Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Tuesday, June 9, 2020

Bukan Mudah!



Bukan mudah.
Kita minta jiwa kita selalu stabil, okay, rileks, macam boleh 'carry everything smoothly', tidak tergugat dengan kancah cuaca 'nafs' yang silih berganti.

Kita cakap senang. Nak istiqamah dengan Allah. Walau apa sahaja pun halangan , kita nak teguh di jalan yang tidak terpesong daripada tuntutan Tuhan. Bukan mudah!

Bukan mudah untuk membendung hati supaya tidak terkesan dengan arus yang mencabar, pertukaran emosi dan dugaan jiwa yang kadang-kadang sabar, kadang pula resah, kadang marah menggila dengan benci, ego, dendam dan gelojak rasa yang ingin menyakiti dan mengkhianati.

Mudahkah untuk berdiam diri tidak membalas, jika sudah hadir terlalu banyak tekanan dan seruan beracun yang singgah ke telinga tanpa rela? 

Adakah mampu ujub, riyak, megah kita sekat daripada melintas di ruang dada bilamana pujian melingkar bagaikan pewangi dan bunga-bunga? Siapa tidak suka pada bisik yang sedap di telinga. Bukan mudah untuk menidakkannya, kan?

Selalu ada jalan jikapun gelora yang kita lalui itu tidak mudah kita elakkan. Seharusnya kita bersimpati dengan diri kita. Sudah tentu ada sebab mengapa sesuatu itu menjadi tidak mudah kita hadapi. 

IMAN. 
Ya! Iman kita yang kita lekakan tanpa diasah dan ditanam dengan akar kesabaran yang kukuh.
Kita gagal mendidik diri dengan iman yang menjadi pencetus akhlak yang benar terhadap roh kita.
Kita lalai dengan keduniaan yang penuh pengharapan yang palsu. Kita jatuhkan iman kita di gaung yang mengotorkan hati dan menambahkan hukuman terhadap diri sendiri. Kita tidak berjaya membentuk iman kita dengan cahaya yang kita dahagakan yakni ilmu yang tidak sepatutnya jemu dicari. Kita degil. Degil untuk tetap duduk di dalam dunia khayalan yang kita sangka akan kekal selamanya.

Mungkin...
Kita masih dibaluti hari kelmarin yang telah berakhir hingga memadamkan rohani kita bahawasanya hari ini dicipta untuk kita perbaiki iman kita. Manakala kelmarin adalah kelmarin yang tiada lagi.  Demikian juga hari esok yang Insha-Allah jika diizinkan kita bangkit lagi.

Hari ini, kita bangun. Doakanlah diri sendiri. Jangan lupa. Mintakan Allah menolong iman kita berpaut kepadaNya dengan kuat dan untuh!

Allahumma solliala sayyidina Muhammad. Wa'ala alisayyidina Muhammad♥♥♥ Amin...