Salam kasih Kerana Allah
Thursday, March 5, 2009
Bukan Senang Untuk IKHLAS
IKHLAS- Wajarkah saya berbicara soal ikhlas di sini? Pernahkah kita benar-benar ikhlas untuk setiap yang berlaku di dalam kehidupan kita? Berapa ramaikah orang yang kita temui selama umur kita ini benar-benar ikhlas? Dan dari manakah datangnya ikhlas itu?
Menerima sesuatu dari perbuatan atau tindakkan baik tanpa mengharapkan sedikit pun ganjaran. Lebih kurang begitulah makna keikhlasan itu. Lebih besar nilainya lagi bila disambungkan dengan KERANA ALLAH. Segala tujuan yang baik tanpa ada riak, sungutan , takbur dan mengharapkan sesuatu balasan. Masih adakah lagi ia di dalam diri kita ini?
Saya berbual dengan seorang sahabat karib dicorong telefon bimbit tentang keikhlasan beberapa hari yang lalu. Alhamdulillah sahabat saya itu selalu mengingatkan saya tentang kebenaran yang tersembunyi disebalik apa sahaja yang berlaku di kehidupan seharian. Kami berkongsi dan bertanya soalan yang sama. Lalu terlintas di hati untuk berkongsi di paparan ini juga. Saya tidak dapat bayangkan di sini betapa beruntungnya saya mempunyai sahabat seperti dia. Moga Allah merahmati dia dengan segala rezeki dan perlindungan-Nya selalu. Berbual dengannya membuatkan hati saya jadi lapang dan mengingatkan saya betapa saya ini hamba yang kerdil dan kecil. Saya dapat rasakan ‘sinar’ yang tidak bersirna padanya. Dia tulus mempercayai saya dan menerima saya seadanya. Allahuakhbar. Sangka saya tidak ada lagi sahabat yang sepertinya. Ada, tapi tidak terjumpa rupanya.
PERSAHABATAN
Cuba kita kira berapa ramaikah sahabat yang kita ada hingga waktu ini dan berapa ramaikah yang seikhlas hati menerima kita sebagai sahabat mereka? Penerimaan yang seadanya. Bantuan yang kita terima daripada mereka. Idea dan ilmu yang kita kongsi bila bermesyuarah bersama. Rezeki kita hulurkan dan sebagainya dalam gantikata pemberian.
Ada tak? Ada tak pernah terlintas di akal kita, “Mudah-mudahan dia akan ingat apa yang aku lakukan untuknya?”. Agaknya apa yang kita akan terfikir disebalik apa yang terlindung dari soalan tadi? Daun keikhlasan yang gugur dari rantingnya lalu berkubur begitu sahaja. Tidak berkesempatan untuk bertunas. Begitu mudah bagi kita untuk menjadi sahabat yang rugi.
CINTA.
Kita sayang lalu juga kita cintakan seseorang. Perhubungan dieratkan dengan memberi inspirasi, teguran, rasa ambil tahu, ambil peduli, pujuk rayu, rindu-rinduan dan cuba memahami pasangan. Sering juga deria-deria jiwa itu mengawal kehidupan pasangan. Oh?!Kawal? Takdalah!!..., itu bukti sayang dan cinta namanya- kata kita. Sejauh manakah keikhlasan kita dalam pertalian itu? Pernahkah kita bertanya si dia, “Awak ni tak ingat saya kah?, asyik saya saja yang call awak.., awak wat derk ja.. Awak tak sayang saya lagi?”.
Misteri bukan? Sekalipun kita mengucapkan keikhlasan, pun begitu tersirat pengharapan agar tabus yang dipalu berbunyi jua.
Cinta isteri kepada suaminya, berapa peratuskah tahap keikhlasan diberi? Andaikata suami itu tidak berkemampuan memenuhi hasrat materialnya, mampukah dia ikhlas menerima kekurangan itu seadanya tanpa meminta-minta yang diluar kemampuan?
Suami cinta kepada isteri, sekiranya semakin hari kedut diwajah isteri tampak menutup kejelitaan isteri yang selama ini dipuja akan kurangkah keikhlasan sang suami itu menerima kekurangan itu?
IBADAH
Apakah yang kita harapkan dari ibadah kita selama hidup ini? Adakah kita memerlukan Ilahi sebagaimana kita memerlukan orang yang kita kasihi? Pernahkah terpacul dilidah kita, “Ya Allah, kenapalah aku diberikan dugaan ini?.” Kemana tujuan ibadah kita waktu itu? Tidakkah kita mengharapkan balasan daripada apa yang didoakan? Ya.. sudah tentu kita semua mengharapkan Allah mengabulkan segala doa dan permintaan kerana Allah juga cinta akan kita yang memohon kehadrat-Nya. Namun jika doa hari ini tidak kesampaian, ikhlaskah kita meredhakan pemberian itu?
Bagaimana ya? Saya tinggalkan soalan-soalan tersebut untuk ditanya pada diri sendiri.
Di mana keikhlasan kita?
Yang pasti, bukan senang untuk menjadi manusia yang ikhlas.
Wallahua’lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment