Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Sunday, March 21, 2021

Perli-memerli

Adat lidah berbahasa, bila sakit dijiwa. Tikam dengan kata-kata. Sindir menyindir, perli-memerli puaskan lega di hati. 

Benarlah lidah tidak tajam tapi boleh membawa mati. Mati kerana memendam rasa. 

Tiru orang berilmu, dilambung tinggi tidak membuatkan dia bangga diri. Dipuji harum kembang mewangi, tidak langsung mengharapkan dirinya perlu dinobatkan dengan dijulang, puji dan puja.

Bimbang Allah murka, mulut dikunci, lidah digari...

Astaghfirullah... Semoga kita sabar dan santun dalam berbicara. 

Rasulullah SAW orang yang paling berbudi lembut dalam kata-kata. Sesakit manapun hati kita, jangan kita pantulkan kembali sakit itu sebagai dendam kepada sesiapa.

Sayangi takdir akhirat kita.

Akan Berakhir Jua



Saat kita mengharungi sesuatu ujian, keperitan itu akan terasa sangat pahit dan menghiris. Pegang pada satu ini..,"Yang ini pun sementara sahaja.  Segala perkara akan berakhir jua"

Sabarlah. 

Tuesday, March 16, 2021

Masa Untuk Diri

 Kita ini manusia yang banyak lemahnya. 

Allahuma solliála sayyidina Muhammad. Waála ālissaiyyidina Muhammad.

Tipulah, jika kita tersenyum dan dalam hati tiada apa-apa yang kita rasa. 

Mungkin saat tersenyum itulah saat lara yang kita sembunyikan. Mungkin senyum itu jugalah ikhtiar kita untuk menghapuskan sisa-sisa kecundang yang kita pernah lalui.

Semua itu rahsia kita dengan Allah.


Masa.
Allah bahagikan masa untuk kita  dalam kadar yang sangat cantik. Alhamdulillah.
Pastinya dalam pembahagian masa itu, semuanya untuk kita merasai kebesaranNya.
Pada ruang masa yang Allah beri, kita perlu ambil sedikit untuk diri sendiri.
Sibuk dengan urusan dunia yang sentiasa mengalir. 
Selagi mana sihat, selagi mana mampu urusan dunia tak mampu kita habiskan.
Apakah kualiti masa yang kita habiskan itu bernilai?

Begitulah.
Takut-takut, bila tenaga sudah tiada, kesihatan diambil Allah kembali, masa untuk mengaut saat-saat bersama Allah tak lagi dapat dikecapi. 

Kita dan Allah adalah kita sendiri yang sebenar-benarnya.
Masa untuk diri.
Masa untuk tenang.

Semoga Allah izinkan masa kita berawal dengan rahmatNya, berakhir pun dengan redha dan barokahNya. Amin. 





MAK▬ ♥ Kekasih ayah

 


Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang.
Setiap kali aku meluahkan kata-kata berkaitan ayah atau mak, dadaku ini berdegup. Hati terasa terusik.
Jiwa sentiasa meranum dengan harapan dan doa.


Aku cuma ada mak.
Jika aku ada kuasa magis, hal yang pertama ingin aku lakukan, memberikan kesihatan dan kebahagiaan hati kepada mak. Lahawlawaquwwataillabillah.. Hanya Allah yang menggerakkan segala urusan semesta ini.


Mak adalah harta allahyarham ayah. Kekasih ayah.
Dari ayah mak belajar solat dan menghafal segala doá. Dia tidak pernah bersekolah. Tak pernah tahu membaca. Tapi, dia lancar mengingati semua yang ayah ajarkan. Segala zikir, segala ayat Al-Quran, ayahlah yang bertungkus lumus mempersiapkan mak. Alhamdulillah demikian dengan izin Allah . Ayahlah gurunya.
Jodoh adalah cerminan diri.
Jika seorang lelaki meninggalkan isteri yang solehah, Tabarakallah! Betapa bertuahnya dia.
Jika seorang suami membentuk isteri menjadi mulia, pahalanya sentiasa mengalir asbab dari kemuliaan dan keikhlasan doá dan cinta isterinya.
Rahmat  saliran cinta. Dari Allah jua segalanya. 

Aku lihat dengan mataku.
Aku rasa dengan hatiku. 

Selepas pemergian ayah, tumpuan aku dan adik-adik adalah mak. Amanat ayah. Ayah pernah berpesan untuk menjaga mak dengan sebaik-baiknya. Semasa ayah ada, beliau jaga mak seperti permaisuri. 
Aku tak mungkin dapat melaksanakannya sebagaimana ayah, namun aku berdoa agar aku dapat sedaya upaya membahagikan mak semampu diri. Moga Allah permudahkan untukku. Amin.

Senyuman mak adalah senyumanku.

Allahumma solliála sayyidina Muhammad Waála ãlisayyidina Muhammad
Semoga Allah rahmati sekelian ibu-bapa dgn kebahagiaan dunia dan akhirat. Āmīn...
Wallahua'lam bissowab.

Tuesday, December 8, 2020

Dilamar Rindu

 

dilamar rindu

"Kakak macam mana hari ni?" 

Saat macam ni memang rasa rindu melamar hati. Rindu kepada ayah.

Bila tak sihat, ayahlah tempat aku mengadu. Dialah orang yang paling ambil berat tentangku. 

Masih terasa kehangatan kasihnya mendakapi hati. 

Dialognya masih kudengar ditelinga. 

Tak.. aku tak sedih pun. Tempat ayah disisiNya adalah lebih baik. 

Cuma kerinduan ini menambahkan kesabaranku. Kesabaran lebih memberi kedamaian untuk doa-doa yang berterusan.  Banyak dugaan memberikan ketabahan. Terpaksa tabah pun ada. Allah menyedarkan kita bahawa hanya dengan ketabahanlah, kita dapat bina jiwa dan mentaliti yang waras dan positif.

Aku cuba.

Semoga setiap ibu-bapa dirahmati Allah dengan kehidupan dunia akhirat yang indah dan didarjatkan kemuliaan yang tinggi. 

Amin.

Lailaha illALLAH MuhammaduRasulullah.


Friday, August 7, 2020

Apakah Layak Kita Menyombong?

Allah yang memberikan kita jasad dan roh.
Allah yang memberikan kita nafas.

Kita mengambil apa yang Allah berikan lalu kita berikan pula kepada orang lain.

Hak siapa?

Bukan hak kita pun segala sesuatu. Apakah layak kita untuk sombong?

Ya Allah, jadikan hatiku lembut dan tidak mendahului diriku di dalam sesuatu kerana Engkaulah Yang Maha Memberi Yang Maha Melindungi. Amin... Sollu AlaNabi.


Thursday, August 6, 2020

Cari Salah Sendiri, Jangan Menunding Jari

 

Cari Salah SendiriLahawlawala quwwata illa billahil aliyyil adziem...Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.

Berhujan di hati, tiada yang mengerti.
Beban digalas terasa berat sekali, siapa yang peduli?
Orang... Jika orang yang kita fikirkan, adakah benar dia memikirkan kita sebagaimana yang kita fikirkan?
Ada waktu, apa yang kita lalui, seringkali yang berat-berat, kita akan cuba buatkan hati tenang dan selesa dengan menyalahkan orang lain. Sebab, hal itu lebih mudah, dan itu boleh membuatkan kita rasa lega. 
Kita nampak kesalahan orang sebagai sesuatu yang meringankan beban diri kita tetapi sebenarnya terlalu banyak kesalahan diri kita yang perlu kita rungkaikan dan beban itu lebih ringan sekiranya kesalahan kita sendiri yang kita perbetulkan.


Kita dan Allah.
Tak dapat kita berbohong denganNya. Salah-silap, baik- buruk, aib kita semuanya tersimpan di dalam aturanNya. Hanyasanya kita sahaja yang menafikan sebanyaknya atas maksud untuk melindungi salah diri dan mengakui diri adalah yang terbaik. Walhal terlalu banyak yang sewajarnya kita akui, kita salah dan kita berdosa.

Kita akan berjumpa dengan Allah, nanti suatu masa, pasti Insha-Allah. Apa yang kita selindungkan selama ini, akan Allah londehkan satu persatu. Allah tidak akan buka kesalahan orang lain di hadapan kita tetapi Allah akan siapkan bukti-bukti kesalahan kita di hadapanNya. 

Keperluan apa untuk kita selalu menunding jari kepada orang lain, ketika mungkin salah-silap sesuatu perkara bertitik dari apa yang kita mulakan?

Wallahu'alambossowab..