesejuk air di kali. Dia menyuntik Raz dengan kalimah "Allah suka hamba-Nya yang suka kepada diri sendiri." Apabila kita menyukai kejadian diri, bermakna kita menghargai Allah SWT. Apabila kita menghargai Allah, InsyaAllah lambat laun Allah menghargai kita dengan petunjuk-Nya yang bercahaya.

Pengalaman manusia tidak sama. Namun, dari pengalamanlah yang mengajarkan kita bagaimana kedewasaan itu bermula. Tragis atau tidaknya pengalaman, ia tetap memberi ilham ke atas hidup yang perlu diteruskan. Pengalaman Raz memberitahu bahawa, golongan seperti ini perlu didorongi tanpa jemu. Mereka tidak boleh dibiarkan terus khayal di dalam 'dunia' yang tidak benar yang mereka anggap benar. Penyuntik semangat ke arah kebenaran perlu diperbanyakkan. "Daya Tarik" yang terbaik bagi perubahan diri adalah dengan mengenali Allah, dan rasa yang terbaik di dalam diri adalah rasa ingin dicintai Allah. Agama adalah tunjang segala perubahan hidup! Malang sekali, kerana dunia kita sekarang tidak meletakkan agama sebagai tunjang tetapi hanya sebagai pancang pada nama semata tanpa dihayati sepenuhnya.

Raz mengenali ramai sahabat dari kalangan mereka ini. Mereka manusia biasa. Insan yang dipengaruhi kelemahan yang nampak di mata semua. Fizikal dan tingkah yang menjadikan mereka kelainan. Pun begitu, ia tidak bermakna mereka ini golongan yang 'jahat'. Malah, kelompok ini dikagumi Raz kerana mereka hidup di dalam berkumpulan. Sering membantu sesama yang lain di antara mereka. Ini mungkin kerana pihak yang menyangka diri itu 'normal' tidak menghiraukan mereka. Mungkin juga kerana mereka sering dituduh dan dicemuh kerana keanehan mereka. Mohon, jangan disalah fahamkan kata-kata Raz ini. Ia tidak bermaksud bahawa Raz sedang menyokong cara hidup mereka. Perkara batil, tetap batil. Perkara yang salah di sisi Allah, tetap Raz pertegaskan. Cuma, Raz ingin memberitahu bahawa golongan ini berupaya berubah sekiranya menemui jalan yang membuka perubahan tersebut. Sedang kita yang menyangka diri kita ini 'normal' mempunyai kelemahan yang terselindung. Tidak mustahil juga kelemahan kita lebih bercambah daripada mereka. Kadang-kadang, kita tidak nampak kelemahan kita sendiri. Kita tetap memerlukan orang lain sebagai cermin bagi menyuluh dan memperbetulkan kelemahan kita.

Sebagai sahabat, Raz tidak pernah membenci kejadian. Mereka adalah ciptaan Allah sebagaimana diri Raz juga. Raz sekadar tidak menggemari pilihan mereka. Adakalanya sahabat-sahabat Raz dari kalangan itu agak 'malu' untuk rapat dengan Raz kerana personaliti Raz yang mereka 'sangka' alim. Itulah sangka-sangka manusia. Benarlah juga, apa yang kita pakai di tubuh memainkan peranan besar untuk mata kasar menilai. Tetapi, kita masih perlu hati-hati, yang bertudung, berjubah atau bertauliah, belum tentu menerima keredhaan Allah secara putih dan pukal. Keampunan Allah itu terbuka luas kepada mana-mana hamba-Nya yang mahu ke arah-Nya.

Sebagai sahabat, tugas kita adalah memberitahu apabila kita mengetahui walaupun kesudian mereka mengakuinya sekecil hama. Sekalipun dibenci, mengalah jangan sekali. Usah pula kita dipengaruhi dan memper'semangat'kan atau membenarkan kemungkaran. Itu namanya bersubahat. Bila kita bersubahat, bermakna kita menjadi sebahagian dari penerima kemurkaan Allah. Apatah lagi bagi mereka yang sudah benar-benar terlanjur sehingga dinaungi zina. Kita akan berhadapan dengan bala dari kesakitan jiwa yang sangat dahsyat.

Sahabat Ibnu Abbas ra berkata, bahwa Rasulullah saw telah bersabda "Allah tidak akan melihat orang yang bersetubuh dengan sesama jenis (homoseks atau lesbian), atau mengumpuli isterinya dari liang dubur" (HR Timndzi, Nasai, dan Ibnu Hibban dalam kitab shahihnya)

Mahukah kita jika Allah tidak mahu melihat kita? Bukankah kita ini hanya musaffir di bumi-Nya. Jika Allah tidak mahu memandang kita, dunia mana yang kita boleh singgah dan hidup? Nauzubillahiminzalik. Moga Allah sentiasa mendorongi kita ke jalan yang sebenar. Amin.

Sesekali cuba kita bawakan kepada hujung jalan hidup kita. Lihat masa hadapan kita. Tanyakan diri, lama mana kita mampu bertahan dengan pilihan yang sudah kita tahu salah? Bolehkah kita bawa urusan yang kita pilih ini ke arah kebahagiaan hakiki? Apabila usia mencecah ke hujungnya, apa yang kita miliki sewaktu muda, akan susut. Semakin hari daya upaya kita semakin luntur. Apakah pilihan kita itu akan menyelamatkan hidup kita? Mampukah kita bertahan dengan dunia 'fatamorgana' kita?

Sehebat mana pun kita mengubah kejadian diri, ia tidak akan sama dengan apa yang dijadikan Allah secara asalnya. Contohnya wanita yang berpesonaliti lelaki. Sebagaimana sempurna pun mereka merubah diri mereka menjadi lelaki, percayalah masih ada saki-baki yang tersisa yang mampu 'menggiurkan' mata dan rasa. Jangan kita sangka, watak kita begitu maka tidak ada yang memandang ghairah kepada kita. Pepatah kata, "Lain padang, lain belalang - Lain mata, lain pandang." Bila kita ditakdirkan menjadi wanita, Allah telah bekalkan keistimewaan yang menjadi auratnya. Ia tetap akan muncul juga. Jadi, jangan kita ingat kita sedang berada di zon 'selamat'.

Apabila Allah ingin memberi pengajaran kepada hamba-Nya, tiada siapa pun yang 'berkuasa' mampu menongkah kuasa-Nya. Apabila Allah sudah murka dan melaknati hamba-Nya, tidak ada juga yang mampu mengikis kemurkaan-Nya. Justeru, sebelum Allah menutup pintu cinta-Nya kepada kita, seeloknya cuba-cubalah kita berjinak-jinak mengenali tujuan-Nya menciptakan kita di dunia.

Raz yakin, ramai yang sedang berusaha untuk membuat perubahan di dalam hidup mereka dan mungkin banyak halangan yang diterima, tetapi usahlah berputus asa. Mungkin, itulah ujian Allah kepada kita. Setiap manusia akan dititikan pelbagai ujian yang berbeza tetapi tetap akan mampu dilaluinya andai kesungguhan dibarakan dan dinyalakan seterangnya. Apakah kemenangan yang paling indah selain dari usaha yang sangat-sangat payah lalu kita berjaya mengubahnya sehingga menjadi mudah? MasyaAllah. Seluruh ciptaan-Nya akan kagum dan tunduk pada usaha tersebut dengan bertasbih mendoakan kita diredhai-Nya nanti.

Kepada kita yang mengakui diri kita ini tidak tercela, yang kononnya sempurna, bersyukurlah kerana kita tidak diduga sekian beratnya seperti golongan ini. Doakanlah mereka dan sokonglah andai ada yang ingin menetapkan diri ke arah Allah. Usah kita pandang hina. Kehinaan itu akan berpaling kepada kita nanti. Ciptakan peluang untuk melihat usaha ke atas perubahan yang baik dan berikanlah peluang yang terbaik. InsyaAllah usaha-usaha baik akan tertegak dengan baik. Amin.
Wallahua'lam.



Salam kasih kerana Allah.
Semoga beroleh keberkatan-Nya sepanjang masa.