Salam kasih Kerana Allah

Salam kasih Kerana Allah
Assalamualaikum wbt - Sekadar Berkongsi Ilham dan Pengalaman

Monday, December 10, 2018

Ibadah dan Iman seperti Minyak dan Air

"Orang baik, ada jahatnya.
Orang jahat, ada baiknya."

...dan kadang-kadang, orang baik sentiasa baik. Manakala yang jahat tersangat jahat.

Itulah manusia biasa.

Sebaik-baik manusia, ada lemahnya tetapi jangan kita gabungkan ia dengan ibadahnya. Andai kata dia pakai tudung, tetapi dia buat maksiat atau dia solat tetapi dia tetap berzina, jangan kita terus dakwa, "Buat apa pakai tudung atau solat tapi perangai masih jahat?".

Solat dan tudung adalah perintah Allah, manakala sifat dan perangai kita yang tiada kaitan langsung dengan apa yang Allah syari'atkan. Sifat-sifat yang ada pada diri kita itu adalah fitrah (Nafsu-nafsi)yang setiap orang ada. Ia menunjukkan kita makhluk yang tiada daya upaya melainkan dengan kehendak Allah semuanya. Tugas kita adalah berusaha mengubahnya mengikut ikhtiar dan izinNya.

Ibadah setiap orang itu adalah hak Allah. Tidak ada 'join venture' antara ibadah dan sikap (iman) manusia. Ibarat minyak dan air, walapun rapat tapi tidak bersambung. Ibadah ialah syariat Allah yang kita kena ikut samada kita ini makhluk jahat ataupun baik. Manakala sifat dan sikap kita adalah pilihan kita. Jika kita masih beribadah tanpa memandang Allah zahir dan batin, kekadang ibadah tersebut tidak menjadi jalan untuk kita berbuat baik. Malahan ada yang beribadah, tetapi masih rakus mengikut syaitan kerana imannya terlalu tumpul kepada keduniaan. Manusia yang beribadah tetapi masih berlaku maksiat, dia dipanggil munafiq. Yakni orang yang berpura-pura atau menipu Allah. Allah jualah yang layak menghukumnya di atas perlakuan demikian. Munafiq ini bukanlah perintah Allah tetapi sikap yang kita pilih sedangkan Allah Maha Lembut mengajarkan kita segala hal haruslah dipilih yang Dia redha dan yang baik untuk sekelian makhlukNya.

Sangat bahaya bila kita selalu gandingkan manusia dengan ibadahnya sebagai panduan hidup. Nampak tak betapa halusnya syaitan mempersonakan kita?
"Alahai, buat apa sembahyang, berzikir, jika perangai masih macam syaitan?" Itulah bisikan-bisikannya yang kita selalu dengar.

Ibadah dan iman itu ibarat minyak dan air. Dipersatukan tetapi tidak bersatu.  Namun kiranya kita mencintai Allah, mentaatiNya maka ibadah dan iman akan menjadi pewangi yang mengharumkan kehidupan kita dunia akhirat. Insha-Allah. Mudah-mudahan.

Berilah ruang orang yang mahu belajar, terus belajar. Berilah sokongan kepada orang yang sentiasa beribadah memperbaiki imannya. Kita tidak pernah menjadi malaikat dan kita bukan juga syaitan.
Kita manusia yang selalu Allah kasih yang sentiasa Allah berikan peluang untuk bertaubat selagi ada nafas di jasad.

Allhua'lam bissowab. Moga Allah bantu kita semua. Amin.
Lahawlawalaquwwata illa billahilaliyyiladziem.
Allahumma solli'ala sayyidina Muhammad.